Dua
Selamat ulang tahun Amir Yusuf sayang.
Kami akan selalu merinduimu. Apabila tiba masanya, pimpinlah tangan ayah dan ibu serta semua saudaramu menuju ke syurga-Nya.
Al-Fatihah.
‘Rindu, rindu, rindu kalbu.’
Selamat ulang tahun Amir Yusuf sayang.
Kami akan selalu merinduimu. Apabila tiba masanya, pimpinlah tangan ayah dan ibu serta semua saudaramu menuju ke syurga-Nya.
Al-Fatihah.
‘Rindu, rindu, rindu kalbu.’
Genap sudah setahun Amir Yusuf pergi meninggalkan kami. Begitu pantas sekali masa berlalu. Namun, segala peristiwa bersama dirinya masih begitu segar di dalam ingatan. Bagai baru saja semalam. Pada setiap kesukaran, kepedihan, kesabaran dan ketabahan yang begitu sukar untuk dizahirkan dengan kata-kata.
Ada orang pernah berkata, pada yang telah pergi biarkanlah saja dia pergi. Usah dikenang-kenang kerana dirinya sudah dijanjikan dengan tempat yang baik. Tempat yang menjadi idaman semua. Iaitu syurga milik-Nya.
Satu perkara yang pasti, tidak mungkin akan dapat dilupakan tentang dirinya. Dia datang dari tanda kasih kami. Satu anugerah yang cukup bermakna. Meskipun keadaannya tidak begitu sempurna kerana pelbagai komplikasi yang ditanggung oleh tubuh kecilnya, namun di sisi Tuhan dia begitu sempurna. Ternyata, dia terlalu istimewa.
Setiap kali berkongsi cerita tentang dirinya, ada yang mungkin beranggapan bahawa kami sebagai ibu dan ayahnya akan bersedih dan meratapi akan sebuah kehilangan. Tidak. Air mata bukan tumpah kerana duka. Kadangkala, ia mengalir kerana kerinduan. Juga kerana kesyukuran. Alangkah terharunya di hati kami, apabila mendengar dan membaca hadis yang menerangkan bagaimana anak kecil yang telah pergi akan memberi syafaat kepada ibu bapanya. Bergenang juga air mata ini, apabila diberitahu sewaktu manusia dihisab di akhirat, syafaat yang datang dari anak kecil ini datang membantu ibu dan ayahnya. Moga di sana nanti, tangannya bisa memimpin kami bersama-sama ke syurga!
Alangkah indah dan nikmatnya impian itu.
Sesungguhnya segala apa yang telah ditentukan oleh Tuhan adalah suatu perkara yang sukar dijangkau oleh pemikiran kita sebagai manusia yang kerdil. Manusia hanyalah merancang, namun hanya Dia yang menentukan segalanya. Kata-kata ini seringkali terungkap. Apabila kita membuka hati dan jiwa serta melihat segala apa yang kita lalui selama kehidupan ini, maka sudah pasti akan tersingkap kebesaran-Nya.
Mengenangkan dirinya adalah satu perkara yang bukan luar biasa buat kami. Tidak pernah namanya lekang dari terungkap dari mulut kami sekeluarga. Bagaikan dia ada selalu bersama kami. Cuma berada pada alam yang berbeza. Antara hidup dan mati. Namun kasih sayang itu telah mengikat kami dengan begitu erat. Mengenangkan dirinya turut mengingatkan diri ini akan kuasa Sang Pencipta. Bahawa manusia itu adalah kerdil dan tiada upaya.
Cukup dengan Amir Yusuf, kami diajar untuk memahami dan mengenali siapa diri kami ini. Sehebat mana pun manusia, kita ini bukan siapa-siapa. Tetapi hanyalah sekadar manusia biasa yang seharusnya mensyukuri akan kebesaran Ilahi. Hanya kepada Dia tempat untuk bermohon. Dan setiap kali kami meminta bantuan dan harapan, maka kami diberikan jawapan pada setiap persoalan dan permintaan. Ianya datang dengan perlahan-lahan, namun cukup sempurna. Setiap peristiwa bersama Amir Yusuf bersilih ganti bagai memberi jawapan buat kami insan yang mengharap keredhaan dari-Nya. Membuka mata hati dan jiwa. Betapa agungnya Dia.
