Archive for the kembara category

27-09-07

Pasar Ramadan Musim Luruh

Posted in kembara by fajr'

Cuaca semakin menjadi sejuk. Setiap kali keluar dari bangunan akademik ini, bisa membuatkan tangan kebas. Mungkin aku ini kurang lemak agaknya.

Kepala aku sudah pening sahaja. Laporan yang perlu dihantar kepada John minggu depan masih banyak kekurangan. Aku sendiri kurang pasti, adakah apa yang aku catatkan cukup lengkap? Adakah dapat memenuhi jangkaan John? Berdebar juga menantikan reaksi dia pada perjumpaan kami yang berikutnya pada minggu depan.

Dalam pening-pening begini, aku berkira-kira untuk ke pasar Ramadan di George Square pada petang nanti. Boleh juga aku membeli kebab istimewa yang dijual oleh lelaki Pakistan di situ. Atau barangkali, laksa penang istimewa oleh seorang kakak yang cukup menggiurkan. Selalunya, kalau ke pasar Ramadan, mesti terlebih beli dari apa yang sepatutnya. Cukup luar biasa. Apa lagi ye? Barangkali sebungkus air soya panas, kuih muih pencuci mulut dan juga sedikit yong tau fu untuk juadah moreh malam nanti. Oh, mana mungkin dapat melepaskan nikmat ikan bakar yang dicecah dengan air asam! Rasanya tidak perlu membeli lauk ayam - dah biasa sangat makan ayam.

Hmm, pasar Ramadan di George Square - terletak di tengah-tengah lokasi bandar Glasgow. Menarik bunyinya kan? Macam meriah saja. Bayangkan dengan gugusan orang ramai yang terdiri dari muslim dan bukan muslim bersesak-sesak di dalam kesejukan musim luruh untuk membeli makanan di situ.

Huh, bertuah sungguh kalau ada pasar Ramadan di sini. Baik aku hentikan imaginasi ini sebelum ianya melarat dengan lebih teruk dan mengarut!

04-09-07

Melangkah Ke Puncak

Posted in kembara by fajr'

Segala apa yang pernah aku lihat di dalam filem dan gambar kini terbentang di depan mata. Menyaksikan sendiri kebesaran Tuhan dengan keindahan alam membuatkan diri ini terasa begitu kerdil sekali. Sungguh, aku jadi terkesima.

Minggu lepas, aku mengikuti aktiviti musim panas yang dianjurkan oleh jabatan yang diketuai oleh supervisor akademik aku. Sebagai salah satu cara untuk menambat hatinya, maka aku turut serta mengikuti aktiviti tersebut, iaitu mendaki satu tempat yang dikenali sebagai The Cobbler Walk, yang terletak di Arrochar. Tempat ini sememangnya begitu terkenal di kalangan pendaki Scottish yang ingin menjalankan latihan pendakian. Arrochar ini mempunyai beberapa puncak seperti Cobbler atau dikenali sebagai Ben Arthur, setinggi 881 meter dan juga Beinn Narnain setinggi 926 meter. Puncak Arrochar ini pula dikelilingi dengan tasik yang begitu indah, iaitu Loch Long. Tasik ini sering menjadi tumpuan kepada para pemancing.

Sebaik sahaja tamat bekerja mencuci lantai, aku terus bergegas ke tempat berkumpul yang telah ditetapkan di hadapan bangunan Royal College Building. Rasa penat bekerja masih belum hilang, tapi aku sudah memulakan larian dalam kesibukan orang ke sana sini untuk memulakan hari baru. Mujur aku tidak terlewat, meskipun di dalam beg penuh dengan peralatan kamera, termasuklah tripod dan juga sandwich sebagai pengalas perut.

Perjalanan ke Arrochar mengambil masa lebih kurang 45 minit. Satu perkara yang pasti, ianya bukanlah satu perjalanan yang membosankan kerana keindahan Scotland terbentang di depan mata. Dengan kehijauan alam yang begitu mempesonakan sudah melalaikan aku untuk seketika hingga terlupa untuk mengambil gambar.

Tiba di Arrochar, aku sudah mula tertarik dengan keindahan alam yang terbentang. Hijau dan sayup mata memandang bagai menjanjikan seribu kedamaian. Nampaknya sudah ramai yang menanti di situ untuk memulakan perjalanan. Tanpa melengahkan masa, kami terus memulakan perjalanan menuju ke puncak Ben Arthur. Menurut peta yang aku rujuki, terdapat banyak laluan yang boleh digunakan untuk ke puncak, samada melalui jalan yang mudah, tetapi lewat tiba atau jalan yang sedikit sukar tapi cukup cepat untuk ke puncak. Buat sementara waktu, aku memilih jalan yang mudah.

