28-08-09

Rindu Ini

Posted in amir yusuf by fajaril

“Kerinduan, tak akan menghilang,
Kau selalu kurasa, tak mampu ku menghindar…”

Katalah apa saja, sejujurnya rasa rindu ini tidak pernah akan pergi. Selalu saja menemani. Adakala ia berbalam-balam. Adakalanya ia begitu memuncak. Namun, mujur juga ada Dia untuk mendambakan dan menyampaikan segala rasa rindu ini.

Bagi mereka yang pernah mengikuti ruangan di sini, sejak bertahun yang lalu, sudah pasti akan merasa kelainan pada setiap tulisan yang dikongsikan. Jarang sekali catatan bersifat peribadi seperti dahulu. Hingga ada yang mengatakan, blog ini sudah seperti blog Amir Yusuf sahaja.

Sejujurnya, ia pasti akan mengambil masa yang begitu panjang untuk membiasakan semula dengan tulisan yang terdahulu. Apa yang pasti, blog ini seakan salah satu manifestasi kenangan dan sisipan kerinduan kami kepada Amir Yusuf. Ruang inilah yang menjadi salah satu tempat kami mendapat kekuatan. Juga sokongan dan doa dari teman-teman di luar sana. Sudah pasti ianya tidak akan dilupakan.

Kehilangan bukanlah satu perkara yang mudah. Sebulan, setahun, bahkan berpuluh tahun pasti akan membawa segala kenangan dan kerinduan. Mana mungkin ada ganti. Setiap sesuatu anugerah Tuhan adalah cukup unik dan istimewa. Demikianlah apa yang diberikan kepada kami.

Sungguh kami percaya bahawa setiap sesuatu adalah pinjaman daripada Allah. Sebagai manusia, kita ini begitu miskin memandangkan tiada satu pun yang menjadi hak mutlak. Pada degupan jantung, pandangan mata, pendengaran telinga, deria rasa dan hembusan nafas ini adalah pinjaman dari-Nya semata-mata. Begitu juga dengan kurniaan cahaya mata ke dalam hidup sesebuah keluarga.

Amir Yusuf adalah satu anugerah kepada kami. Apabila dia diambil semula daripada kami, siapalah kami untuk menafikan hak yang telah Allah berikan? Sudah pasti hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Pasti ada kemanisan yang tidak dapat digambarkan di pemikiran manusia yang sebegitu lemah. Maka, hanya redha saja menjadi teman sejati.

Ramadan lalu penuh dengan kenangan. Ramadan lalu, kami sama-sama menemani Amir Yusuf di hospital biarpun masa yang terluang dirasakan begitu sekejap. Ramadan yang lalu, kami sama-sama bertadarus Al-Quran di sisi Amir Yusuf. Mengalunkan kalam-Nya dengan penuh harapan dan keinsafan.

Dan siapa pun tidak menduga bahawa itulah Ramadan yang pertama dan terakhir buat Amir Yusuf.

Bagaimana harus kami menzahirkan segala rasa rindu yang selalu bertandang? Ada ketikanya, mahu saja ayah pergi ke hospital dan duduk di sana untuk mengulang semula segala peristiwa. Tapi, ianya tidak akan sama. Hanya kenangan membaca Al-Quran bersama dirinya di bulan Ramadan menjadi ganti. Dan pada ketika itu, ada rasa bahagia datang bertamu. Apatah lagi, syurga sudah menjadi tempat yang pasti buat insan seistimewa dirinya.

Bukan ayah tidak tahu, ibu turut menanggung rasa rindu. Namun jarang sekali ibu menzahirkan atau meluahkan rasa rindu itu. Ayah tahu, setiap malam ibu akan tidur sambil memeluk soft monkey milik Amir Yusuf. Hinggakan Najla begitu cemburu setiap kali terlihat ibu memeluknya.

“Ibu tak sayang Najla. Ibu sayang monkey tu.”

“Ibu sayang Najla. Dan ibu sayang pada Amir Yusuf juga. Najla selalu dapat tidur dengan ibu. Amir Yusuf tak pernah dapat tidur dengan ibu atau ayah. Betul kan sayang?”

“Hmm. Najla pun sayang Amir Yusuf. Dia jumpa Allah kan ibu?”

“Ya sayang. Dia jumpa Allah.”

Najla rindu Amir Yusuf. Ibu rindu Amir Yusuf. Ayah rindu Amir Yusuf.

Setiap kali mengulangi kata rindu kepada dirinya, rasa sebak berkumpul di dada. Rindu ini bagai tiada hentinya. Rindu yang membawa kami dekat dengan-Nya.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

18 comments

  1. aliff says:

    Semoga kerinduan itu mendekatkan kalian sedekat-dekatnya dengan Allah SWT.
    Jazakallahukhoir.

    28-08-09 at 6:35 am

  2. mirah says:

    Moga ramadhan kali ini membuatkan kalian lebih tabah dan tenang.

    28-08-09 at 7:12 am

  3. Anak didikmu says:

    Sedih tiap kli bc blog En Fajar, berat mata memandang berat lg bahu memikul. Cuma simpati dan sabar saja yg mampu sy ucapkan. InsyaAllah dugaan ini akan memberi 1001 hikmah yg kte sebagai manusia ini x duga. Salam Ramadhan buat En Fajar dan Pn Anis sekeluarga……

    28-08-09 at 8:37 am

  4. wife says:

    “Dan siapa pun tidak menduga bahawa itulah Ramadan yang pertama dan terakhir buat Amir Yusuf.”

    Begitu juga buat kita yg masih ada, adakah Ramadhan ini yg terakhir buat kita? Tak siapa yang bisa menduga.

