Archive for the kembara category
27-02-08
Suasana sudah gelap sewaktu aku melangkah keluar dari pintu universiti. Tidak lama lagi, waktu maghrib akan tamat meskipun jam menghampiri waktu tujuh. Rasa sejuk mencengkam. Sesekali angin kuat bertiup menambahkan lagi kedinginan. Sekitar bandar Glasgow dilimpahi dengan cahaya lampu neon.
Kaki aku terus melangkah ke tempat menunggu bas yang terletak di hadapan sebuah kedai judi. Mujur juga malam ini hujan tidak turun dengan lebat seperti pagi tadi. Langkah diatur dengan hati-hati. Takut terpijak ke dalam takung air. Atau lebih teruk lagi, terpijak najis anjing.
Sebaik tiba di hentian bas, mata aku terpandangan seorang lelaki berdiri membelakangi jalan di satu sudut di antara kedai judi dan sebuah restoren. Pantas otak bertanya dan cuba membuat kesimpulan apakah yang cuba dilakukan olehnya. Rupa-rupanya, dia sedang membuang air kecil di situ! Bayangkan, di tempat terbuka sebegitu tidak menimbulkan rasa malu langsung kepada dirinya. Barangkali dia tidak tertahan dan menanggung tekanan pada pundi kencingnya, benak aku membuat wajaran. Tambahan pula, tempat di situ agak tersorok dan gelap untuk dilihat dengan jelas.
Situasi sebegini bukanlah satu perkara yang baru buat aku di sini. Ia adalah situasi yang jarang berlaku, tapi menjadi satu keadaan yang luar biasa. Masih aku ingat lagi satu peristiwa setelah hampir sebulan lebih aku tiba di Glasgow. Waktu itu, aku menuju ke pasaraya Asda, Toryglen yang terletak berdekatan dengan rumah. Cuaca agak baik dengan limpahan matahari. Aku pergi berjalan kaki bersendirian memandangkan Najla dan ibunya masih lagi di Malaysia pada ketika itu.
Sebaik aku hampir tiba di Asda, aku terlihat dua orang lelaki berdiri di laluan pejalan kaki di antara pasaraya berkenaan dan pondok hentian bas. Pada mulanya, aku fikirkan mereka duduk bersantai sambil merokok. Rupa-rupanya, mereka berdua sedang kencing di situ. Keadaan pada waktu itu cukup terang untuk dilihat oleh sesiapa saja yang melaluinya. Bahkan, tempat yang dijadikan tandas terbuka buat mereka bukanlah di bawah pokok atau tempat yang agak tersorok.
Kencing secara terbuka adalah satu perkara yang agak tidak manis dipandang. Apatah lagi di siang hari. Yang paling mengejutkan aku adalah salah seorang lelaki berkenaan membuang air kecilnya dengan membuat aksi seolah-olah sedang menyiram air di sekitar kawasan berkenaan. Bagaikan membuatkan pusingan 180 darjah. Jadi boleh dibayangkan apa yang telah mata aku lihat. Rasa malu terus menyerkup kepala ini.
Mungkin juga lelaki berdua ini dalam keadaan mabuk yang menyebabkan mereka bertindak sesuka hati. Bahkan di pasaraya Asda mempunyai tandas yang cukup sempurna dan bersih bagi mereka menyelesaikan hajat. Barangkali, mereka lebih selesa untuk memancutkan bahan kumuhan mereka secara alami atau natural. Lebih cepat dan tidak perlu dicuci.
Aku turut diceritakan dengan pengalaman oleh beberapa rakan di sini tentang kisah orang yang membuang sesuka hati. Sesetengah mereka bagaikan tiada ketamadunan hingga merasakan mereka boleh membuat tandas di mana-mana saja pada bila-bila masa. Bayangkan, apakah perasaan kita apabila melihatkan najis manusia di depan pintu rumah? Marah? Terkejut? Geram?
Demikianlah yang diceritakan kepada aku tentang flat mereka yang dijadikan tempat tandas terbuka. Kebanyakan rumah di sini adalah jenis flat 4 tingkat. Satu pintu utama akan dikongsi dengan 8 rumah - 2 buah rumah pada setiap tingkat. Selalunya, rumah begini menawarkan harga sewa yang agak murah dibandingkan dengan rumah sebuah atau rumah berkembar.
Oleh yang demikian, kebiasaannya 8 keluarga akan berkongsi tangga dan pintu utama yang sama. Namun, ada juga penyewa yang menduduki satu rumah secara beramai-ramai. Aku difahamkan, kebanyakan mereka datang dari Republik Czech. Mungkin pada satu malam, tandas yang di rumah berkenaan seringkali penuh. Oleh kerana tidak begitu tahan, maka ada di antara mereka yang terpaksa melepaskan hajat di tangga. Bukannya sekali najis yang dibuang dan dibiarkan begitu saja. Pernah juga ia dalam keadaan cair dan begitu menjijikkan.
Memandangkan tiada siapa yang ambil peduli untuk membuang najis berkenaan, maka rakan aku yang bertungkus lumus membersihkan tangga di pintu rumahnya. Habis sudah disental dengan pencuci. Begitu bertanggungjawabnya kita sebagai orang Malaysia. Tambahan pula, mana mungkin sanggup membiarkan depan pintu rumah mempunyai najis. Baunya saja sudah cukup meloyakan.
Seorang kawan aku yang pernah tinggal di Bangladesh untuk beberapa bulan menceritakan pengalaman hidupnya di sana. Dia berpesan, kalau berjalan di sana, jangan sesekali menyandar atau merapati dinding bangunan kerana selalunya ia dijadikan tandas mereka. Bahkan pembahagi jalan pun boleh dijadikan tempat buangan. Diceritakan juga kepada aku betapa susahnya mahu mencari tandas awam di tempat berkenaan.
Kalau di sini, aku harus juga berhati-hati dengan dinding bangunan dan kaki lima. Sudah menjadi satu hidangan mata bahawa kawasan berkenaan menjadi tempat buangan anjing peliharaan. Terutama sekali di tempat sekitar tempat tinggal yang aku duduki. Barangkali di kawasan lain, penduduknya lebih bertanggungjawab.
Kadang-kadang, sesetengah mereka bagaikan kehilangan akal dan rasional untuk berfikir. Inikah antara harga kemodenan dan pembangunan yang harus dibayar?
Kawan, tidak semuanya indah di sini.
25-01-08
Awal pagi lagi kami bertolak dari tempat penginapan menuju ke Cairngorms National Park. Perjalanan agak lancar dan tenang memandangkan keadaan jalan yang tidak sibuk. Walau bagaimanapun, sebaik memasuki kawasan pergunungan berkenaan, kereta sudah mula berderet-deret menuju ke destinasi yang sama. Dalam masa yang sama, suasana sekeliling berubah dengan muka bumi yang dilitupi salji. Satu rasa yang berbeza muncul di dalam hati. Barangkali rasa teruja melihat salji yang penuh di situ.

