27-02-10
Posted
in
puisi by
fajaril

“Where has that old friend gone
Lost in a February song
Tell him it won’t be long
Til he opens his eyes
Where is that simple day
Before colors broke into shades
And how did I ever fade
Into this life
And I never want to let you down
Forgive me if I slip away
When all that I’ve known is lost and found
I promise you,
I’ll come back to you one day…”
- February Song, Josh Groban
[+]
Photo: On the way back to Glasgow from Livingston.
Winter. February, 2010.
25-02-10
Seawal pagi semalam, salji sudah mula berguguran. Mungkin ianya sudah lama turun memandangkan tanah yang sudah kelihatan basah. Rintik-rintik salji turun dengan perlahan. Adakalanya berapung-apungan dan menari sebelum jatuh dan cair di dada bumi. Namun, setiap kali angin datang bersama, ianya jatuh bagaikan peluru putih.
Dari awal pagi, salji masih terus lebat hingga ke malam. Berterusan. Barangkali suhu yang masih tidak di paras beku menjadikan salji ini terus cair. Tidak berkumpul di bumi menjadi hamparan putih. Ais dan air berkumpul bersama di atas jalan. Basah dan becak.
Ketika teman-teman di Malaysia mengadu kepanasan, kami di sini berperang dengan kedinginan. Musim sejuk masih belum reda. Perbezaan lebih kurang 30 darjah celsius adalah begitu besar. Memang akan menjadi lumrah jika kita saling mahu berganti tempat untuk seketika!
Antara ayat lazim yang selalu diucapkan dari teman-teman adalah alangkah seronoknya menikmati salji yang gugur. Jatuh ke kepala, muka, tangan dan tubuh badan. Lalu dibayangkan pula dengan pelbagai keindahan seperti yang selalu dipaparkan di dalam filem romantik.
Adakalanya, ianya begitu indah. Satu anugerah dan tanda kekuasaan Sang Pencipta untuk manusia mengingatkan diri betapa kerdilnya kita. Namun begitu, usah dilupa yang ia datang bersama dingin yang mengigit. Seperti semalam, ais dan angin bersatu tanpa henti dari pagi hingga ke malam. Dan datang bersama kedinginan yang mencengkam.
Tubuh dilapisi dengan beberapa helai baju dan tangan yang sudah berbalut dengan sarung tangan masih belum mampu menangkis rasa dingin. Apatah lagi muka yang terdedah diterpa dengan titis-titis ais. Telinga menjadi sakit kerana sejuk dan kebas. Bagai hilang deria rasa. Mungkin juga kerana tubuh badan yang sudah biasa dengan cuaca panas, maka keadaan sejuk sebegini adalah terlalu asing untuk disesuaikan. Mengambil sedikit masa untuk menjadi biasa.
Kedinginan semalam masih berterusan ke hari ini. Titis-titis ais berganti dengan rintik-rintik hujan pula. Mungkin semua ini bagai satu utusan dari langit. Mengingatkan manusia akhir zaman agar mendekatkan diri kepada-Nya.

23-02-10
Kebiasaannya, hujung minggu adalah waktu untuk kami sekeluarga bersama dan berehat. Setelah sepanjang minggu sibuk di makmal, inilah masa untuk kami bermesra bersama Najla. Melayan karenah manja dan rajuknya.
Hujung minggu yang lalu, kami keluar bersama dan singgah di sebuah kedai kelengkapan bayi. Ibu mahu membeli hadiah untuk rakannya yang baru saja menimang cahaya mata. Maka, ibu sibuk memilih pakaian yang tergantung.
Dalam masa yang sama, Najla turut sama memilih pakaian yang ada di situ. Akhirnya dia mengambil satu baju comel berwarna pastel dan biru. Lalu ditunjukkan kepada ayah yang sedang sibuk meninjau barang-barang yang ada di dalam kedai.
“Ayah, is it cute?”
“Yes.”
“I want this. This one for Amir Yusuf.”
“Ha? Buat apa? Tak payahlah sayang.”
“Why? Please ayah.”
“Hmm. Macamana Najla nak bagi Amir? Macamana Amir nak pakai?”
Muka Najla terus berubah. Tiba-tiba saja dia menangis.
“Najla nak bagi Amir Yusuf.”
“Najla sayang, Amir Yusuf tak perlu baju ni lagi. Amir Yusuf kan dengan Allah. Allah dah beri baju yang lagi cantik pada Amir Yusuf.”
Tangis Najla masih tidak mahu reda. Ayah peluk erat tubuh Najla. Kadangkala, sebagai ayah, agak sukar meneka apa yang tersirat di hati kecilnya. Dan menjadi satu cabaran untuk menjawab dan menjelaskan segala persoalan yang diutarakan dari mulut kecilnya. Adakah dia memahami segala apa yang telah dilaluinya? Atau barangkali ini adalah salah satu rindu yang dizahirkan olehnya?
Ayah tahu. Najla sayang Amir Yusuf. Sebagaimana sayang ayah dan ibu kepada dirimu dan dirinya.
19-02-10
Posted
in
puisi by
fajaril