    28-08-09 at 9:33 am

  5. leany says:

    Salam Ramadhan,

    Hanya kalimah suci Allah yang dapat menemani rasa rindu yang terbungkam dalam jiwa terhadap Amir Yusuf.

    Tanpa disedari, diri menyeka air2 jernih yang jatuh berguguran dari kelopak mata.

    Berbahagialah kamu di sana, Amir Yusuf.

    Saudara Fajar & Anis, semoga Ramadhan kali ini memberi ketenangan dan kekuatan kepada kalian.

    Take care!

    28-08-09 at 10:06 am

  6. yfatahyah says:

    Saudara Fajar,
    Teruskan menulis, luahkan apa sahaja yang terpendam, jadilah diri saudara yang sebenar, itu yang terbaik.

    Sejujurnya, ruangan ini terlalu berharga bagi saya, mengajar saya erti kehidupan, kasih sayang, pengorbanan, ketabahan dan lain2, walau diakhiri dengan air mata setiap kali berkunjung. Terlalu banyak pahala yang saudara raut menerusi tulisan ini.

    Anakanda Amir Yusuf dan saudara sekeluarga terasa begitu hampir di hati. Terasa ralat kerana tidak berkemampuan untuk menghulur bantuan dari segenap segi. Cuma doa mampu dihulur, moga kita semua termasuk di dalam golongan yang dirahmatiNya, ameen..

    Jika ke London, jemput singgah di kediaman kami di Luton..

    Salam Ramadhan..

    28-08-09 at 10:49 am

  7. zoo says:

    sdra fajar,
    berceritalah sepuasnya…
    sehingga habis rindu itu…

    Salam AlFatihah utk Amir Yusuf. Amin.

    29-08-09 at 3:56 am

  8. vidz says:

    Hati ini turut rindu pada Amir yusuf.
    Kalian sememangnya sangat tabah menghadapi dugaan Allah ini. Sesunguhnya hanya Dia yang mengetahui rahsia nikmat di sebalik semua ini.

    Al-Fatihah buat Amir Yusuf.

    29-08-09 at 6:39 am

  9. dora says:

    its okay to pour your heart out and share with us your feelings. Banyak2 lah beristighfar di bulan Ramadhan ini.

    Allah is listening to you.. and Amir Yusuf would want his mom and dad to be happy..

    He’s your little angel.. he is watching you from above.. May Allah give you strength and bless you always..

    30-08-09 at 3:27 am

  10. shaza says:

    hati masih sebak tiap kali fajar menulis tentang amir yusuf. tabahlah wahai fajar dan keluarga.

    31-08-09 at 8:03 am

  11. zai says:

    setiap peristiwa itu ada lah pengajaran hidup..saya pasti saudara fajar sekeluarga lebih arif melaluinya.hargai setiap detik waktu dgn mengingatiNya..

    01-09-09 at 12:15 am

  12. rose says:

    kerinduian yg dirasai saudara fajar sekeluarga kami sebagai pembaca & pemerhati penulisan ini turut rasai kerinduan terhadap adik amir yusuff…semoga kalian terus tabah,cekal atas apa yg telah dilalui selama ini…

    01-09-09 at 12:33 am

  13. fiza says:

    Fajar,

    Selagi roh masih bertaut di badan, mana mungkin ayah dan ibu melupakan Amir Yusuf.

    Kenangan lalu mudah saja datang bertandang namun bagi ayah dan ibu atau Najla sekalipun… ia bukannya satu kenangan yang biasa dan mudah dibiarkan berlalu pergi tanpa makna.

    Amir Yusuf…. Ia kenangan amat berharga yang tidak dapat dicari ganti hingga ke ahir hayat.

    Sabarlah Fajar…. luahkan rasa rindu itu… keluarkan air mata itu dalam doa kepada Allah… pasti ia melegakan…

    Saya juga mengingatinya… dia sedang berbahagia di sana… sangat pasti… alangkah bertuahnya Amir Yusuf. :)

    01-09-09 at 12:34 am

  14. linda says:

    Hati n diri ini memahami rasa kerinduan amat di hati fajar sekeluarga… sesungguhnya hati ini benar2 memahami dan sebak juga menyelubungi jiwa tatkala membaca coretan mu…

    doa ku dan keluarga agar fajar dan keluarga sentiasa tabah menghadapi kerinduan yang tiada penghujung itu…

    01-09-09 at 1:05 am

  15. mama sarah says:

    sdr fajar & isteri,

    blog ini mengajar kami erti kehidupan sebenar..keikhlasan dalam tulisan2 fajar benar2 menyentuh hati kami sekeluarga..

    kami doakan ketabahan sentiasa bersama2 fajar sekeluarga..

    amir yusuf kerinduan semua..berbahagialah di sana..

    01-09-09 at 4:48 am

  16. ibu amin says:

    Abg Fajar & Isteri..
    Tabahlah dalam menghadapi dugaan ini..walaupun ia amat pahit untuk ditelan…

    02-09-09 at 6:38 am

  17. kingbinjai says:

    dude, jangan bersedih selalu takut jadi tak redha. sama sama kita bersaabr. banyakkan sedekah fatihah insyaallah terubat rindu

    02-09-09 at 1:18 pm

  18. Aina says:

    Redhakanlah pemergian Amir Yusuf. Dia menanti ibubapanya di pintu syurga…InsyaAllah.
    Saya faham perasaan saudara….I lost my baby too…Bila rindu sedekahkan arwah Al-Fatihah…Arwah berada di tempat yang baik di sisiNya

    03-09-09 at 7:29 am

Leave a comment

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.