Mujur juga kami sampai agak awal, maka agak mudah untuk meletakkan kenderaan. Meskipun jam menghampiri pukul 9, sudah banyak kenderaan bertapak di sekitar kawasan. Untuk ke puncak Cairngorms, kami akan menaiki keretapi yang lebih kurang sama seperti kereta kabel di Bukit Bendera. Harga yang dikenakan, boleh tahan juga, sekitar £9 untuk seorang dewasa. Memandangkan ingin berada di puncak, maka terpaksa juga aku korbankan duit demi ingin merasai satu pengalaman baru.

Sebaik tiba di puncak, angin bertiup agak kuat dengan membawa butir-butir ais. Melihatkan salji di sekeliling, rasa gembira terpancar terus di muka Najla. Niat kami hanyalah sekadar bermain-main di sekitar kawasan berdekatan dengan bangunan utama yang menempatkan stesen keretapi dan restoran. Kebanyakan orang yang naik ke sini lengkap dengan pakaian dan peralatan bermain ski. Manakala, kami hanya sekadar cukup untuk menutup badan dari kesejukan.

Kali pertama memegang salji, adalah sama seperti memegang ais yang dikisar untuk ABC! Tidak pernah terlintas di fikiran aku, bahawa aku dapat memegang salji seperti ini. Keadaan yang sejuk dan berangin membuatkan kami tidak dapat bertahan lama di luar. Maka, setelah bermain beberapa minit, kami akan segera masuk ke dalam bangunan mengelakkan kebas. Di restoran, menikmati minuman coklat panas di dalam kesejukan adalah satu nikmat yang tidak terkata.

