12-01-10
Najla pegang erat wajah ibu. Bibirnya menguntum senyum. Sejurus kemudian, Najla mendekatkan wajahnya kepada ibu. Lantas satu kucupan diberikan di dahi ibu.
Sambil Najla berkata,
“Satu untuk ibu”.
Kemudian, satu kucupan di pipi kanan ibu.
“Satu untuk ayah”.
Seterusnya satu kucupan di pipi kiri.
“Satu untuk Najla”.
Satu kucupan di hidung tirus ibu.
“Satu untuk Amir Yusuf”.
Dan akhir sekali di dagu ibu.
“Dan satu untuk semua!”
Ibu peluk erat Najla. Dengan rasa sayang yang tidak bertepi. Ibu balas semua kucupan yang sama buat Najla. Sesudah itu, Najla membuat perkara yang sama untuk ayah. Dan semua itu sudah cukup membuatkan Najla rasa bahagia.
Ternyata, hati ayah cukup tersentuh. Dalam gelora kehidupan yang tiada terduga, hanya kasih sayang sebegini yang bisa membuatkan kami rasa kuat dan tabah. Menghargai pada setiap cebisan ruang waktu ketika bersama.
Malam tadi, ketika kami semua sedang bersiap sedia untuk tidur, ibu mengumumkan satu berita. Berita dari mimpinya. Mata ibu bersinar tanda rasa bahagia.
“Malam tadi, ibu mimpi Amir Yusuf. Amir Yusuf cium ibu.”
Najla menjerit. Dia cemburu. Dia mahu ciuman dari Amir Yusuf juga. Terus saja dia merajuk dengan ibu. Walaupun kami tahu, ia sekadar usikan manja darinya.
Aduh, rindunya Amir Yusuf. Dan dalam diam-diam, hati ayah juga cemburu. Ayah juga mahu ciuman dari Amir Yusuf. Biarpun sekadar di dalam mimpi!
07-01-10
Suhu pada ketika ini mencatatkan negatif 10 darjah celcius. Minggu ini, ianya masih di bawah paras sifar. Salji yang berguguran dari minggu lepas masih lagi tersisa dan kekal di lantai bumi. Kedinginan yang melanda pada tahun ini adalah cukup luar biasa. Bisa menggigit pada setiap inci kulit yang terdedah. Hidung merah berair. Bibir kering merekah dan pecah.
Musim dingin kali ini memang agak mencabar. Bukan saja di Scotland, bahkan di seluruh UK. Menurut berita, keadaan sejuk begini pernah dilalui 20 tahun yang lalu. Setelah sekian lama, barulah mereka melalui krismas dalam keputihan salji. Namun begitu, dalam nikmat keindahan salji, ianya datang bersama salutan ais di permukaan. Jalan akan menjadi licin. Pihak perbandaran akan sibuk menabur garam di atas laluan jalan dan kaki lima untuk mengelakkan jalan licin. Pernah juga sekali tergelincir kerana permukaan jalan yang terlalu licin. Kereta juga agak sukar dikawal dalam keadaan begini.
Siang menjadi begitu pendek. Jam 4 petang sudah menjadi gelap. Waktu Maghrib sudah pun berlalu hampir setengah jam yang sudah. Pada keadaan ini, hati bagai mahu meronta pulang segera ke rumah sambil menikmati air koko panas. Atau apa-apa saja jenis sup panas yang bisa menghilangkan rasa sejuk. Barangkali sup cendawan agak menarik pada ketika ini.
Dingin. Beku. Bagai bersatu mencuri segala haba yang ada. Entah mengapa ia bagai sama sekali mahu mencari semangat yang tersisa kepada jiwa. Bukan mudah untuk melalui musim dingin begini. Saat kedinginan itu begitu terasa, rindu sekali akan kehangatan mentari.
Dan sememangnya musim dingin begini membawa begitu banyak nostalgia. Apatah lagi ketika salji mula berguguran. Setiap butir seakan berbicara tentang kehidupan.
Masih jelas kelihatan peristiwa yang lalu. Bagaikan berlaku semalam. Musim yang sudah, gugusan salji yang terakhir membawa bersama pergi sebahagian jiwa kami. Mengiringi sebuah pemergian yang abadi. Hingga kini, ianya masih lagi dirasa. Dan perlahan-lahan, kami dibawa ke satu daerah. Daerah yang bernama ‘rindu’.
