Archive for September, 2009

14-09-09

Kita Bersama

Posted in bicara by fajaril

drawing najla

“Ayah, I want to show you something. Look.”

Najla menunjukkan gambar yang baru dilukisnya. Sejak kebelakangan ini, minatnya untuk melukis begitu membuak.

“Ini ibu, Najla, ayah dan Amir Yusuf.”

“Wah, cantik. Very good, sayang!”, puji ayah. Najla tersenyum manis.

Hati ayah begitu tersentuh dengan lukisan Najla. Kasih untuk adiknya masih begitu setia.

“Ayah rindu Amir Yusuf”.

Najla pandang ayah. Wajahnya berubah. Lantas tangan kecilnya terus memeluk leher ayah. Kami berdakapan erat. Untuk seketika, kami tidak bersuara.

* Kredit: Gambar diambil oleh ibu.

09-09-09

Sepuluh Malam

Posted in bicara by fajaril

Sekejap benar Ramadhan ini berlalu. Sekejap sekali. Belum pun puas mengecapi segala nikmat dan rahmat yang turun melimpah. Dan kini hanya tinggal sepuluh malam terakhir.

Kalaulah manusia bisa melihat kesibukan malaikat naik dan turun untuk mengumpul segala amalan yang dikerjakan oleh manusia, pasti kita sama-sama sibuk berebut mengumpul peluang dan ganjaran sebegini hebat. Moga kita menghargai masa yang ada sebelum Ramadhan berlalu pergi, kerana kita sendiri tidak pasti adakah tahun hadapan kita berpeluang menikmatinya lagi.

07-09-09

Nur

Posted in bicara by fajaril

“Setiap manusia adalah fakir. Namun dalam kefakiran itulah Tuhan memberikan petunjuk. Inilah yang disebut ‘Nur’.”

- Adam, Nur Kasih.

Demikianlah kata-kata yang diucapkan oleh Adam, salah satu watak di dalam siri Nur Kasih. Kata-kata itu agak menusuk ke dalam kalbu. Rasanya, ramai yang mengikuti siri yang sarat dengan emosi dan kasih sayang ini. Hanya baru-baru ini saja diri berpeluang mengikutinya secara online. Itupun kerana ingin tahu dan menilai sendiri sejauh mana kisah ini mampu menyentuh sanubari ramai orang hingga dibicarakan di sana sini.

Sejujurnya, hingga ke siri 15, memang kisah Nur Kasih cukup menarik dan cantik dikembangkan. Apatah lagi melalui sinematografi yang cukup indah dari arahan Kabir Bhatia yang begitu sinonim dengan filemnya seperti Cinta dan Sepi.

Berbicara soal filem atau drama bukanlah kepakaran diri ini. Cukup sekadar meminati pada sisi ruang lingkup aspek nilainya yang tersendiri. Setiap watak seperti Adam, Aidil, Nur Amina atau Sarah mungkin ada di dalam diri kita. Semua watak itu bagaikan berkumpul menjadi satu. Dan kadangkala muncul mengikut keadaan tanpa kita sendiri menyedarinya.

Kita sesekali tidak pernah menyedari atau mengetahui sejauh mana kekuatan kita melainkan satu ujian datang kepada kita. Dan ujian itu adalah satu perkara yang pasti jika Allah mahu menguji sejauh mana keimanan serta ketaqwaan hamba-Nya. Barangkali, pada masa itulah kita akan menyedari adakah kita mampu menjadi manusia yang punya kesabaran, keredhaan atau memberontak.

Memang semua manusia adalah fakir. Kita ini fakir. Kita tidak punya apa-apa di dunia ini. Jelaskan, apakah dia hak mutlak kita di muka bumi ini? Harta, kuasa dan segalanya bukanlah satu milik yang kekal. Bahkan nyawa kita juga adalah pinjaman. Kita ini terlalu daif. Memang wajar kita ini hanyalah hamba yang sungguh fakir. Kita cuma dipinjamkan sesuatu dari-Nya untuk melayari kehidupan yang sementara di muka bumi ini.

Namun begitu kita seringkali terlupa akan kefakiran kita. Hingga selalu kita terlupa kepada siapa harus kita memohon pada setiap kekurangan yang ada kepada kita. Kadangkala kita jadi sombong untuk meminta. Alangkah ruginya kita. Siapa lagi yang harus kita cari? Dia tidak pernah berhenti untuk memberi. Demikianlah Maha Pemurah dan Maha Penyayang akan Dia.

Pengalaman melalui saat-saat sukar yang lalu, menyedarkan diri betapa terlalu fakirnya dan kerdilnya diri ini. Memang tiada siapa yang mampu dipinta melainkan Dia. Benar, dalam kefakiran inilah Tuhan memberikan petunjuk dan kasih-Nya dalam setiap peristiwa kehidupan ini. Cahaya yang menerangi jiwa.

Kefakiran ini adalah satu hakikat. Namun kefakiran ini adalah satu nikmat dan juga rahmat.

Moga kasih-Nya selalu memberikan ‘Nur’ agar dapat melalui kehidupan ini menuju ke syurga-Nya.

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.