Mengimbau kembali kenangan bersama Amir Yusuf, mengingatkan kami pada satu ruang di mana kekuatan, kesabaran dan ketabahan itu teruji. Hati dilentur-lentur. Perlahan-lahan ia dipeluk dalam selimut takdir. Redha untuk menerima pada setiap pemberian dari Tuhan. Pernah juga sesekali terlintas, adakah itu diri kami? Tiada siapa pun mahu membayangkan berada di dalam keadaan yang sedemikian. Tetapi, jika itu kehendak-Nya, maka siapalah kita untuk menolaknya? Kerana, di dalam dugaan sebegitu kita akan terasa begitu dekat dengan-Nya. Dan sentiasa berharap agar rahmat dan kasih-Nya akan terus berpanjangan hingga ke akhir waktu.
Sehampar rasa terima kasih buat semua teman dan kenalan yang begitu setia membaca ruangan ini khususnya. Baik yang mengenali secara peribadi mahupun hanya di ruang maya ini. Tidak dapat dilupakan, bagaimana pada tahun yang lalu, tiba-tiba saja hits pada blog ini mencecah angka yang amat tinggi iaitu melebihi angka 6000 dalam sehari. Lebih-lebih lagi melalui entri kami yang sungguh peribadi, Untuk Terakhir Kali. Sungguh dapat kami rasakan betapa indahnya ikatan yang pernah terjalin melalui anakanda kami, Amir Yusuf. Tidak akan kami lupakan pada semua yang pernah memberikan kata-kata semangat dan kekuatan. Serta doa yang tulus ikhlas. Tangan ini tidak mampu untuk menzahirkan rasa syukur dan terima kasih itu. Hanya doa dipohonkan agar setiap kebaikan yang dihulurkan akan diberikan ganjaran yang besar di akhirat kelak. Insya Allah, moga satu hari nanti kita akan dipertemukan.
“Amir Yusuf, seakan baru saja semalam kami bersamamu. Mengenangkan dirimu, mengingatkan diriku akan kebesaran, keagungan dan kekuasaan Tuhan. Moga dirimu berbahagia dan bergembira dikelilingi bidadari syurga, sayangku. Dan moga nanti kita disatukan di syurga milik-Nya. Ya Allah, sampaikanlah salam kerinduan kami buat Amir Yusuf.”
Amir Yusuf. 27/06/08-06/03/09.
Al-Fatihah.
Terima kasih buat sahabat kami, saudara Izani Zainal kerana ‘menghadiahkan’ kami klip video ini. Ianya terlalu bermakna buat kami. Menusuk jiwa dan sanubari. Sebagaimana indahnya melodi dan lirik lagu Terlalu Istimewa dari Adibah Noor, demikianlah indahnya kenangan kami bersama Amir Yusuf. Moga terus subur dan mengharum ke dalam jiwa ini.
“Kerinduan, tak akan menghilang,
Kau selalu kurasa, tak mampu ku menghindar…”
Katalah apa saja, sejujurnya rasa rindu ini tidak pernah akan pergi. Selalu saja menemani. Adakala ia berbalam-balam. Adakalanya ia begitu memuncak. Namun, mujur juga ada Dia untuk mendambakan dan menyampaikan segala rasa rindu ini.
Bagi mereka yang pernah mengikuti ruangan di sini, sejak bertahun yang lalu, sudah pasti akan merasa kelainan pada setiap tulisan yang dikongsikan. Jarang sekali catatan bersifat peribadi seperti dahulu. Hingga ada yang mengatakan, blog ini sudah seperti blog Amir Yusuf sahaja.
Sejujurnya, ia pasti akan mengambil masa yang begitu panjang untuk membiasakan semula dengan tulisan yang terdahulu. Apa yang pasti, blog ini seakan salah satu manifestasi kenangan dan sisipan kerinduan kami kepada Amir Yusuf. Ruang inilah yang menjadi salah satu tempat kami mendapat kekuatan. Juga sokongan dan doa dari teman-teman di luar sana. Sudah pasti ianya tidak akan dilupakan.
