07-05-07

About

Jurnal ini telah mula ditulis pada April 2001 (arkib catatan lama masih belum dipautkan). Pada mulanya ia hanyalah sekadar medan untuk meluahkan perasaan dan berkongsi cerita bersama-sama rakan-rakan yang ada di dunia siber. Semua itu berputik melalui tekanan dan kekosongan yang dihadapi semasa menempuh dunia ‘master’. Lama kelamaan ruang ini menjadi amat istimewa kerana persahabatan yang terjalin terus dibawa ke alam realiti. Banyak kenangan yang telah dicipta bersama. Di samping itu, ianya turut menarik pengunjung yang terdiri dari kenalan lama, sahabat dan juga rakan yang baru.

Jurnal ini juga sudah beberapa kali tenggelam timbul. Kadang-kadang penuh dengan ‘updates’. Kadang-kadang dalam proses ‘idle’ untuk tempoh yang panjang. Semuanya bergantung kepada masa dan mood untuk menulis. Ada ketika, banyak perkara yang dapat dikongsi. Namun ada ketikanya, sesuatu perkara itu hanya patut disimpan begitu saja.

Setelah sekian lama, menulis di sini bagaikan menyimpan sesuatu untuk dikenang. Hidup ini penuh dengan kemungkinan, cabaran, dugaan dan sebagainya. Apabila sesuatu coretan dibaca semula, maka ia menjadi satu muhasabah diri. Menarik juga melihat bagaimana transisi diri sendiri dalam beberapa tahun.

Kini, berada jauh di bumi Scotland untuk meneruskan perjuangan di dalam bidang kejuruteraan. Keberadaan jauh di rantau orang banyak mengajar diri tentang kehidupan, ketabahan, kecekalan dan juga kerinduan.