Archive for the favourite category

01-02-08

Erti Sebuah Perkahwinan

Posted in favourite by fajr'

wed.jpg

Hari itu aku sibuk mengemaskini laptop. Buang dan simpan mana-mana data yang sepatutnya. Dengan tidak sengaja, aku terbuka folder yang menyimpan salinan entri blog ini sejak mula lagi. Aku baca semula. Aku ketawa. Aku terkerut. Barangkali dapat menyedari betapa berbeza cara aku berfikir suatu ketika dulu.

Namun, aku ingin berkongsi salah satu entri yang pernah aku tuliskan. Lama sudah. Secara spesifiknya, sewaktu aku masih bujang lagi. Aku kira, entri ini agak menarik dan pernah menjadi bahan diskusi di dalam ruangan guestbook aku. Selepas ini, mana-mana entri yang menarik untuk dikongsikan, akan aku letakkan di dalam kategori favourite.

Bagi mereka yang masih lagi tertanya-tanya tentang apa yang dicari dalam ikatan perkahwinan ini, mungkin ini adalah salah satu jawapan darinya. Namun, ini hanyalah satu pandangan peribadi. Sesungguhnya jodoh itu di tangan Tuhan. Jika tidak mendapat sesuatu yang indah di dunia, barangkali di sana telah Allah sediakan sesuatu yang lebih istimewa.

*Entri ini telah diolah semula dari entri yang asal.

[+]

06-02-03:

Beberapa minggu lepas, aku dapat kunjungan daripada kawan lama. Sebenarnya, bukanlah lama pun, cuma jarang bersemuka setelah sekian lama. Rasanya bila masing-masing sibuk dan mengikut arah sendiri. Kadangkala aku terasa bahawa aku hanya penting kepada dia apabila tiba sebarang masalah.

Dan kali ini, benda pertama yang diutarakan kepada aku adalah masalah dia. Masalah dengan kahwin, masalah dengan bakal mertua, bakal isteri dan bermacam-macam lagi. Seolah-olah dia mengalami kesukaran dan halangan untuk mendirikan rumah tangga. Kalau diikutkan memang ada kepincangannya, tapi aku tak berhak untuk berikan pendapat. Kadang-kadang sesuatu perkara itu tidak boleh hanya menyebelahi satu pihak semata. Tapi dia degil. Bagi aku, berkahwin bukan hanya kita mengikat diri dengan pasangan kita sahaja, tapi dengan keluarganya sekali. Apa maknanya kalau awal-awal lagi kita sengaja mencipta masalah antara dua keluarga?

Bermula dengan isu bapa mertua, isu keinginan mak, isu bakal isteri, isu kepingin, tidak tahan dan bermacam-macam lagi. Akhirnya, aku tanyakan kepada dia sebenar-benarnya, ‘kau ni nak kahwin sebab tak tahan ke? Kau kahwin sebab seks ke?’

Lalu, dirumuskan bahawa dia berkahwin kerana mahukan seks. Ok. Aku diam dan hanya dengar sahaja luahan dari dia. Memang dia sudah boleh masuk ke tahap wajib berkahwin.

Semalam, aku berpeluang chatting dengan rakan YM aku (yang mahu dikenali sebagai Encik X), sememangnya teman rapat sejak zaman pengajian lagi. Entah bagaimana, terkeluar pula isu kahwin. Lebih-lebih lagi bila mendapat email dan undangan perkahwinan dari kawan-kawan yang lain. Bukan itu sahaja, dengan perkembangan teman-teman yang sudah bergelar bapa dan ibu. Cepat sungguh masa berlalu. Dan aku rasa semakin tua rupanya. Terus aku luahkan peristiwa tentang kisah kawan aku hari itu kepada dia.

Aku: Betul ke? Kita kahwin sebab kita nak seks aje? Bagi aku, it’s about sharing.

Encik x: Depends. Kalau orang kawin sebab tu je, itu je la dia dapat. Kalau dia kawin kerana harta, harta je la dia dapat. Kalau kerana cantik, cantik je la dia dapat. Kalau dia kawin kerana nak sharing, sharing je la dia dapat

Aku: So, how about u?

Encik x: Rahmat

Aku: (Terkedu seketika) Hmm. Yeah, itu yg lebih baik’kan?

Encik x: If u want to find rahmat, then the rahmat will guide u to all those things. Your sex - sampai bila? Sampai masa dua-dua expired. Beauty pun. Harta? Akan habis. Anak? Sampai masa anak-anak ni kurang ajar kat kita. Pangkat? Ramai lagi lebih dari kita. Dengan rahmat dari Allah, nikmat sex yang kita dapat akan jadikan kita lagi sayang antara satu sama lain. Dan nikmat tu akan kita ingat walaupun dah expired. Harta yang kita dapat akan sentiasa cukup walaupun sikit.