Setelah beberapa ketika berada di puncak, barulah kami turun semula ke stesen bawah. Di situ, kami berehat dengan makan tengahari dan menunaikan solat. Selepas itu, kami terus bersambung bermain salji. Keadaan di bawah adalah sedikit tenang dan kurang sejuk berbanding di atas. Mungkin kerana angin tidak bertiup sebegitu kuat seperti di atas. Walau bagaimanapun, keadaan salji di bahagian bawah agak keras. Seumpama ais yang keras. Jatuh di atasnya sudah cukup membuatkan badan sakit. Tambahan pula, keadaannya adalah agak licin. Beberapa kali juga aku tergelincir dan jatuh.

Namun, yang paling lama bertahan bermain salji adalah Najla. Setidak-tidaknya, kami dapat menunaikan hasratnya yang seringkali terucap dari bibirnya. Ternyata, dia begitu teruja. Melihatkan dia gembira, sudah cukup membuatkan diri ini terasa puas dan bahagia.

Lewat petang itu, barulah kami semua pulang ke Glasgow dengan rasa penat tetapi puas. Meskipun banyak juga duit yang keluar, namun pengalaman yang dilalui adalah tidak ternilai. Insya Allah, moga satu hari nanti kami akan ke sini semula. Barangkali, dengan kamu teman?


Koleksi foto.
23-01-08
Setiap kali rancangan atau iklan di tv memaparkan visual salji, Najla akan berteriak gembira. Betapa dia suka melihat salji meskipun tidak pernah merasai sendiri secara realiti. Mengharap salji turun ke Glasgow, adalah sesuatu yang sukar untuk dijangka. Aku diberitakan salji pernah menutupi bumi Glasgow beberapa tahun lepas. Tidak pula dipastikan untuk tahun ini. Pernah juga salji turun beberapa minggu lepas, tapi tidaklah tebal. Itupun hanya untuk seketika. Namun, melihatkan salji turun berterbangan perlahan-lahan dan mencair di muka bumi melalui tingkap rumah sudah membuatkan Najla teruja. Bahkan, pertama kali merasai salji menyentuh pipi membuatkan aku tersenyum sendiri.
Apabila ada teman yang mengajak kami keluar bermain salji di kawasan tinggi di utara Scotland, atau dikenali sebagai Highland, maka aku terus menyambutnya! Sudah lama aku berhajat untuk membawa keluarga berjalan keluar dari Glasgow. Sejak mereka datang ke mari, hanya sekitar Glasgow sahaja yang kami jejaki. Melainkan aku, yang mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti. Moga hajat Najla bermain salji juga akan tercapai.
Sebenarnya, dalam masa yang sama, aku seakan sudah tepu dan bosan berada di bandar Glasgow yang tidak memberikan sebarang semangat istimewa ke dalam diri aku. Saban hari, segala rutin hidup adalah sama. Apatah lagi, setiap pagi terpaksa bangun awal dan bekerja, lalu terus ke universiti. Mungkin sesuatu di luar sana dapat memberikan kelainan ke dalam hidup aku.
Perancangan untuk ke Aviemore telah dilakukan seawal mungkin. Lebih-lebih lagi untuk membuat tempahan bilik di sana. Satu perkara yang menarik di sini adalah, sekiranya kita membuat tempahan awal, maka harga yang dikenakan adalah begitu murah. Bukan saja untuk penginapan, malah tiket perjalanan juga begitu. Ada juga tiket bas yang dijual sekadar £1 jika kita bijak membuat perancangan awal. Namun, untuk ke Aviemore, aku hanya menggunakan kenderaan sendiri. Lebih mudah dan fleksibel. Untuk penginapan ini, kami dikenakan sebanyak £20, jika dibandingkan harga yang dikenakan pada hari itu sebanyak £50. Jauh benar bezanya.

