07-01-10

Beku

Posted in peristiwa by fajaril

Suhu pada ketika ini mencatatkan negatif 10 darjah celcius. Minggu ini, ianya masih di bawah paras sifar. Salji yang berguguran dari minggu lepas masih lagi tersisa dan kekal di lantai bumi. Kedinginan yang melanda pada tahun ini adalah cukup luar biasa. Bisa menggigit pada setiap inci kulit yang terdedah. Hidung merah berair. Bibir kering merekah dan pecah.

Musim dingin kali ini memang agak mencabar. Bukan saja di Scotland, bahkan di seluruh UK. Menurut berita, keadaan sejuk begini pernah dilalui 20 tahun yang lalu. Setelah sekian lama, barulah mereka melalui krismas dalam keputihan salji. Namun begitu, dalam nikmat keindahan salji, ianya datang bersama salutan ais di permukaan. Jalan akan menjadi licin. Pihak perbandaran akan sibuk menabur garam di atas laluan jalan dan kaki lima untuk mengelakkan jalan licin. Pernah juga sekali tergelincir kerana permukaan jalan yang terlalu licin. Kereta juga agak sukar dikawal dalam keadaan begini.

Siang menjadi begitu pendek. Jam 4 petang sudah menjadi gelap. Waktu Maghrib sudah pun berlalu hampir setengah jam yang sudah. Pada keadaan ini, hati bagai mahu meronta pulang segera ke rumah sambil menikmati air koko panas. Atau apa-apa saja jenis sup panas yang bisa menghilangkan rasa sejuk. Barangkali sup cendawan agak menarik pada ketika ini.

Dingin. Beku. Bagai bersatu mencuri segala haba yang ada. Entah mengapa ia bagai sama sekali mahu mencari semangat yang tersisa kepada jiwa. Bukan mudah untuk melalui musim dingin begini. Saat kedinginan itu begitu terasa, rindu sekali akan kehangatan mentari.

Dan sememangnya musim dingin begini membawa begitu banyak nostalgia. Apatah lagi ketika salji mula berguguran. Setiap butir seakan berbicara tentang kehidupan.

Masih jelas kelihatan peristiwa yang lalu. Bagaikan berlaku semalam. Musim yang sudah, gugusan salji yang terakhir membawa bersama pergi sebahagian jiwa kami. Mengiringi sebuah pemergian yang abadi. Hingga kini, ianya masih lagi dirasa. Dan perlahan-lahan, kami dibawa ke satu daerah. Daerah yang bernama ‘rindu’.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

7 comments

  1. lin says:

    salam, semoga hari2 mendatang lebih bermakna dan menjadikan fajar sekeluarga lebih tabah, gembira dan tenang…

    07-01-10 at 2:40 pm

  2. bun says:

    jiwa yang pergi membawa gugusan semangat namun meninggalkan kekuatan yang penuh kecintaan pada rahsia keTuhanan. buat penunggu setia bumi Glasgow..Al-Fatihah

    07-01-10 at 4:00 pm

  3. aliff says:

    Salam,

    Abang Fajar,

    Kukuhkan hati, kuatkan semangat. Daerah rindu itu biarkan terpendam di sudut hati. Jangan dikenang sangat. Hidup hari ini dan akan datang, kita hadapi sepenuh jiwa.

    Janji Allah SWT sentiasa benar…

    08-01-10 at 3:09 am

  4. rudy says:

    rindu kamu fajar.

    08-01-10 at 7:49 am

  5. yatie chomeyl says:

    sejuk tu -10degree. semoga fajar sekeluarga tabah mengharungi ‘rindu’ dalam kedinginan itu

    08-01-10 at 1:04 pm

  6. saidatul says:

    telah lama saya menunggu coretan dari saudara…
    meskipun saya tidak mengenali siapa saudara…
    tetapi sentiasa membuatkan saya sentiasa ternanti2 coretan dari saudara…
    biarpun sibuk dgn tugasan sebagai seorang pelajar…
    saya tetap akan luangkan masa untuk membaca tulisan saudara…
    lebih2 lagi…,
    tentang si kecil itu…
    Amir Yusuf…
    sgt menyentuh hati…
    Amir Yusuf…
    si kecil yang tabah…
    al-fatihah…
    semoga diri saudara dan sekeluarga sentiasa tabah seperti Amir Yusuf…

    ikhlas..,dari bumi Malaysia…

    09-01-10 at 3:06 pm

  7. chentahati says:

    Anis dan Fajar..

    Semoga tabah selalu.. kita mampu berkata, tapi kamu berdua yang menghadapinya..semoga lebih tabah dari apa yang mampu saya katakan..

    11-01-10 at 3:59 am

Leave a comment

Bad Behavior has blocked 478 access attempts in the last 7 days.