Aku: Isk, sebaknya aku rasa (insaf)

Encik x: Anak yang kita dapat akan sentiasa jadi lambang hidup kita kat dunia dan Insya Allah tolong kita kat akhirat. Pangkat yang kita dapat, rahmat yang kita dapat dah jadi satu pangkat untuk kita depan Allah. Lagi satu, sex, pangkat, harta, anak - semua tu orang lain ramai yang cari, even yang kafirun pun cari. So, they might take yours. Tapi rahmat Allah tu luas, terlalu banyak. Terlalu banyak hinggakan seorang itu takkan ambil rahmat yang dipunyai oleh orang lain. So bila nabi kata, kahwin adalah sunnahku, nabi tak cakap kosong.

Aku: Akhirnya, baru aku dapat jawapan yang betul-betul baik. Now, baru aku betul-betul faham tentang konsep kawin nih. Kalaulah semua orang kawin sebab ni, tentu takde masalah kan?

Encik x: Sebab tu bila orang kata duit tak cukup, mental tak ready, masa takde… aku just geleng dalam hati je.

Aku: *alamak, cam kenakan aku jek… hahaha*

Encik x: No. Ramai yang camtu. Kau ni, aku rasa takde yang berkenan tu jek. Ramai yang dah ada pilihan, dah ada awek, berkepit sana sini, tapi tak kawin-kawin. Dengan alasan-alasan camtu la. Padahal kalau nak, korban la sket, buat loan ke. Bila dah kawin nanti, kalau dia betul-betul bersyukur, Allah ganti balik duit yang dia keluarkan dgn rezeki lain. Percaya la

Aku: Insya Allah, kalau dah jumpa jodoh aku, aku akan kawin cepat-cepat!

Encik x: Yeah, go for it!

Akhirnya, baru aku dapat antara jawapan yang baik tentang erti sebuah perkahwinan. Kahwin juga merupakan satu matlamat dalam hidup. Ikatan yang baik dan semestinya mendapat rahmat dan keredhaan dari-Nya.

And to Mr. X (you know who you are), thanks for sharing this with me!

[+]

Mungkin Mr X tidak begitu sedar bahawa ‘chat’ yang begitu sebentar dan spontan itu telah memberikan satu kesan yang amat besar di dalam hidup aku. Pernah dia memberitahu aku betapa terkilannya dia kerana tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan aku pada waktu itu.

Setelah melalui alam perkahwinan untuk beberapa tahun, aku masih lagi berpegang bahawa apabila kita mengharapkan rahmat dari Allah, maka segala apa yang kita lalui Insya Allah akan menjadi berkat. Sebenarnya, entri ini menjadi satu inspirasi untuk aku melangkah ke dunia baru. Dan kalau ada yang bertanya, apa yang aku rasa sekarang, aku akan ucapkan seperti apa yang Anuar Zain lagukan,

“I’m the lucky one”

(* Gambar entri ulangtahun perkahwinan yang pertama)

19-06-07

Pertemuan

Posted in favourite, rasa by fajr'

Sekian lama aku menantikan detik ini. Hingga dibawa ke alam mimpi. Akhirnya, saat itu muncul juga. Lain benar rasanya sewaktu aku bangkit pada pagi itu. Seolah-olah satu semangat baru menyimbah ke dalam jiwa ini.

Segera aku persiapkan rumah sewa aku itu. Walaupun semalam sudah aku belikan sejambak bunga dari M&S, tapi aku masih tidak begitu berpuashati. Lalu, aku terus keluar dari rumah dan berjalan ke pasaraya Asda yang berdekatan dengan rumah aku. Tiba di sana, pada awal pagi, bunga-bunga baru dan segar telah tersedia. Nah, pening aku dibuatnya untuk memilih jambangan mana yang menawan hati. Lantas, aku capai sejambak bunga lili berwarna merah jambu. Aku tahu, bunga lili adalah antara bunga kegemaran isteri aku. Di tanahair, bunga itu jarang dibeli kerana harganya yang agak mahal.

Tiba di rumah, terus aku letakkan bunga itu di dalam pasu kaca yang aku beli kelmarin. Banyak persediaan yang aku lakukan demi menyambut hari ini. Itu belum lagi dengan pelbagai permainan untuk Najla yang aku beli di carboot pada setiap minggu. Sedang sibuk mengemas dan menghias, tiba-tiba mesej menerpa ke telefon bimbit.

“Sayang, dah sampai”. Hah, sebegitu awal? Mereka tiba sejam awal dari jadual yang sepatutnya!

Tiba-tiba, aku jadi kalut. Aku cuba hubungi rakan aku yang sepatutnya bersama mengambil mereka. Tapi, dia masih ada urusan di universiti. Mungkin lewat sejam lebih. Tapi, aku tidak sanggup menanti lagi. Lalu, aku putuskan untuk pergi ke lapangan terbang menaiki bas.