Seawal pagi lagi, kami sudah berkumpul beramai-ramai. Perjalanan ke Aviemore tidak melalui jalan yang terdekat, tetapi akan melalui jalan yang agak jauh, iaitu melintasi Fort William. Kawasan ini agak terkenal dengan kecantikan pemandangan berbukit dan bergunung. Kami banyak juga berhenti di sekitar perjalanan untuk menikmati keindahan yang ada.
Sesuatu yang agak istimewa adalah pemandangan di sini laksana satu lukisan indah. Di samping itu, terdapat banyak kawasan tasik atau dikenali sebagai loch atau glen, menurut bahasa Gaelic. Adapun nama loch dan glen itu bergantung kepada kedalaman dan luas tasik berkenaan. Jika tasik itu luas dan cetek, maka ia dikenali sebagai loch.

Sebaik saja kami melalui kawasan perkampungan di sini, hati aku sudah mula terpana dengan keadaan sekeliling. Betapa berbezanya dengan keadaan yang kami tinggal pada masa kini. Suasana yang damai membuatkan aku terasa begitu tenang dan terharu dalam masa yang sama.

Memandangkan kami mengikuti laluan yang agak jauh, maka kami sampai ke destinasi juga pada malam sudah pun melepaskan layarnya. Apatah lagi, keadaan mulai gelap sekitar jam 4 petang. Hari pertama, salji hanya boleh dilihat dari kejauhan. Mungkin esok, aku akan mula mengenggam salji dan bermain di atasnya.

Di satu persinggahan, kami bertuah kerana bertemu dengan rusa liar ini. Tempat ini terletak dekat dengan pergunungan yang dikenali sebagai Munros. Di satu sudut, telah didirikan seakan satu tugu yang dinamakan Cairn memperingati mereka yang telah terkorban sewaktu mendaki Scottish Mountains.

Melihatkan keindahan ciptaan Tuhan, membuatkan aku terasa begitu kerdil. Terlintas pula di fikiran, jika ini sudah dikatakan begitu indah, bagaimana pula agaknya syurga yang telah Dia ciptakan?