Kehilangan bukanlah satu perkara yang mudah. Sebulan, setahun, bahkan berpuluh tahun pasti akan membawa segala kenangan dan kerinduan. Mana mungkin ada ganti. Setiap sesuatu anugerah Tuhan adalah cukup unik dan istimewa. Demikianlah apa yang diberikan kepada kami.
Sungguh kami percaya bahawa setiap sesuatu adalah pinjaman daripada Allah. Sebagai manusia, kita ini begitu miskin memandangkan tiada satu pun yang menjadi hak mutlak. Pada degupan jantung, pandangan mata, pendengaran telinga, deria rasa dan hembusan nafas ini adalah pinjaman dari-Nya semata-mata. Begitu juga dengan kurniaan cahaya mata ke dalam hidup sesebuah keluarga.
Amir Yusuf adalah satu anugerah kepada kami. Apabila dia diambil semula daripada kami, siapalah kami untuk menafikan hak yang telah Allah berikan? Sudah pasti hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Pasti ada kemanisan yang tidak dapat digambarkan di pemikiran manusia yang sebegitu lemah. Maka, hanya redha saja menjadi teman sejati.
Ramadan lalu penuh dengan kenangan. Ramadan lalu, kami sama-sama menemani Amir Yusuf di hospital biarpun masa yang terluang dirasakan begitu sekejap. Ramadan yang lalu, kami sama-sama bertadarus Al-Quran di sisi Amir Yusuf. Mengalunkan kalam-Nya dengan penuh harapan dan keinsafan.
Dan siapa pun tidak menduga bahawa itulah Ramadan yang pertama dan terakhir buat Amir Yusuf.
Bagaimana harus kami menzahirkan segala rasa rindu yang selalu bertandang? Ada ketikanya, mahu saja ayah pergi ke hospital dan duduk di sana untuk mengulang semula segala peristiwa. Tapi, ianya tidak akan sama. Hanya kenangan membaca Al-Quran bersama dirinya di bulan Ramadan menjadi ganti. Dan pada ketika itu, ada rasa bahagia datang bertamu. Apatah lagi, syurga sudah menjadi tempat yang pasti buat insan seistimewa dirinya.
Bukan ayah tidak tahu, ibu turut menanggung rasa rindu. Namun jarang sekali ibu menzahirkan atau meluahkan rasa rindu itu. Ayah tahu, setiap malam ibu akan tidur sambil memeluk soft monkey milik Amir Yusuf. Hinggakan Najla begitu cemburu setiap kali terlihat ibu memeluknya.
“Ibu tak sayang Najla. Ibu sayang monkey tu.”
“Ibu sayang Najla. Dan ibu sayang pada Amir Yusuf juga. Najla selalu dapat tidur dengan ibu. Amir Yusuf tak pernah dapat tidur dengan ibu atau ayah. Betul kan sayang?”
“Hmm. Najla pun sayang Amir Yusuf. Dia jumpa Allah kan ibu?”
“Ya sayang. Dia jumpa Allah.”
Najla rindu Amir Yusuf. Ibu rindu Amir Yusuf. Ayah rindu Amir Yusuf.
Setiap kali mengulangi kata rindu kepada dirinya, rasa sebak berkumpul di dada. Rindu ini bagai tiada hentinya. Rindu yang membawa kami dekat dengan-Nya.

Catatan 27-06-09.
Pagi itu ayah terjaga dari lena dengan satu rasa yang lain dari biasa. Sememangnya tiada apa yang berbeza pada hari itu berbanding hari-hari yang lain. Cuma pagi itu adalah pagi Sabtu. Hari yang sememangnya dinanti kerana itulah hari untuk ayah dan ibu bersantai di rumah. Menghilangkan penat dan kekusutan dari tugasan kerja pada hari-hari biasa.
Namun, pada pagi itu berkumpul satu rasa yang sukar untuk diduga. Tiba-tiba saja ada rasa sebak menerjah di ruang hati dan jiwa. Ayah hela nafas perlahan-lahan agar dapat menahan dari terus dibuai perasaan ini.
Satu sms singgah ke telefon ayah. Dari teman yang jauh di Malaysia. Mengirim salam dan doa. Dia juga mengingati betapa berbezanya hari ini. Sebak menusuk dada.
