Archive for October, 2009

30-10-09

Di Jalan Ini

Posted in monolog by fajaril

Jalan yang kita lalui, memang bukan mudah. Ada duri. Ada ranjau. Ada luka. Namun, masih ada indahnya. Pada harum bunga. Pada hangat mentari. Pada ribuan warna yang penuh pesona.

Sama-sama kita lalui jalan ini. Menghargai pada setiap inci jalannya. Pada setiap nafas yang terhela. Masa kita terlalu singkat. Dan moga Tuhan membawa kita ke syurga-Nya melalui jalan ini. Jalan yang diredhai.

[+]

Foto: Musim luruh 08. Queen’s Park. Glasgow.

28-10-09

Luruh

Posted in bicara by fajaril

Jaket tebal yang hampir sekilo beratnya sudah pun dikeluarkan dari almari. Bahagian dalam jaket penuh dengan bulu-bulu sintetik yang dapat mengumpulkan haba di kala kesejukan menerpa. Musim dingin sudah pun bermula. Waktu siang semakin pendek.

Sabtu yang lalu, masa pada jam sudah pun diubah sebanyak satu jam ke belakang. Jika di musim panas pula, masa akan dipercepatkan sejam. Begitulah saban tahun yang akan dilakukan. Mujur juga sebahagian jam digital bertukar secara automatik.

Di musim luruh begini, suasana di sekitar memang begitu menakjubkan. Warna kuning keemasan bercampur merah memenuhi pokok. Jika ingin bergambar, ini adalah waktu yang amat menarik. Himpunan warna yang memikat lensa kamera.

Barangkali ada yang berkata, alangkah indah dan romantik sekali duduk berehat di bawah pokok yang daunnya berguguran. Ya, agak menarik. Namun kesejukan bayu yang bertiup pasti membuatkan kita bersegera untuk masuk ke rumah. Angin bagaikan sudah berjanji bahawa musim luruh ini dia akan selalu tiba. Bakal menjadi pendorong untuk mengugurkan daun-daun dari pokoknya.

Dan tidak lama lagi, kemuncak musim dingin akan tiba. Mungkin juga akan membawa bersama salji.

Setiap musim di bumi Scotland menyimpul begitu banyak cerita. Setahun yang lalu, musim luruh bagaikan permulaan buat kami melalui hari-hari yang penuh dugaan dan mencabar. Kami tidak akan sesekali lupa. Di musim itu, kekuatan dan ketabahan datang dengan cara yang cukup luar biasa.

14-10-09

Di Jiwa

Posted in bicara by fajaril

“The empty arms of a parent who has lost a child can only be understood by those who have gone through the same experience. For me, life seems surreal. People laughing, talking with no signs of calamity. Sometimes I ask myself did it really happen? Was I really pregnant? Did I go through the labor pains, all the pushing and straining? Did I really have a baby and he died? Surely such a grief would stop a mother’s heart. But here I am, walking and breathing.

There will always be moments when we yearn to have our babies in our arms. May Allah give us strength.”

- betty_aman, (10-10-09).

Di jiwa kami, ada satu ruang yang tidak mungkin akan berganti. Kehilangan ini bukanlah satu perkara untuk dirai. Bahkan ianya mengambil masa yang begitu lama untuk menerima akan sebuah kehilangan. Tetapi itu bukan bermakna kami melalui kehidupan dengan penuh kesedihan. Tidak!

Apabila yang tersayang dibawa pergi, doa kami pohonkan agar Tuhan menggantikan yang lebih baik kepada kami. Dan sungguh, kami semakin mengerti pada setiap apa yang Tuhan berikan. Adakalanya kasih sayang Tuhan datang dalam pelbagai bentuk. Seperti seseorang pernah berpesan, cara Tuhan mencurahkan kasih sayang kepada hamba-Nya adalah berbeza dengan cara kita mencurahkan kasih sayang sesama manusia.

Satu hari nanti, kita semua akan pulang. Kematian itu adalah pasti. Moga pada waktu itu, kerinduan kami berganti dengan sesuatu yang cukup berharga. Satu pimpinan yang boleh membawa kami ke syurga.

08-10-09

Redha

Posted in monolog by fajaril

Rindu. Bukan bermakna menangis. Rindu. Bukan bermakna tidak redha. Rindu. Bukan bermakna bersedih. Rindu. Bukan bermakna hidup dalam bayangan.

Rindu. Ia datang bukan kerana paksaan. Rindu. Ia juga anugerah.

[+]

Terima kasih atas titipan yang ditinggalkan. Insya Allah, diri tidak hanyut dalam dunia sendiri. Bahkan pada saat ini begitu banyak perkara yang harus disempurnakan. Sesekali, tulisan di sini hanya menzahirkan secebis rasa di jiwa. Bukan menceritakan kisah pada setiap masa.

05-10-09

Harum

Posted in bicara by fajaril

Dulu, dirimu dapat kudakap dan dibelai. Harum dari tubuh kecilmu bagai penawar di jiwa.

Kini, semua itu tiada lagi.

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.