31-12-07

Selama aku berada di bumi Glasgow ini, perkhidmatan bas di sini menjadi satu medium terpenting di dalam hidup aku. Tambahan pula, kadar dan bilangannya mengikut masa yang dibolehharap. Lingkaran perjalanan merentasi bandar Glasgow dan sekitar dengannya amat memudahkan perjalanan. Melalui pas bas yang dibeli mengikut zon laluan sebanyak GBP30 sebulan, kita boleh naik turun mana-mana bas sebanyak mana yang kita mahukan pada bila-bila masa, dengan syarat ianya berada dalam zon yang telah dibayar dan juga pada syarikat bas yang sama.
Syarikat bas yang boleh dikatakan memonopoli hampir semua laluan di sini adalah First. Barangkali, bas ini turut memiliki laluan di seluruh UK. Bas berwarna biru, merah dan putih ini mempunyai jadual yang khusus serta mempunyai banyak pemandu. Depot mereka berdekatan dengan kawasan rumah aku iaitu di Larkfield.
Hampir setengah tahun berada di sini dan menggunakan khidmat bas ini telah memberikan banyak pengalaman berhubung dengan reaksi penumpang-penumpang yang ada di sini. Jika kalian mengikuti blog ini, sudah tentu dapat mengingati satu peristiwa di mana aku dipeluk dan dicium oleh seorang lelaki di dalam bas. Satu peristiwa yang cukup membuatkan aku berhati-hati dengan sesiapa saja pada setiap masa.
Satu perkara yang membuatkan aku tertarik adalah keprihatinan orang-orang di sini sekiranya terdapat kaum ibu yang membawa kereta sorong anak mereka ke dalam bas. Maka, secara automatik satu bahagian hadapan bas itu akan diserahkan kepada mereka. Begitu juga jika ada golongan yang kurang upaya menaiki bas, pasti akan diberi perhatian.
Meskipun begitu, terdapat juga ragam sesetengah individu di sini yang cukup menjengkelkan. Kita tidak dapat mengkategorikan semua orang dalam satu golongan yang sama. Menurut perhatian aku, setiap bas di sini mempunyai pemandu yang terlatih. Barangkali, mereka telah ditetapkan dengan satu polisi bagaimana menangani karenah penumpang bas. Ternyata, bermacam ragam dan karenah yang terpaksa mereka hadapi.
Suatu hari, seorang penumpang bas pernah dihalau keluar dari bas kerana mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada pemandu bas. Biarpun penumpang berkenaan sudah naik ke tingkat atas bas (untuk bas dua tingkat), pemandu berkenaan turut naik dan memanggilnya keluar. Kuasa yang dimiliki oleh pemandu bas tidak boleh dinafikan kerana mereka mempunyai kelengkapan yang sewajarnya seperti sistem video di dalam bas. Dan juga bekas untuk mengumpulkan air liur sekiranya diludah oleh penumpang untuk mengenalpasti DNA bagi rekod polis.
Masih aku ingat satu pagi pada minggu lepas, sewaktu aku ingin bertolak ke bandar untuk bekerja. Seperti selalu, bas 75 akan berhenti setiap kali ditahan oleh penumpang di hentian yang ditetapkan. Pada pagi itu, di satu hentian seorang penumpang lelaki naik. Dari awal dia masuk, nampaknya dia cuba berbincang dengan pemandu bas untuk membenarkan dia menaiki bas kerana dia tidak mempunyai wang tambang. Satu perkara yang pasti, tiada duit tambang atau pas bas, maka anda tidak dibenarkan naik atau bas tidak akan bergerak. Atau, selagi seorang penumpang itu tidak membayar duit tambang yang secukupnya (biarpun beberapa pence) juga akan menyebabkan bas tidak bergerak. Maka, boleh kalian bayangkan betapa perkara tersebut begitu menyusahkan orang lain?
Lelaki itu agak degil. Biarpun dia telah dihalau keluar oleh pemandu bas, dia tetap berdegil tidak mahu keluar daripada bas 75. Dengan selamba dan tanpa malu, dia membuat pengumuman di dalam bas yang dipenuhi penumpang meminta belas ehsan daripada yang ada untuk menolong membayar tambang basnya. Namun begitu, tiada siapa yang ambil peduli. Barangkali melihatkan keadaan lelaki muda itu yang mungkin berada dalam keadaan mabuk membuatkan orang lain tidak ingin membantunya langsung.
Apabila tiada orang memberikan sebarang respon terhadap permintaannya, dia tidak berhenti di situ sahaja. Bahkan, dia membuat ugutan bahawa bas akan menjadi lambat ke destinasi sekiranya tambang bas tidak dibayar. Seminit demi seminit berlalu, hinggalah ramai yang merungut. Lalu bermulalah pertelingkahan suara bercampur dengan kata carutan. Apatah lagi lelaki itu telah cuba dihalau oleh seorang lelaki berkulit hitam. Baur-baur perkauman bertaburan dari mulutnya. Menyakitkan hati.
Dalam masa yang sama, pemandu bas berkenaan telah membuat laporan kepada pihak yang tertentu. Hati aku membuak-buak. Terasa mahu saja aku ke depan dan menolaknya keluar. Tapi, mengenangkan tubuh aku yang kecil, aku pendamkan saja hasrat yang tidak seberapa kental itu. Betapa aku berharap agar ada seseorang yang boleh menolong.
