16-08-10
Alhamdulillah, syukur kepada-Nya kerana diberikan peluang sekali lagi untuk menikmati bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini. Rasanya tidak terlewat untuk mengucapkan ‘Salam Ramadhan’ buat semua. Moga bulan yang penuh berkah ini akan membawa seribu erti ke dalam hidup kita. Insya Allah.
Dan terima kasih juga kepada kalian yang tidak sudi singgah dan menjenguk di laman ini. Barangkali ada yang tertanya-tanya mengapa lama benar ruangan ini sepi tanpa entri terbaru. Sungguh, sejak kebelakangan ini memang kesibukan sudah begitu sebati dengan diri. Setiap hari ke universiti dan bertungkus lumus menyiapkan tugas yang sepatutnya disiapkan. Kadangkala kita berharap agar apa yang cuba kita kejar menjadi kenyataan pada masa yang ditetapkan. Namun kita hanyalah sekadar perancang. Dan hanya Dia yang menentukan apa yang terbaik pada hari-hari yang dilalui. Dan oleh itu, adalah selalu diharapkan dan dipohonkan kepada-Nya agar setiap apa yang dikerjakan dan diusahakan akan menjadi kenyataan. Mana yang lemah, diperbaiki. Mana yang kurang, disempurnakan. Hidup yang mencabar mengajar diri agar terus kuat dan tabah mengharungi setiap apa yang mendatang.
Ramadhan kali ini dilalui pada musim panas. Hari pertama, kami lalui dengan waktu sahur lebih kurang pada jam 2.45 pagi memandangkan waktu Subuh bakal menyusul pada jam 3 lebih. Dan seterusnya, berbuka pada jam 9.30 malam. Lebih kurang 18 jam berpuasa. Waktu siang yang panjang memang agak mencabar. Namun ianya bukanlah satu alasan untuk tidak menunaikan segala apa yang diperintahkan. Walau di mana berada sekali pun, jika sudah tiba perintah-Nya, maka harus ditunaikan dengan sebaiknya. Beginilah pengalaman berpuasa di tempat orang. Namun, alhamdulillah, puasa dapat diharungi seperti biasa. Cuma ketika ingin menyempurnakan solat Terawih, mata terpaksa ditahankan dari mengantuk. Lebih-lebih lagi bukan di waktu hujung minggu. Tahun depan, bulan puasa akan jatuh di kemuncak musim panas! Sudah pasti akan lebih mencabar kerana waktu Maghrib masuk pada jam 10 malam dan Subuh dalam jam 1 pagi.
Saat begini, kadangkala terasa rindu ingin menikmati saat-saat berpuasa bersama keluarga di kampung. Apabila membuat panggilan di kampung, pasti ada nada sebak berbaur rindu kedengaran. Insya Allah, doakan kami aduhai ayah dan bonda agar pengajian kami di sini dapat disempurnakan secepat mungkin. Moga tahun yang akan datang kita akan dapat bersama kembali.
Dan buat semua, selamat menyempurnakan hari dan malam di bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Moga kita akan mendapat keberkatan dari-Nya, sentiasa. Amin.
18-06-10
Buat Alanna sayang, semoga dirimu berbahagia sentiasa bersama para malaikat di sana. Mohon maaf kerana tidak berpeluang untuk bertemu dan bermesra. Namun percayalah, setiap rasa ini tetap ada untuk insan sepertimu. Tidurlah sayang. Aman dan tenteram. Hingga tiba saatnya, moga dirimu akan menyambut tangan ibu dan ayahmu menuju ke pintu syurga milik-Nya.
Dan buat ayah dan ibu Alanna, moga dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan yang berpanjangan. Insya Allah.
Al-Fatihah. Buat Alanna Qish Syarulniza (24/8/2009-5/6/2010).
14-06-10

Sekian lama tidak menulis di sini. Bukan sengaja menjauhkan diri. Tetapi, barangkali tiada apa yang menarik untuk dikongsi. Melainkan satu kehidupan yang begitu sibuk saban hari. Masa yang kami ada di sini semakin pendek. Yang tinggal pun, adalah sekadar ehsan dari pihak atasan untuk menyambungnya bagi beberapa tempoh lagi. Tiada siapa yang berkata ianya mudah. Dan jika diikutkan rasa, pernah juga diri ingin melepaskan semua beban ini pergi. Namun, ianya tidak akan memberi apa-apa penyelesaian langsung.
Maka, dengan kudrat yang masih ada, kami teruskan juga perjuangan ini. Pada mulanya, ianya bukan satu perkara yang mudah. Proses kembali ke ‘dunia sebenar’ kami di dalam makmal mengambil sedikit masa. Kini, penumpuan harus diberikan sepenuhnya. Setiap detik adalah berharga. Oleh kerana kesibukan inilah, maka ada ketikanya diri langsung tidak menyedari masa terus berlalu pergi. Dari pagi ke petang. Habis sehari kemudian ke seminggu. Seterusnya sebulan. Tiada istilah cuti buat kami. Hanya hujung minggu waktu untuk berehat dan melapangkan fikiran seketika.
Setiap detik perjalanan untuk menuju ke puncak destinasi dipenuhi dengan bermacam cerita. Jalan ini seharusnya sudah tamat di garisannya. Namun, tiada siapa pernah tahu seandainya ada liku dan halangan di depannya. Ini bukanlah masanya untuk berputus asa. Ini adalah masanya untuk mengumpul setiap kekuatan dan ketabahan yang pernah ada.
Segala rindu yang ada dipendam. Dan jalan cerita ini masih lagi panjang.
Terima kasih kerana masih singgah di sini. Dan masih menyimpul rasa itu.
[+]
Foto: Grizdale, Lake District (30-05-10)
03-03-10
Malam itu, tiba-tiba Najla menangis. Tanpa sebarang sebab. Ibu bertanya lembut kepada Najla. Kenapa pula ni?
“Najla rindu Amir Yusuf. Najla sayang Amir Yusuf. I miss him. I want Amir Yusuf.”
Terkedu ibu seketika. Bukan mudah untuk menjelaskan semuanya. Sudah setahun Amir Yusuf pergi, namun Najla masih belum sepenuhnya memahami akan makna sebuah pemergian abadi. Bagaimana harus menjelaskan pada seorang kanak-kanak yang berusia 4 tahun tentang erti kematian? Pergi yang tidak kembali. Pulang kepada Yang Maha Esa. Menjelaskan bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara. Betapa sukar sekali.
“Amir Yusuf… Amir Yusuf…”
Demikianlah rayuan Najla sepanjang malam. Hingga lenanya dalam tangisan.
Mungkin Najla rindu kepada adiknya. Anakku sayang, moga satu hari nanti dirimu akan mengerti akan makna sebuah kematian. Percayalah sayang, kematian itu tidak memutuskan kasih sayangmu dengan adikmu. Moga Tuhan akan mempertemukan kita semua di dalam syurga-Nya.
Dan malam itu juga, tiba-tiba saja air mata ibu turut sama mengalir.
02-03-10
Entah mengapa, tiba-tiba saja sistem wordpress ini seakan ‘tidak betul’. Puas sudah dicari apa silapnya. Setiap kali diaktifkan pengesan spam ‘akismet’, setiap kali itulah paparan di bahagian admin kosong. Jika pengesan spam dibuang, maka bertimbun-timbun spam berkumpul. Pening.
Cuba upgrade. Cuba delete. Masih tidak berjaya.