14-02-10

Lagu Sepi

Posted in bicara by fajaril

Setiap hari bagaikan penuh dengan segala macam perkara yang memerlukan tumpuan. Apatah lagi, masa di akhir tahun pengajian memang cukup menekan. Seakan, sudah begitu lama sekali tempat itu tidak dijenguk. Kesibukan bagaikan menjerat kekosongan ruang masa. Lalu, hari berganti hari, seakan memanggil satu rasa menarik jiwa.

Awal Februari, bumi Glasgow diliputi salji sekali lagi. Pagi itu, setelah beberapa kali tertangguh, akhirnya dapat juga kami berkunjung ke satu daerah yang seakan sudah lama terbiar. Di dalam hati, memang ada rasa kesal dan bersalah. Bukan terlupa. Dan bukan juga disengajakan.

Sebaik saja kereta kami memasuki perkarangan perkuburan Cathcart Cemetery, kesuraman warna di dalamnya berubah menjadi indah. Melewati jalan yang dipenuhi putih dengan salji-salji yang bertaburan di setiap ruang bagaikan satu keajaiban yang cukup luar biasa. Alam berbicara kepada kami dengan lagu yang cukup indah dan perlahan. Saat sebegini, bukan selalu dapat dirasai.

Kereta kami akhirnya berhenti di sisi jalan yang berdekatan dengan pusara Amir Yusuf. Kawasan yang sebelum ini penuh dengan warna hijauan rumput bertukar warna kepada putih. Menikmati suasana begini mendekatkan lagi akan kebesaran dan kehebatan Tuhan Yang Esa. Dan sebaik kaki memijak salji yang masih lembut di muka bumi, hati disambut dengan rasa rindu dan keinsafan yang berderu-deru.

“Salam buat kalian, wahai para penghuni Barzakh. Moga kesejahteraan dan kerahmatan sentiasa bersama kalian.”

Dan kaki mula melangkah, menuju ke pusara anakanda yang terletak di barisan tengah. Mata tercari-cari tanda pusara yang kebanyakannya hilang dalam timbusan salji. Mujur pokok daun maple kecil yang ditanam pada musim yang lalu masih setia berdiri. Menanti musim bunga datang untuk menerbitkan putik daun yang baru.

Pagi sebegini, masih tidak begitu ramai pengunjung yang datang. Sudah menjadi kebiasaan, daerah ini tidak pernah sunyi. Hampir setiap hari, pasti akan ada orang yang datang menziarah. Moga kehadiran kami hari ini dapat membawa rasa bahagia yang berpanjangan. Membawa rasa rindu dan doa dari dunia hingga ke alam sana.

Kali pertama memandang pusara anakanda, hati jadi terharu. Baru beberapa minggu, kami tidak ke sini. Namun seakan sudah lama sekali. Daun kering bercampur salji di dada bumi. Nisan yang tertimbus bersalut salji.

“Salam buatmu anakanda. Ayah dan ibu datang. Maaf jika lama menanti kami datang ke sini”.

Segera ayah membersihkan nisan dari butir-butir salji. Daun-daun dan bunga-bunga kering di sekitar turut dikutip dan dibuang. Setelah semuanya bersih, ayah mula membuka surah Ya’asin. Dalam dingin pagi, kalimah-kalimah suci dari-Nya mengalir keluar dari mulut ini. Bersama-sama hembusan udara yang bagaikan asap.

Di dalam doa, ayah dan ibu menyimpul rasa rindu. Memohon Tuhan menyampaikan segala apa yang dirasa.

Tanpa peduli dengan kedinginan salji, ayah membuka sarung tangan yang membaluti kulit. Lalu ayah usap pada batu hitam yang dijadikan tanda buat pusara anakanda. Tentu Amir Yusuf tahu betapa rasa rindu ini tidak pernah hilang. Dan sungguh ayah ibu berharap agar kekuatan akan sentiasa bersama kami. Semangat juang dalam meneruskan cita-cita dan impian di daerah ini.

Putik bunga daffodil sudah mula kelihatan. Tidak sabar rasanya menanti musim bunga dan membawa kedinginan ini pergi.

Kami pergi dulu anakanda. Moga nanti, ayah dan ibu ke sini lagi.

Dan rindu berlagu semula.

Lagu sepi. Dingin bagai salju.

“Tuhan, jadikanlah kami sebagai hamba-hamba-Mu yang Engkau berkati. Kurniakanlah rahmat-Mu di dunia dan akhirat. Satukanlah kami semua di dalam syurga-Mu. Amin.”

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

9 comments

  1. zaini says:

    Benarlah kata-kata Allah bahawa anak-pinak dan harta benda itu hanyalah ujian.

    15-02-10 at 2:29 am

  2. min says:

    semoga dia menjadi anak yang akan menyambut ketibaan ibu & ayahnya di pintu syurga nanti. Insya Allah!

    15-02-10 at 9:58 am

  3. K Lin says:

    Semoga Fajar dan Anis sentiasa cekal menghadapi gelora hidup di bumi ini…

    Doa kalian untuk kalian, semoga kalian mendoakan kami jua

    Salam Rindu dan sayang

    K Lin, Abg Awi & Co

    15-02-10 at 5:17 pm

  4. Lin says:

    Semoga kalian tabah sentiasa… Kepulangan kalian akan di sambut anakanda Amir Yusuf dengan tangan terbuka dgn senyuman penuh kerinduan di sana… insya’allah…

    16-02-10 at 8:26 am

  5. dee says:

    Rasa nyaman sekali setiap kali membace en3 tuan rumah:)

    16-02-10 at 2:21 pm

  6. xiao hong says:

    salam

    Alfatihah untuk anakanda Amir Yusuf. semoga doa kita diperkenankan Allah SWT. semoga diberkati Allah SWT. fajar dah nak balik Malaysia ke?

    17-02-10 at 1:59 am

  7. bun says:

    rindu ke hujung sendu..
    Al-Fatihah

    17-02-10 at 9:12 am

  8. aliff says:

    Salam,

    Bang Fajar,

    Ujian Allah SWT untuk hambaNya yang beriman. Teruslah bertaqwa dengan sebaik-baiknya.

    18-02-10 at 5:57 am

  9. kingbinjai says:

    semoga amir yusuf akan memimpin tangan kalian bdua disana

    18-02-10 at 6:12 am

Leave a comment

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.