Mana mungkin dapat melupakan hari ini. Tarikh ini. Lima hari selepas ulang tahun Najla. Setahun yang lalu, pada tarikh inilah Amir Yusuf dilahirkan ke dunia. Datang menyapa ayah dan ibu dengan kesyukuran. Dalam suka dan duka. Membaurkan ribuan rasa. Dan setahun yang berlalu tidak pernah sekali pun detik-detik itu dilupakan. Seakan baru semalam ia berlaku. Sesekali, terlintas juga di fikiran seandainya Amir Yusuf masih ada pada ketika ini.
Ayah dan ibu tidak pernah berkongsi cerita detik-detik kelahiran Amir Yusuf di ruangan ini. Barangkali terlalu gusar dan sibuk dengan perang emosi di jiwa kami pada ketika itu. Tidak dapat dinafikan, kehadiran Amir Yusuf bagaikan satu titik penanda di dalam kehidupan ayah dan ibu. Bagai mahu mengingatkan diri bagaimana harus bersabar, kuat dan redha pada segala ketentuan. Sungguh, ayah dan ibu begitu kosong dan hampir tidak berdaya sebaik dikhabarkan dengan bermacam komplikasi yang dihadapi oleh anakanda yang baru saja bernafas di bumi ini.

Awal pagi itu, ayah dan ibu terus menuju ke Southern General Hospital apabila tanda-tanda kelahiran sudah menjelma. Setelah puas menanti, ibu akhirnya dibawa masuk ke dalam wad untuk ujian ultrasound kerana rasa sakit itu hampir tiada meskipun cecair yang melindungi sekitar bayi di dalam rahim sudah keluar.
Sekali. Dua kali. Tiga kali ujian ultrasound itu dijalankan. Seakan mereka mahu mengesahkan apa yang mereka lihat pada paparan monitor. Ada sesuatu yang luar biasa pada kandungan. Sebelum ini, boleh dibilang dengan jari berapa kali mereka menjalankan ujian begini kepada ibu. Dan kini tiba-tiba saja ada sesuatu yang lain pula.
Itu adalah isyarat pertama kepada ayah dan ibu. Agar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Doktor memaklumkan kepada ayah dan ibu, ada sesuatu di dalam perut bayi yang dikandung ibu. Ianya seakan sesuatu yang tersumbat di situ. Debar pada ketika itu terus disisip ke dada. Hanya doa dipohonkan agar apa yang dilihat hanyalah sebagai satu kesilapan. Moga yang baik-baik saja selepas ini.
Memandangkan keadaan bayi yang agak lain daripada biasa pada pengalaman mereka, lalu ibu harus dipindahkan ke hospital yang lain. Maka pada petang itu, ayah dan ibu bergerak menuju ke Queen’s Mother Hospital yang bersebelahan dengan Royal Sick Children Hospital, atau dikenali sebagai Yorkhill Hospital. Anehnya, pada ketika itu rasa sakit hampir tiada pada ibu. Hingga ayah tertanya-tanya, adakah benar masanya sudah tiba? Apatah lagi hari ini adalah empat minggu awal dari yang dijangkakan.
Ketika dibawa masuk ke dalam wad, ibu masih lagi tidak menunjukkan tanda untuk dibawa segera ke bilik bersalin. Bahkan tiada rasa sakit seperti kandungan yang pertama. Oleh itu, ayah tinggalkan ibu seketika untuk pulang ke rumah bagi mengambil barang keperluan serta menjenguk Najla.
Belum pun lama ayah berada di rumah, sms dari ibu tiba. Tepat jam 10 malam. Kesakitan sudah bermula. Mungkin tidak lama lagi. Dan sejurus kemudian, panggilan dari jururawat di hospital turut meminta ayah datang segera. Setelah mencium dan memeluk Najla, ayah terus bergegas ke hospital.
Jam sudah mula menunjukkan angka sebelas. Lewat kerana terpaksa meredah malam, mencari tempat meletak kenderaan dan berhadapan dengan petugas keselamatan. Akhirnya, ayah tiba ke wad bersalin di tingkat empat. Rasa debar bertandang. Saatnya bakal tiba. Moga Allah mempermudahkan segala urusan.