Aku capai jaket, kunci pintu rumah dan terus turun ke bawah. Udara sejuk menampar pipi aku. Kebas dirasakan. Tapi, segera aku langkahkan kaki ke hentian bas yang terletak beberapa ratus meter dari rumah aku. Aku tidak berjalan, tapi berlari.

Tiba di hentian, sebuah bas yang sepatutnya aku naiki sudah pun berlalu pergi. Aku cuba mengejarnya, tapi tidak kesampaian. Maka, aku terpaksa menanti beberapa minit lagi. Ironi sekali, saat aku ingin cepat, aku terasa seperti lambat. Sabar sabar sabar. Akhirnya, bas yang aku tunggu kunjung tiba.

Sebaik sahaja sampai ke bandar Glasgow, aku segera turun di Bath Street dan menyambung larian aku ke Buchanan Bus Station. Peluk memercik di hujung jemari. Segera tangan aku bertambah sejuk. Tidak aku pedulikan kalau ada mata yang memandang seorang lelaki berjaket tebal berlari-lari. Mungkin tiada siapa ambil peduli.

Syukur, bas ke lapangan terbang antarabangsa Glasgow masih menanti penumpang. Setelah membayar £3.50, aku terus duduk dan mengambil nafas. Tiba-tiba saja, aku terasa panas. Lantas aku buka jaket yang membaluti tubuh. Meninggalkan hanya tshirt di dalam. Cepatlah bergerak. Tapi, bas masih terus menanti. Terbayang di mata, apakah yang sedang mereka lakukan. Risau seandainya Najla berjalan ke sana sini sedangkan isteri aku sibuk dengan bagasi yang besar. Seperti apa yang dilaporkan kepada aku melalui sms, semasa transit di Amsterdam, Najla benar-benar menguji kekuatan dan kesabaran ibunya. Tambah-tambah rungsing aku dibuatnya. Sebaik bas bergerak, aku cuba memujuk hati. Tiba di highway M8, aku rasakan bas bergerak dengan laju. Seolah-olah cuba menzahirkan apa yang aku rasa. Melihatkan saja lapangan terbang Glasgow, hati aku sudah berdebar-debar. Berbunga sudah rasa gembira yang tidak keruan.

Lambat pula bas ingin berhenti. Kaki ini sudah seakan mahu melompat. Bagaikan menanti tiupan wisel untuk memecut. Pintu dibuka, dan aku tidak terus melangkah pergi. Sebaliknya, aku menolong seorang warga tua yang tidak berdaya mengangkat beg bagasinya. Namun, sejurus kaki aku menginjak lapangan terbang, aku terus dibawa masuk ke dalam. Mata aku tercari-cari di mana mereka. Balai kemasukan sarat dengan orang beratur yang ingin mendaftar masuk. Di mana pula balai ketibaan antarabangsa? Papan menghala ke sebelah kiri.

Cepat aku berjalan ke arah sana. Ada banyak kerusi rehat yang diduduki orang yang menanti. Lalu, mata aku terus terpaku ke satu sudut, seorang perempuan bertudung putih sedang tunduk membelek telefon bimbitnya dan selang satu kerusi pula seorang kanak-kanak kecil sedang duduk termenung sambil melunjurkan kakinya. Masakan mata ini tidak mengenali siapa mereka. Aku terus meluru ke arah mereka.

Mata bertemu mata. Melerai rindu dalam pelukan dan tangisan. Sungguh, rindu itu terlalu bermakna. Sudah terlalu lama aku pendamkan seksa yang menjerut rasa aku selama ini. Air mata rindu berguguran.

Aku bergerak ke arah Najla. Dia hanya diam membisu. Seolah-olah terkedu melihat aku.

“Najla, ayah ni sayang. Ayah”. Lalu aku peluk tubuh kecilnya. Butir butir air mata sudah pun membasahi pipi. Syahdu aku rasakan. Aku leraikan pelukan dan terus melihat mata Najla. Dia hanya terdiam, mengalihkan pandangannya ke arah lain. Barangkali malu atau terkejut melihat ayahnya yang selama ini ‘hilang’ dari matanya untuk sekian lama. Atau, mungkin ‘merajuk’ kerana ayah tidak muncul di muka pintu rumah seperti selalu.

“Kenapa sayang? Ayah ni. Tak kenal ayah ke sayang?”.

“Peluk ayah sayang”. Tangan kecil itu memaut tubuhku.

“Cium ayah sayang”. Mulut kecilnya merapati pipiku. Dan segera aku rangkul lagi tubuhnya itu. Sungguh, aku tidak mahu melepaskan dia lagi selepas ini. Rindu itu menjadi cukup bermakna. Dan pertemuan ini menzahirkan segala rasa yang telah kami simpan selama ini. Syukur, akhirnya kami disatukan dan dipertemukan lagi. Melerai rindu yang begitu bermakna.

Dan tanpa aku sedari, begitu ramai mata memandang aksi kami bertiga.