“Kalau mampu
mahu saja ku lemparkan
ketulan salji ini padamu,
biar kau tahu betapa dinginnya ia,
namun,
ia tidaklah sedingin aku,
yang sering dimamah rindu…”
- Rindu, Mulyadi Mahmood, Illinois.
[+]
Terima kasih buat Kak Elaira yang sudi berkongsi puisi indah ini. Katanya, puisi ini dihafal sejak zaman sekolah lagi ketika terjumpa di suratkhabar.
Kedinginan dilanda kerinduan!
14-02-10
Setiap hari bagaikan penuh dengan segala macam perkara yang memerlukan tumpuan. Apatah lagi, masa di akhir tahun pengajian memang cukup menekan. Seakan, sudah begitu lama sekali tempat itu tidak dijenguk. Kesibukan bagaikan menjerat kekosongan ruang masa. Lalu, hari berganti hari, seakan memanggil satu rasa menarik jiwa.
Awal Februari, bumi Glasgow diliputi salji sekali lagi. Pagi itu, setelah beberapa kali tertangguh, akhirnya dapat juga kami berkunjung ke satu daerah yang seakan sudah lama terbiar. Di dalam hati, memang ada rasa kesal dan bersalah. Bukan terlupa. Dan bukan juga disengajakan.
Sebaik saja kereta kami memasuki perkarangan perkuburan Cathcart Cemetery, kesuraman warna di dalamnya berubah menjadi indah. Melewati jalan yang dipenuhi putih dengan salji-salji yang bertaburan di setiap ruang bagaikan satu keajaiban yang cukup luar biasa. Alam berbicara kepada kami dengan lagu yang cukup indah dan perlahan. Saat sebegini, bukan selalu dapat dirasai.
Kereta kami akhirnya berhenti di sisi jalan yang berdekatan dengan pusara Amir Yusuf. Kawasan yang sebelum ini penuh dengan warna hijauan rumput bertukar warna kepada putih. Menikmati suasana begini mendekatkan lagi akan kebesaran dan kehebatan Tuhan Yang Esa. Dan sebaik kaki memijak salji yang masih lembut di muka bumi, hati disambut dengan rasa rindu dan keinsafan yang berderu-deru.
“Salam buat kalian, wahai para penghuni Barzakh. Moga kesejahteraan dan kerahmatan sentiasa bersama kalian.”
Dan kaki mula melangkah, menuju ke pusara anakanda yang terletak di barisan tengah. Mata tercari-cari tanda pusara yang kebanyakannya hilang dalam timbusan salji. Mujur pokok daun maple kecil yang ditanam pada musim yang lalu masih setia berdiri. Menanti musim bunga datang untuk menerbitkan putik daun yang baru.

Pagi sebegini, masih tidak begitu ramai pengunjung yang datang. Sudah menjadi kebiasaan, daerah ini tidak pernah sunyi. Hampir setiap hari, pasti akan ada orang yang datang menziarah. Moga kehadiran kami hari ini dapat membawa rasa bahagia yang berpanjangan. Membawa rasa rindu dan doa dari dunia hingga ke alam sana.

Kali pertama memandang pusara anakanda, hati jadi terharu. Baru beberapa minggu, kami tidak ke sini. Namun seakan sudah lama sekali. Daun kering bercampur salji di dada bumi. Nisan yang tertimbus bersalut salji.
“Salam buatmu anakanda. Ayah dan ibu datang. Maaf jika lama menanti kami datang ke sini”.
Segera ayah membersihkan nisan dari butir-butir salji. Daun-daun dan bunga-bunga kering di sekitar turut dikutip dan dibuang. Setelah semuanya bersih, ayah mula membuka surah Ya’asin. Dalam dingin pagi, kalimah-kalimah suci dari-Nya mengalir keluar dari mulut ini. Bersama-sama hembusan udara yang bagaikan asap.

Di dalam doa, ayah dan ibu menyimpul rasa rindu. Memohon Tuhan menyampaikan segala apa yang dirasa.
Tanpa peduli dengan kedinginan salji, ayah membuka sarung tangan yang membaluti kulit. Lalu ayah usap pada batu hitam yang dijadikan tanda buat pusara anakanda. Tentu Amir Yusuf tahu betapa rasa rindu ini tidak pernah hilang. Dan sungguh ayah ibu berharap agar kekuatan akan sentiasa bersama kami. Semangat juang dalam meneruskan cita-cita dan impian di daerah ini.

Putik bunga daffodil sudah mula kelihatan. Tidak sabar rasanya menanti musim bunga dan membawa kedinginan ini pergi.

Kami pergi dulu anakanda. Moga nanti, ayah dan ibu ke sini lagi.

Dan rindu berlagu semula.


Lagu sepi. Dingin bagai salju.
“Tuhan, jadikanlah kami sebagai hamba-hamba-Mu yang Engkau berkati. Kurniakanlah rahmat-Mu di dunia dan akhirat. Satukanlah kami semua di dalam syurga-Mu. Amin.”