Ayah lihat ibu di atas katil. Ayah masih mengingati bagaimana harus berhadapan dengan situasi begini. Ketika Najla mula-mula dilahirkan. Mengikut perkiraan, mungkin ada beberapa jam lagi sebelum bayi akan keluar.
Ayah disapa oleh seorang jururawat yang berusia. Tersenyum manis dan berkata sesuatu kepada ibu sambil melirikkan matanya kepada ayah.
“Baby sudah mula mahu keluar ke sayang?”
Pengalaman ayah menyambut kakak Najla membuatkan ayah agak bersedia untuk menemani ibu pada saat-saat getir ini. Namun begitu, alangkah tergamamnya ayah apabila dimaklumkan ibu, bayi yang dikandung ibu sudah pun selamat keluar. Ayah tidak sesekali perasan akan perut ibu yang ditutupi selimut tebal. Ayah sangka sikap tenang jururawat yang bertugas pada saat-saat getir begini adalah normal. Rupanya ayah tersilap.
Ibu mula bercerita betapa singkatnya semua itu. Sebaik bukaan sudah mula terasa, Amir Yusuf sudah terus mahu keluar. Bahkan ketika dipindahkan ke wad bersalin melalui lif kecemasan saja, ianya sudah begitu ketara. Sungguh ayah tidak menyangka, putera ayah begitu cepat keluar. Tidak sampai sejam pun ibu menahan rasa sakit. Cuma ada sedikit rasa ralat menyelubungi. Ayah tidak sempat menyambut kelahiran putera ayah yang pertama.
Ternyata, detik kelahiran Amir Yusuf ke dunia bagai tidak mahu menyulitkan dan menyakitkan ibu terlalu lama. Begitu mudah sekali. Dan ianya bagai memberi lagi satu tanda bahawa Amir Yusuf adalah unik dan istimewa di awal-awal lagi.

Pertama kali ayah dibawa untuk melihat Amir Yusuf, dada penuh rasa debar. Lain dari kebiasaan. Apatah lagi sewaktu dibawa ke ruangan bayi yang penuh dengan inkubator, tiub-tiub dan bermacam lagi. Melihatkan keadaan bayi-bayi di sini menambahkan lagi rasa yang berkumpul di dada. Ini satu pandangan yang cukup baru buat ayah. Teruk sangatkah Amir Yusuf hingga ditempatkan ke bilik ini?
Akhirnya, ayah dapat melihat Amir Yusuf buat kali pertama. Begitu damai ditempatkan di dalam kotak kecil inkubator. Bagai terhenti nafas ini. Sebak mula menguasai diri. Perasaan ini bercampur baur. Lebih-lebih lagi melihatkan putera ayah yang dikelilingi dengan bermacam wayar.
Ayah mahu sentuh Amir Yusuf. Ayah mahu peluk Amir Yusuf. Ayah mahu azankan di telinga Amir Yusuf dengan kalimah suci.
Sebaik ayah membersihkan tangan, jururawat yang bertugas mula membuka penutup inkubator dan menyusun wayar serta tiub di badan Amir Yusuf. Akhirnya Amir Yusuf berada di dalam pelukan ayah.
Ayah lihat Amir Yusuf. Pada matanya. Pada hidungnya. Pada mulutnya. Pada seluruh wajahnya. Ayah sentuh jari dan kaki. Ayah usap perlahan-lahan pada seluruh tubuh dengan penuh rasa kasih. Semuanya sempurna di mata ayah. Sekian lama berada di dalam rahim ibu, akhirnya Amir Yusuf muncul di depan mata.
Dengan nada lembut dan rasa syukur, ayah melagukan azan dan iqamat di telinga Amir Yusuf. Moga kalimah pertama ini akan terus mendekatkan Amir Yusuf pada penciptanya. Yang Maha Kuasa.

Namun hati ayah masih diterpa rasa gusar. Bagaikan berbisik sesuatu yang sengaja ayah nafikan. Dan ayah tidak mahu membuat telahan sendiri. Barangkali cara doktor di sini terlalu rinci hingga perkara kecil mahu diuruskan secara rapi. Demikianlah ayah memujuk diri.
