Archive for the amir yusuf category
03-04-09

Ibu berkata,
“Jasad tenang yang dijemput Ilahi bukanlah dagangan kaku. Tetapi, punyai jiwa dan kalbu. Punyai pertalian merah yang telah mengikat setiap daerah rasa.
Rindu mendakap kehilangan
bukanlah meratapi,
Rindu mendakap kehilangan
bukanlah tidak meredhai,
Rindu mendakap kehilangan
bukanlah menolak takdir Ilahi.
Rindu mendakap kehilangan
sengaja dibiarkan terhimpun di seluruh ruang hati,
Rindu mendakap kehilangan
punyai hak selagi roh dan jasad masih bersatu.
Kerinduan satu rasa yang setia pada setiap jiwa yang masih ada,
Anugerah kerinduan itu terlalu mahal harganya,
Anugerah agung untuk dekat pada NYA.”
[+]
Kami lalui kehidupan ini dengan seribu satu rasa yang sukar diungkap dengan kata-kata. Mana mungkin melupakan segala kekuatan dan ketabahan yang telah dipinjamkan kepada kami. Segalanya masih lagi tersisa bersama kami. Dengan anugerah rindu yang berbalam.
29-03-09

Inilah kehilangan yang kita dakap
moga bisa kita mengutip setiap inci kehangatan
setiap zarah kekuatan
moga hari mendatang menghamparkan ketenangan
di antaranya membuka mata dan kalbu
hakikat alam dan hidup yang penuh sementara
moga ini menjadi jendela
membolehkan kita melihat keluar dari biasa
yang abadi, yang hakiki
satu perjalanan yang kita semua tujui
satu noktah yang abadi.
- Mendakap Kehilangan II, Elaira.
[+]
Ada yang berkata, masa mungkin mengubati segalanya. Masa yang menjadi penawar akan sebuah kehilangan yang abadi. Masa yang memujuk pada setiap tangisan dan rintihan. Namun begitu, hari bersilih ganti selepas kehilangan dirinya, tidak bisa melunturkan setiap rasa yang singgah. Tidak pernah walau seinci pun kerinduan itu berlalu pergi. Dan tidak pernah walau sehari, wajahnya hilang dari fikiran. Wajah yang penuh kesyahduan. Wajah yang menzahirkan kerinduan.
Semua itu masih enggan pergi. Apatah lagi rasa sayang yang singgah ke seluruh pelusuk jiwa. Masa belum tentu dapat membawa kerinduan yang bertandang. Dan ternyata, masa tidak mungkin mengubah kehilangan yang ada. Barangkali masa mungkin sekadar mampu mengurangkan kepedihan akan sebuah kehilangan.
Setiap kali kesepian menyelubungi, hati ini seringkali dipujuk. Redha pada ketentuan. Amir Yusuf pergi dalam keadaan yang berjuang. Kekuatan dan semangat yang ada di dalam dirinya masih terus menyala. Hangat di dalam sanubari ini. Setiap masa dan ketika. Perpisahan yang ada ini hanyalah untuk sementara. Terhalang di antara garis hidup dan mati. Antara fana dan abadi.
Kasih dan sayang yang subur di jiwa kami tidak tertanding dengan-Nya. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana ketenangan dan keindahan syurga yang dijanjikan buat Amir Yusuf. Dan tidak tergambar juga, bagaimana wajah ‘Yusuf’ yang dikurniakan kepada insan seistimewa Amir Yusuf. Menjadikan ayah dan ibu rindu. Rindu itu menjadi begitu luar biasa.
Dan kerinduan itu tidak sekali pun akan menghilang. Bahkan sedikit pun tidak mampu dihindar. Dirinya selalu dirasa. Ayah dan ibu akan mendakap kehilangan ini sebagai satu anugerah. Mengingati Amir Yusuf, sama seperti mengingati segala kekuatan, ketabahan dan kesabaran yang pernah ada. Kerinduan itu disambut. Biarpun dalam masa yang sama, keharuan itu begitu menerjah. Dan mengingati dirinya membawa diri kami semakin dekat dengan-Nya.
Moga kekuatan dan ketabahan yang pernah ada sebelum ini akan terus bersama. Hingga ke akhir nanti.
24-03-09
Ibu angkat kotak di hujung bilik lalu diletakkan di atas katil. Kotak berwarna kuning cair yang dihiasi dengan beruang comel Pooh bersama rakan-rakannya. Inilah kotak milik Amir Yusuf.
