14-02-10
Setiap hari bagaikan penuh dengan segala macam perkara yang memerlukan tumpuan. Apatah lagi, masa di akhir tahun pengajian memang cukup menekan. Seakan, sudah begitu lama sekali tempat itu tidak dijenguk. Kesibukan bagaikan menjerat kekosongan ruang masa. Lalu, hari berganti hari, seakan memanggil satu rasa menarik jiwa.
Awal Februari, bumi Glasgow diliputi salji sekali lagi. Pagi itu, setelah beberapa kali tertangguh, akhirnya dapat juga kami berkunjung ke satu daerah yang seakan sudah lama terbiar. Di dalam hati, memang ada rasa kesal dan bersalah. Bukan terlupa. Dan bukan juga disengajakan.
Sebaik saja kereta kami memasuki perkarangan perkuburan Cathcart Cemetery, kesuraman warna di dalamnya berubah menjadi indah. Melewati jalan yang dipenuhi putih dengan salji-salji yang bertaburan di setiap ruang bagaikan satu keajaiban yang cukup luar biasa. Alam berbicara kepada kami dengan lagu yang cukup indah dan perlahan. Saat sebegini, bukan selalu dapat dirasai.
Kereta kami akhirnya berhenti di sisi jalan yang berdekatan dengan pusara Amir Yusuf. Kawasan yang sebelum ini penuh dengan warna hijauan rumput bertukar warna kepada putih. Menikmati suasana begini mendekatkan lagi akan kebesaran dan kehebatan Tuhan Yang Esa. Dan sebaik kaki memijak salji yang masih lembut di muka bumi, hati disambut dengan rasa rindu dan keinsafan yang berderu-deru.
“Salam buat kalian, wahai para penghuni Barzakh. Moga kesejahteraan dan kerahmatan sentiasa bersama kalian.”
Dan kaki mula melangkah, menuju ke pusara anakanda yang terletak di barisan tengah. Mata tercari-cari tanda pusara yang kebanyakannya hilang dalam timbusan salji. Mujur pokok daun maple kecil yang ditanam pada musim yang lalu masih setia berdiri. Menanti musim bunga datang untuk menerbitkan putik daun yang baru.

Pagi sebegini, masih tidak begitu ramai pengunjung yang datang. Sudah menjadi kebiasaan, daerah ini tidak pernah sunyi. Hampir setiap hari, pasti akan ada orang yang datang menziarah. Moga kehadiran kami hari ini dapat membawa rasa bahagia yang berpanjangan. Membawa rasa rindu dan doa dari dunia hingga ke alam sana.

Kali pertama memandang pusara anakanda, hati jadi terharu. Baru beberapa minggu, kami tidak ke sini. Namun seakan sudah lama sekali. Daun kering bercampur salji di dada bumi. Nisan yang tertimbus bersalut salji.
“Salam buatmu anakanda. Ayah dan ibu datang. Maaf jika lama menanti kami datang ke sini”.
Segera ayah membersihkan nisan dari butir-butir salji. Daun-daun dan bunga-bunga kering di sekitar turut dikutip dan dibuang. Setelah semuanya bersih, ayah mula membuka surah Ya’asin. Dalam dingin pagi, kalimah-kalimah suci dari-Nya mengalir keluar dari mulut ini. Bersama-sama hembusan udara yang bagaikan asap.

Di dalam doa, ayah dan ibu menyimpul rasa rindu. Memohon Tuhan menyampaikan segala apa yang dirasa.
Tanpa peduli dengan kedinginan salji, ayah membuka sarung tangan yang membaluti kulit. Lalu ayah usap pada batu hitam yang dijadikan tanda buat pusara anakanda. Tentu Amir Yusuf tahu betapa rasa rindu ini tidak pernah hilang. Dan sungguh ayah ibu berharap agar kekuatan akan sentiasa bersama kami. Semangat juang dalam meneruskan cita-cita dan impian di daerah ini.

Putik bunga daffodil sudah mula kelihatan. Tidak sabar rasanya menanti musim bunga dan membawa kedinginan ini pergi.

Kami pergi dulu anakanda. Moga nanti, ayah dan ibu ke sini lagi.

Dan rindu berlagu semula.