Di awal perjalanan, nampaknya tidaklah begitu sukar. Segalanya nampak begitu menyeronokkan. Cuma pendakian di sini tidaklah seperti di Malaysia kerana tidak begitu banyak pokok-pokok besar melitupi kawasan yang kami daki. Kebanyakannya dilitupi dengan rumput-rumput dan bunga-bunga liar yang berwarna warni. Menoleh ke belakang, maka tasik Loch Long menyeluruhi pandangan.

Semakin lama, pendakian ke puncak menguji kekuatan fizikal dan mental. Setelah separuh perjalanan, aku sudah mula menghentikan kegiatan mengambil gambar kerana penat dan lebih menumpukan terhadap laluan yang semakin berbatu. Jaket tebal yang aku simpan di dalam beg nampaknya sudah terpaksa membaluti tubuh badan kerana keadaan semakin sejuk. Tambahan pula angin sering menyapa dan menyambut kehadiran kami di situ.

Namun, sebaik mata memandang ke atas, aku sudah terpegun dengan ciptaan Tuhan. Keadaan yang dipenuhi dengan rumput kuning seakan mengingatkan aku kepada suasana Middle Earth LOTR kerana keadaannya yang berbatu dan seperti dataran yang luas. Aku terasa dibawa ke alam mimpi. Seakan apa yang aku saksikan bagaikan satu keindahan yang hanya wujud dalam lukisan atau mimpi. Garis-garis warna melakari setiap inci bumi di sini. Indahnya! Subhanallah. Buat seketika, rasa penat menghakis sedikit demi sedikit.

Walau bagaimanapun, rasa itu begitu teruji apabila melihat puncak yang sudah berada di depan mata. Puncak yang tinggi dan dipenuhi dengan batu bagaikan mencabar diri yang sudah keletihan. Aku cuba mengikuti mereka yang cuba mengambil jalan pintas. Apakan daya, sebaik beberapa ratus langkah, aku sudah begitu penat. Kaki aku sudah mula sakit.

Pandangan aku sudah mula kabur. Mungkin kerana tekanan udara yang semakin berkurangan membuatkan aku cepat letih, pening dan lapar. Mujur juga sandwich yang dibekalkan oleh isteri aku menjadi penambah tenaga. Aku tidak ingin pulang tanpa ke puncak! Maka, aku turun semula dan mengikuti jalan yang lebih mudah, walaupun jauh.

Keadaan yang seakan hamparan di situ adalah begitu lapang dan membolehkan angin sejuk bertiup kuat. Tiada himpunan pohon-pohon besar yang melindungi, melainkan batu-batu yang bersaiz besar. Tangan aku menjadi kebas. Badan aku terhoyong hayang untuk melangkah ke depan kerana ditiup angin. Topi yang aku pakai sudah beberapa kali tercampak ke tanah. Apatah lagi, angin yang datang tidak reda-reda.

Sejurus kemudian, seorang kenalan yang turut sama-sama mendaki berjalan dari arah yang bertentangan.

“Where are you from?”
“I’ve done. I just walk down from the top. And I’m going back”

Aduh, bunyinya seakan lagak. Sememangnya dia sudah biasa dengan aktiviti mendaki di Pakistan, maka perkara sebegini adalah tidak begitu asing buat dirinya. Dan ini bukanlah juga kali pertama aku mendaki. Sebelum ini, aku begitu kerap mendaki Bukit Larut di Taiping sewaktu zaman persekolahan. Yang membezakannya adalah, mendaki di Bukit Larut dilitupi oleh pokok-pokok yang merimbun. Di Arrochar ini, tiada pohon besar dan terpaksa mengharungi rasa sejuk dan deruan angin sekaligus!

Setelah beberapa lama aku bertemu dengan tangga batu menuju ke puncak Ben Arthur. Di sebelah kanan, puncak yang lebih tinggi iaitu Beinn Narnain. Selangkah demi selangkah aku aturkan kaki. Terasa aku seakan berperang dengan diri aku sendiri. Bagaikan puncak itu adalah satu destinasi yang harus aku jejaki biarpun rasa penat, sejuk dan pening sudah menerjah. Sama seperti dengan hidup yang aku lalui sekarang, penuh dugaan. Namun perjuangan harus diteruskan dan aku tidak boleh mengalah.