Ibu buka penutup kotak dengan perlahan. Nafas seakan terhenti melihatkan isi di dalamnya. Setiap satu penuh dengan kenangan. Satu bungkusan plastik terisi dengan tiga diari kecil yang mencatatkan kisah perjuangan Amir Yusuf sejak dia dilahirkan lagi.
Ibu keluarkan baju di dalamnya satu demi satu. Ibu susun dan lipat semula. Hampir semua baju bersih. Cuma cadar berwarna hijau yang melapik katil Amir Yusuf mempunyai kesan berwarna. Itu adalah darah. Darah Amir Yusuf.
Di pipi ibu, air mata berlinangan. Namun tangannya tidak henti melipat baju dan selimut. Bagaikan cuba menyentuh sesuatu yang pernah tertinggal padanya. Ibu susun kembali baju dan selimut ke dalam kotak.
Ayah ambil selimut putih yang berbungkus di dalam beg kertas putih. Selimut yang ibu belikan khusus buat anakanda Amir Yusuf. Dan itu adalah selimut yang dipakai oleh Amir Yusuf di saat-saat akhirnya. Ayah usap perlahan-lahan.
Kemudian, ayah dekatkan selimut itu ke muka. Entah mengapa, naluri ini memaksa ayah untuk cuba menghidu bau yang tertinggal pada selimut ini. Ayah genggam erat. Seakan tidak mahu melepaskan.
Satu rasa menyelubungi jiwa. Ya Allah, sampaikanlah kerinduan kami ini kepadanya.
20-03-09

Kotak yang berisi baju Amir Yusuf masih lagi tidak tersentuh sejak dibawa pulang dari hospital. Terletak di hujung bilik berdekatan dengan tingkap. Di dalamnya turut terisi dengan diari yang ditulis sejak kelahirannya lagi. Begitu juga dengan sebungkus plastik yang penuh dengan permainan yang pernah menghiasi katil Amir Yusuf di hospital. Ada juga yang masih belum dibuka. Laci kecil di dalam bilik memuatkan segala baju dan selimut miliknya yang berbagai warna. Sesetengah baju hanya dapat dipakai sekali dua sahaja. Ketika keadaannya yang kritikal, tiada sehelai baju pun yang dapat dipakai. Melainkan lampin dan selimut.
Di dalam almari, masih penuh dengan baju yang tidak pernah dipakai olehnya. Ada hadiah yang diberi dari kenalan. Ada juga yang dibeli khusus untuk dirinya. Di dalam stor, kereta sorong yang dibeli sebelum kelahirannya lagi. Tidak berkesempatan untuk digunakan langsung. Begitu juga dengan kerusi kereta yang sepatutnya digunakan untuk menyambut dirinya dibawa pulang dari hospital. Masih tersimpan rapi. Set katil berwarna hijau cair masih lagi tidak terpasang. Menanti kepulangan tuan yang tidak akan kembali lagi.
Persediaan untuk dirinya sudah lama. Sejak dia di dalam kandungan lagi. Beria-ria benar kami sekeluarga mengumpulkan barangan bagi menyambut kedatangan orang baru pada waktu itu.
Setiap ruang rumah bagaikan begitu bersedia menanti kepulangan dirinya pada bila-bila masa. Namun takdir telah menetapkan, kehadirannya tidak begitu lama. Bahkan tidak sempat untuk menyentuh segala barang yang disediakan untuknya. Kepulangannya tidak dapat singgah ke rumah ini. Tapi terus ke rumah abadi.
Gambar-gambar di dalam kamera masih lagi belum dialihkan ke dalam komputer. Bahkan detik-detik terakhir bersama dengannya masih lagi belum dilihat. Ayah masih belum punya keberanian. Hati ini masih dilanda rasa sayu yang bagaikan ditahan dengan hanya sehelai kain yang begitu nipis. Bila-bila masa saja ia akan tercarik.
Sebelum ini, setiap kali melihat gambar wajahnya, hati ayah pasti meronta. Bagaikan ada satu kuasa yang menarik jiwa ini. Dengan sekelip mata, rindu akan datang menderu. Dan pada waktu itu, ayah akan terus bergegas ke hospital untuk melihat dirinya. Juga untuk melepas rindu. Tapi kini, segala rindu bagaikan terhimpun. Makin bertambah dari hari ke hari.