Lagu sepi. Dingin bagai salju.
“Tuhan, jadikanlah kami sebagai hamba-hamba-Mu yang Engkau berkati. Kurniakanlah rahmat-Mu di dunia dan akhirat. Satukanlah kami semua di dalam syurga-Mu. Amin.”
01-02-10
Sudah beberapa kali entri di ruangan ini tertangguh. Hari berganti hari. Minggu bersilih ganti. Akhirnya, masih tidak juga dapat dicoretkan sesuatu pun. Bukan kerana tidak ada cerita. Tetapi, buat masa ini terlalu banyak perkara yang ingin disempurnakan. Kekusutan yang melanda sarat menguasai kepala. Keperitan menjadi pelajar di negara orang bukanlah cerita yang mudah untuk dikongsikan. Kadangkala, tidak semua orang memahami tentang apa yang kita lalui.
Ada beberapa perkara yang ingin disempurnakan. Moga segala kekusutan akan berlalu pergi. Di dalam diri begitu yakin dan percaya, setiap dugaan yang telah Allah berikan, pasti ada hikmahnya. Ingin sekali dikongsikan sesuatu buat teman yang setia hadir ke ruangan ini. Insya Allah, moga esok diberikan ilham yang sebaiknya.
12-01-10
Najla pegang erat wajah ibu. Bibirnya menguntum senyum. Sejurus kemudian, Najla mendekatkan wajahnya kepada ibu. Lantas satu kucupan diberikan di dahi ibu.
Sambil Najla berkata,
“Satu untuk ibu”.
Kemudian, satu kucupan di pipi kanan ibu.
“Satu untuk ayah”.
Seterusnya satu kucupan di pipi kiri.
“Satu untuk Najla”.
Satu kucupan di hidung tirus ibu.
“Satu untuk Amir Yusuf”.
Dan akhir sekali di dagu ibu.
“Dan satu untuk semua!”
Ibu peluk erat Najla. Dengan rasa sayang yang tidak bertepi. Ibu balas semua kucupan yang sama buat Najla. Sesudah itu, Najla membuat perkara yang sama untuk ayah. Dan semua itu sudah cukup membuatkan Najla rasa bahagia.
Ternyata, hati ayah cukup tersentuh. Dalam gelora kehidupan yang tiada terduga, hanya kasih sayang sebegini yang bisa membuatkan kami rasa kuat dan tabah. Menghargai pada setiap cebisan ruang waktu ketika bersama.
Malam tadi, ketika kami semua sedang bersiap sedia untuk tidur, ibu mengumumkan satu berita. Berita dari mimpinya. Mata ibu bersinar tanda rasa bahagia.
“Malam tadi, ibu mimpi Amir Yusuf. Amir Yusuf cium ibu.”
Najla menjerit. Dia cemburu. Dia mahu ciuman dari Amir Yusuf juga. Terus saja dia merajuk dengan ibu. Walaupun kami tahu, ia sekadar usikan manja darinya.
Aduh, rindunya Amir Yusuf. Dan dalam diam-diam, hati ayah juga cemburu. Ayah juga mahu ciuman dari Amir Yusuf. Biarpun sekadar di dalam mimpi!
15-12-09
“Remember,
I will still be here,
As long as you hold me,
in your memory.
Remember,
when your dreams have ended,
Time can be transcended,
Just remember me…”
- Remember, Josh Groban.
[+]
Selalu. Setiap masa dirinya diingati. Seakan kenangan itu baru saja semalam berlalu. Musim dingin ini bagaikan mendakap kami dengan kenangan yang paling terkesan di dalam diri.
12-11-09
Pagi itu Najla bangkit dari tidur dengan wajah yang berseri. Selalunya wajahnya suram dan penat. Bagaikan tidak puas tidur. Namun pada pagi itu, senyuman yang terukir di bibirnya menjadikan dia begitu manis sekali. Dan dengan senyuman itulah dia datang memeluk ayah yang sedang berehat di ruang tamu.
“Ayah, malam tadi Najla mimpi Amir Yusuf. Najla jumpa dengan dia!”, ujarnya begitu teruja.
“Ya ke?”, ada sedikit rasa terkejut.
“Ya. Najla dengan Amir Yusuf main sama-sama. Happy!”
“Amir Yusuf buat apa lagi? Dia cakap apa?”
Ayah teringin untuk tahu. Soalan yang ayah ajukan mungkin sekadar penyambung cerita antara ayah dan Najla. Bagai tiada satu perbezaan di antara realiti dan mimpi. Tapi barangkali mimpi pertemuan Najla dan Amir Yusuf adalah satu hadiah dari-Nya. Dan mungkin juga Najla insan terpilih untuk bermimpi tentangnya.
“Amir Yusuf cute. Handsome. Dia cakap, ‘I love you’ pada Najla. We play together.”
Dengan penuh perasaan Najla bercerita. Seolah-olah dia baru bertemu dengan watak puteri-puteri yang sering dilihatnya di buku dan tv. Melihat wajahnya penuh ceria membuatkan hati ayah cukup bahagia.
Kehilangan dia di dunia tidak pernah menjauhkan kenangan dan ingatan kami kepadanya. Bahkan selalu saja namanya disebut. Kami percaya, satu masa nanti kami akan dipertemukan. Dan moga pada waktu itu, dia akan sama-sama memimpin kami. Menghulur bantuan pada kami yang serba kekurangan. Moga syafaat darinya akan dapat kami perolehi.
Hati dipujuk. Lalu tersenyum. Sama seperti senyuman Najla yang manis. Senyuman dari mimpi bertemu dengan adiknya, Amir Yusuf.