Akhirnya, puncak yang aku lihat dari jauh sudah berada di depan mata. Tapi aku ingin berada ke puncak yang paling tinggi. Aku terus mendaki perlahan biarpun digesa oleh angin untuk berhenti berehat. Sebaik saja tiba di atas, aku diterpa rasa takjub. Keindahan yang dihamparkan membuatkan aku rasa kerdil dan begitu kecil. Rasa penat dan lelah hilang lalu berganti dengan kepuasan. Akhirnya, puncak ini dapat juga aku takluki.

Aku mengambil masa untuk menikmati saat ini. Melayari keindahan yang bagaikan mimpi. Biarpun angin menderu-deru mengasak aku untuk segera turun. Aku terpaksa meniarap untuk mengambil gambar. Sungguh, rasa berdebar itu tetap ada kerana takut juga kalau-kalau aku diterbangkan angin!

Usai sudah menikmati suasana di puncak, aku mula bergerak untuk turun semula. Biarpun kaki sudah terasa sakit, aku tetapkan meneruskan perjalanan. Melihatkan lorong yang aku lalui sebelum itu begitu kecil dari pandangan mata seolah menzahirkan betapa jauhnya perjalanan ini untuk ke puncak. Apatah lagi apabila berseorangan. Teman-teman lain sudah jauh meninggalkan aku.

Di pertengahan jalan, rupa-rupanya aku dinanti oleh supervisor aku yang begitu prihatin melihat keadaan aku yang kesejukan di puncak. Mungkin dia takut aku tidak dapat turun atau hilang. Maklum sajalah, masing-masing berjalan mengikut rentak sendiri. Terasa begitu bertuah memiliki seorang supervisor yang baik hati sebegini. Biarpun dilanda kepayahan dan kesukaran, bertemu dengan seseorang yang begitu mengambil berat bagaikan satu motivasi kepada diri sendiri.

Perjalanan pulang dari puncak tidaklah sebegitu sukar. Tambahan pula, badan aku seolah-olah ditiup angin pada arah yang sama. Patutlah ketika naik ke puncak tadi seakan begitu payah, menentang arah angin rupanya. Hadirnya angin di situ bukanlah satu perkara yang tidak diingini kerana angin itulah yang membawa awan gelap berarak dari puncak Arrochar.

Selepas aku berada di separuh perjalanan pulang, langit biru sudah mula kelihatan. Cahaya mentari sudah melimpah di dataran sekitar Ben Arthur dan Beinn Narnain.

Dan aku pulang bersama satu kenangan yang cukup istimewa biarpun rasa penat itu masih terasa untuk beberapa hari.

*Untuk melihat gambar dalam saiz yang besar - di sini.

30-08-07

Loch

Posted in kembara by fajr'

Biru. Hijau. Tenang.

Sedikit koleksi gambar-gambar di Ross Priory & Loch Lomond.

24-08-07

Lari

Posted in kembara by fajr'

loch1.jpg

Semalam, aku lari dari kesibukan. Dari kepenatan. Dari tekanan. Dan aku ke sini. Loch Lomond. Loch dalam bahasa gaelic, yang bermaksud tasik. Tempat ini memang cantik. Mendamaikan. Aku sempat menunaikan solat di bawah sepohon pokok, sejadah beralaskan rumput di bumi.

loch2.jpg

Selepas itu, aku masuk ke dalam taman ini. Terasa bagai terbawa ke sebuah tempat yang begitu asing. Laksana sebuah taman rahsia. Sungguh, aku jadi terkedu melihat betapa indahnya ciptaan Tuhan.

ross1.jpg

15-08-07

Beg Paip Berlagu & Tartan Kilt

Posted in kembara by fajr'

*Sambungan bagi entri sebelum ini*

Apabila memperkatakan tentang Scotland, pasti terlintas beberapa perkara yang begitu sinonim dengannya seperti beg paip dan tartan kilt. Ia merupakan satu keunikan yang cukup mencuit hati, apatah lagi melihatkan seorang lelaki memakai pakaian lengkap yang cukup segak dan digayakan dengan tartan kiltnya, sambil bermain beg paip. Dan pada minggu lepas, begitu banyak orang yang menggayakan pakaian ini berikutan berlangsungnya satu pesta yang agak menarik di sini iaitu Glasgow International Piping Festival. Selama satu minggu pelbagai acara diadakan yang melibatkan beg paip ini.