Seakan baru semalam peristiwa itu. Masakan dapat dilupakan bagaimana detik-detik yang begitu menggetar segenap jiwa dan perasaan. Segala tangis adalah tanda perpisahan. Dan juga kerinduan. Tiba-tiba saja, kehilangannya amat dirasai. Terlalu!
Lapan bulan di hospital bukanlah satu detik yang singkat. Ia terlalu panjang apabila berdepan dengan bermacam kepedihan dan segala kemungkinan. Namun begitu, kini dirasakan lapan bulan itu pendek sekali. Seakan tidak cukup untuk berkongsi rasa dan bermanja. Hadir yang hanya seketika, tetapi begitu meninggalkan kesan yang cukup mendalam.
Barangkali benar kata orang, hanya masa yang mampu mengubati segala kepiluan ini. Kenangan bersama Amir Yusuf bukanlah sesuatu yang biasa. Setiap hari berulang alik ke hospital dengan harapan yang tidak bertepi. Berdepan pula dengan bermacam kemungkinan yang menusuk sanubari. Di situlah segala kesabaran dan ketabahan teruji. Dan kini, semua itu berlalu pergi.
Tiada lagi pelukan. Tiada lagi belaian. Tiada lagi ciuman. Semua itu menjadi salah satu lembaran di dalam sejarah kehidupan ayah dan ibu. Juga buat yang turut memahami.
Amir Yusuf mengajar ayah dan ibu tentang perjuangan. Tentang pengharapan. Tentang kesabaran. Tentang ketabahan. Dan semua itu membawa kepada rasa kerdil pada kuasa Yang Maha Esa.
Amir Yusuf tinggalkan pada kami satu kerinduan yang begitu mendalam. Bersama semangat yang cukup luar biasa. Bagai meminta ayah dan ibu tabah, sabar dan cekal selalu.

Namun begitu, sesekali tidak dapat ayah dan ibu menahan rasa kerinduan. Setiap waktu bagaikan terlihat bayangan dirimu, sayang. Masa belum tentu melunturkan segala rasa yang terhimpun di dalam dada. Ketika rindu begitu terasa, ayah dan ibu membacakan doa dan surah-surah dari kalam-Nya. Moga itu menjadi hadiah dan teman setia buat dirimu di sana.
Rindu ini juga adalah satu anugerah. Mengikat kita bersama. Biarpun mati memisahkan kita di dunia.
17-03-09
“Ibu, nak Amir Yusuf”, ujar Najla sebaik saja terjaga dari tidur.
“Ayah, mana Amir Yusuf?”
Seakan ada sesuatu tersekat di kerongkong. Begitu sukarnya untuk menjelaskan semua ini buat kakak yang sudah lama menyimpul rindu dan sayang buat adiknya itu.
Ayah pandang wajah Najla. Ayah peluk tubuhnya yang kecil. Hati ayah rasa sayu dengan soalan itu. Ayah seakan tidak tahu apakah jawapan yang sempurna buat dirinya.
“Amir Yusuf tak ada dengan kita sayang. Amir Yusuf jumpa Allah. Dia dah tak duduk di hospital. Najla ingatkan, kita pakaikan baju putih pada Amir Yusuf? Kita hantar dia?”
“Amir Yusuf dalam sand ke ayah?”
“Amir Yusuf jumpa Allah, sayang. Dia jauh. Dia tak sakit lagi. Allah jaga dia. Allah lagi sayang pada dia. Najla doa supaya Allah rahmati Amir Yusuf. Dan doa supaya satu hari nanti kita jumpa dia ya?”
“Dia tak sakit lagi ayah?”
“Tak sayang. Dia dah boleh makan. Najla sayang Amir Yusuf?”
“Sayang! Sayang Amir Yusuf”
Ibu berikan Najla patung kuda laut berbulu berwarna biru milik Amir Yusuf yang boleh mengalunkan muzik. Dengan alunan merdu yang perlahan itulah yang sering membuatkan Amir Yusuf terlena. Setia menemani Amir Yusuf sewaktu berada di hospital.
“Amir Yusuf bagi pada kakak Najla. Suruh kakak Najla jaga.”
“Oh, thank you Amir Yusuf.”
Najla terus memeluk kuda laut itu dengan sepenuh hati. Bibirnya mengukir senyuman.
Dan esoknya, Najla cuba memahami erti kehilangan dalam kerinduan. Dari hari ke hari. Hingga pernah satu malam, di dalam tidurnya dia menyebut nama adik kesayangannya itu. Amir Yusuf.