Tengah malam itu juga ayah dan ibu, Dr Barbara datang menemui kami. Kejutan sudah bermula. Satu demi satu berita disampaikan. Setiap butir bicara lembut dari mulut Dr Barbara seakan begitu menusuk setiap anggota. Jiwa, akal dan fikiran bagaikan berputar-putar. Sungguh, pada ketika itu seakan kosong perasaan ini. Betapa ayah mengharapkan semua itu hanyalah andaian semata-mata. Bukannya sesuatu yang mutlak. Ayah sengaja menafikan. Di mata ayah, terbayang masa depan. Pada ketika itu, mulut ini bagaikan terlalu payah untuk berkata-kata. Fikiran buntu untuk mencerna segalanya.
Air mata lelaki ayah tumpah akhirnya. Ayah tersendu menahan tangis. Ibu bagaikan kaku dan kelu. Dalam kepenatan. Dalam kesakitan. Dalam kepiluan. Ayah pegang tangan ibu dengan kuat. Ayah mahu memberi kekuatan kepada ibu. Namun dalam masa yang sama, kekuatan tiada di dalam diri ayah pada ketika itu. Dan sesungguhnya, di jiwa ini hanya ada Dia untuk memohon agar diri ini terus kuat, tabah dan redha menerima segalanya. Percayalah sayang, ketika itu baru ayah mengerti betapa besarnya makna ’sabar’ dan ‘tabah’ itu. Melaluinya adalah satu perkara yang cukup luar biasa.

Hari berganti hari. Menjadi seminggu. Terus sebulan. Hinggalah ke lapan bulan lebih. Sejak mula Amir Yusuf lahir, wad hospital adalah tempat bermain. Dari satu wad ke wad yang lain. Dalam masa yang sama, Amir Yusuf terus memberi kejutan kepada ayah dan ibu. Satu demi satu berita muncul bagaikan menguji sejauh mana kekuatan dan ketabahan diri ini. Amir Yusuf terus berjuang. Dan harapan sentiasa berada di sisi. Meskipun adakalanya ianya berterbangan.

Amir Yusuf, anakanda yang disayangi lagi dirindui. Bukanlah ayah ingin mengimbau akan segala kepahitan yang pernah ayah dan ibu lalui. Ayah tidak mahu menangis kesedihan. Telah ayah redha akan segala takdir yang diberikan. Tetapi, pada ketika ini, ayah ingin mengingatkan tentang erti perjuangan, kekuatan, ketabahan dan kesabaran yang pernah kita lalui bersama. Bermula dari detik Amir Yusuf lahir ke dunia memberikan gambaran yang baru ke dalam diri ayah dan ibu. Betapa manusia itu begitu kerdil di sisinya.
Percayalah sayang, Amir Yusuf begitu istimewa di sisi ayah dan ibu. Serta semua yang mengenali. Seseorang pernah menuliskan di ruangan ini, bahawa tika di dunia lagi Amir Yusuf sudah berbakti kepada ayah dan ibu melalui utusan doa semua rakan taulan, saudara, ayahanda-ayahanda, bonda-bonda, pakcik, makcik, abang dan kakak dari seluruh dunia yang mengikuti perkembangan Amir Yusuf. Moga ianya akan berpanjangan hingga ke akhirat. Dalam rahmat kasih sayang dari-Nya.
Mati tidak akan memisahkan kita. Mati masih mengikat kita. Yang terpisah hanyalah jasad di dunia yang fana ini. Demikian juga rindu dan sayang yang tiada hentinya. Ianya pasti bertali temali, biarpun nafas ini terhenti lalu dibawa ke alam sana.
Dalam kerinduan, ayah dan ibu menitipkan doa. Agar rohmu ditempatkan bersama para kekasih-Nya. Bertemankan bidadari-bidadari rupawan. Berlarian di dalam taman syurga. Dalam penuh keriangan dan ketenangan. Moga nanti, Amir Yusuf akan memimpin ayah dan ibu bersama saudaramu menjejaki syurga-Nya lalu disatukan buat selama-lamanya.
Al-Fatihah.



“With you,
it wasn’t long enough together,
but it was long enough to last forever…”
Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.