Setiap hari, pada tengahari, akan berlangsung acara muzik yang dimainkan secara live di George Square yang berada di tengah-tengah bandar Glasgow. Di samping itu, terdapat gerai yang mempamerkan peralatan yang digunakan untuk sebuah band piping dan juga perkara yang berkaitan dengannya. Sebenarnya, ia merupakan acara pemanas bagi menyambut acara kemuncak yang diadakan pada hari Ahad, iaitu pertandingan beg paip antarabangsa yang disertai oleh ramai pasukan dari serata dunia seperti Sweden, Holland, Rusia, Pakistan dan bermacam lagi, termasuklah pasukan dari Scotland sendiri. Suasana bagaikan pesta kerana muzik dari beg paip sering berkumandang dan kadangkala diiringi dengan gesekan biola.

Pada hari jumaat yang lepas, satu perarakan yang terdiri dari semua pasukan yang bertanding telah diadakan di George Square bagi menandakan bermulanya pertandingan beg paip yang diadakan pada hari Ahad. Semua pasukan bersatu menjadi satu kumpulan dan memainkan lagu yang sama sebagai pembuka acara. Kemudian, setiap pasukan akan mengadakan persembahan secara berkumpulan. Memandangkan begitu ramai orang berkumpul di sekeliling pagar di tempat persembahan, aku lebih banyak menghabiskan masa melihat mereka berlatih.

Aku agak tertarik melihat satu pasukan yang terdiri dari golongan lelaki dan perempuan, dari usia muda hinggalah ke usia emas. Ada juga pasukan yang menyerahkan drum major kepada kanak-kanak perempuan. Tapi, dia tampak hebat dan cool.

Dulu aku begitu skeptikal dengan muzik beg paip. Tetapi, semenjak berada di sini, aku terpaksa mengakui bahawa aku sudah mula jatuh cinta dengan muzik beg paip ini. Lebih-lebih lagi jika ia dimainkan secara berkumpulan. Pernah sekali, aku leka di tepi jalan melihat sekumpulan pemuda bermain beg paip, string dan drum. Muzik yang dialunkan secara kontemporari agak memikat.

Satu perkara yang begitu menarik perhatian aku adalah, pada kebiasaannya, apabila memainkan beg paip ini, mereka lengkap dengan set pakaian tradisi dan kebanggaan mereka iaitu sut yang lengkap dengan tartan kilt. Kilt ini mempunyai corak yang tersendiri yang menandakan clan atau kumpulan mereka. Walaupun warnanya kadangkala hampir sama, tetapi ia sebenarnya berbeza. Aku difahamkan, harganya bukanlah murah. Ada yang berharga RM10,000. Pakaian ini sudah menjadi satu trend yang agak hip kerana ramai selebriti Hollywood memakainya untuk acara rasmi seperti Sean Connery (rasanya dia memang Scottish pun). Dan jangan lupa, filem Mel Gibson Braveheart yang banyak memaparkan kilt tradisional. Terdapat banyak kedai yang menjual tartan kilt ini. Ada juga terpampang gambar Mel Gibson dan tartan kiltnya.

Seorang teman memberitahu pada aku bahawa mereka yang memakai kilt tidak memakai seluar dalam. Pada mulanya aku seakan tertanya-tanya, benarkah begitu. Maklum sajalah, kilt itu seakan skirt, dan cuaca di sini pula sejuk. Angin pula kadang-kadang kuat bertiup. Patutlah, ada suatu ketika seorang perempuan (barangkali pelancong asing), beria-ria cuba mengintai kilt seorang pemain beg paip jalanan. Gila!

Di sini, aku kongsikan beberapa gambar yang sempat diambil semasa acara beg paip ini berlangsung. Menurut berita BBC Scotland, pemenang utama kali ini adalah pemenang pada tahun lepas, iaitu pasukan dari Belfast. Oh ya, aku tidak mengikuti langsung acara kemuncak pesta ini kerana beberapa faktor. Pertama, cuaca tidak begitu mengizinkan dan yang paling utama, aku malas mengeluarkan duit untuk bayaran tiket masuk. Oh ya, satu-satunya kumpulan yang tidak memakai kilt adalah pasukan dari Pakistan.