Permintaan aku termakbul.
Sejurus kemudian, seorang lelaki bertubuh besar datang dari tempat duduk belakang. Dia maju ke depan ke arah lelaki berkenaan. Dengan begitu mudah, dia menolak lelaki itu keluar dari pintu bas meskipun lelaki itu cuba melawan. Sebaik saja lelaki itu terkeluar dari bas, pintu bas ditutup rapat. Keadaan itu membuatkan penumpang lain bersorak tanda sokongan. Namun begitu, dia cuba menahan pintu bas daripada ditutup hingga menyebabkan dia diseret beberapa meter.
Pintu bas dibuka sedikit, lalu tangan lelaki itu terlepas. Dia nampaknya geram hingga menunjukkan simbol lucah pada jarinya. Berakhir sudah satu episod drama pagi di dalam bas 75.
Pernah juga ada penumpang yang cuba mengelakkan diri dari membayar tambang. Dia masuk ke dalam bas sambil sibuk berbual melalui telefon bimbitnya. Tapi itu bukanlah alasan untuk membuatkan dia terlepas. Bas tidak bergerak langsung, menantinya untuk membayar tambang. Rupa-rupanya, dia juga tidak mempunyai wang untuk membayar tambang. Apabila tiada siapa yang ambil peduli sewaktu dia cuba meminta duit dari penumpang lain, maka dia tiada pilihan lain melainkan keluar daripada bas. Itupun dengan bermacam kata-kata caci dan makian.
Kadang-kadang terasa kelakar pula dengan bermacam reaksi penumpang di sini. Ada juga yang tidak cukup wang tambang hingga menyebabkan pemandu enggan menggerakkan bas.
Tetapi, ada juga ketikanya aku agak jengkel dengan sesetengah pemandu mereka yang aku rasakan agak tidak wajar. Sesetengah mereka agak sombong dan tidak mengambil peduli langsung. Aku amat bersimpati pada seorang lelaki yang sedang mendukung anaknya untuk berhenti pada satu hentian. Mungkin kerana tidak begitu puas hati dengan tambang yang dikenakan kepadanya, maka dia cuba berbincang dengan pemandu bas. Malang sekali, suaranya yang sopan santun tidak sama sekali dilayan. Bahkan dimarahi di depan orang lain. Tidak cukup dengan itu, pas mingguannya yang bernilai GBP12.50 turut dirampas. Kasihan sekali.
Secebis kehidupan di sini membuatkan aku lebih mengenali sikap dan ragam manusia itu berwarna warni. Sesekali melihat rona warna yang berbeza membuatkan aku tersenyum sendiri ke dalam diri.
Photo by: Elsie esq.
31-10-07
Pernahkah kalian merasakan bahawa kalian perlukan setidak-tidaknya satu jam lagi? Di sini, kalian bisa melaksanakannya.
Musim panas dikatakan sudah pun berakhir secara rasminya. Oleh yang demikian, berlakulah satu proses yang tidak pernah aku alami sebelum ini. Barangkali tidak pernah aku ketahui pun, iaitu melewatkan masa sebanyak 1 jam. Ya, lewatkan waktu sejam. Dari pukul 12 malam, dilewatkan kepada pukul 11. Pelik bukan?
Tapi ada juga rasional di sebalik melewatkan masa dalam sejam kerana pada permulaan musim sejuk saja waktu siang sudah dikatakan agak pendek. Jam 5 petang sudah pun seperti senjakala!
Maka, pada minggu terakhir bulan Oktober, orang-orang di sini melewatkan satu jam pada waktu mereka. Begitu juga dengan aku. Tetapi, untuk jam di dalam komputer atau telefon bimbit, waktu itu telah pun dilewatkan secara automatik. Walau bagaimanapun, masa ini akan dipercepatkan 1 jam semula pada bulan Mac bagi menandakan bermulanya musim panas di sini.
Agak menarik juga terhadap perubahan masa ini. Sesuatu yang agak baru kepada aku. Dalam masa yang sama sedikit mengelirukan. Namun, mudah saja untuk mengadaptasikan cara hidup orang-orang di sini. Lagipun, sekejap saja langit sudah bertukar menjadi gelap. Mujur saja bilik aku sekarang tidak berada di tepi tingkap. Jika tidak, mungkin saja hati memberontak mahu segera pulang. Jam 5 petang, keadaan sudah begitu gelap.
Semalam, aku sudah terkeliru dengan masa. Nampaknya aku harus siaga terhadap masa di sini. Terutamanya untuk mempercepatkan solat agar tidak ketinggalan. Entah bagaimana, aku boleh terleka untuk menunaikan solat Zohor. Maka, pada jam 2 lebih, aku ke surau universiti bagi menunaikan solat. Pada waktu itu, solat berjemaah sudah pun tamat. Lalu aku pun bersolat sendirian. Selepas itu, aku masuk kembali ke perut bangunan yang berdinding.
Jam 4 petang, suasana sudah pun gelap. Hati aku tertanya-tanya. Aku masih belum solat Asar lagi. Lalu, aku bersegera melihat kembali jadual solat. Ternyata, aku yang tersilap sendiri. Sepatutnya, tadi aku menunaikan solat Asar, bukannya Zohor!
Nampaknya terpaksa aku menqada’kan solat atas kecuaian aku sendiri. Maklum sajalah, baru mengenal dan berada di tempat yang mempunyai 4 musim serta jadual waktu solat yang berubah secara drastik.