24-06-08
Pagi Isnin aku datang dengan semangat yang membara. Aku sudah berkira-kira mahu membuat eksperimen ke atas set papan cip pemproses yang baru tiba di makmal ini beberapa minggu sudah. Harganya yang beribu pound membuatkan aku agak berdebar. Ini baru peringkat ‘mengenali’, belum lagi dikira menguji dalam erti kata sebenar. Apabila difikirkan, banyak sungguh yang harus dibuat!
Terdapat satu masalah utama berhubung dengan set pemproses berkenaan. Kesemua plug yang dibekalkan adalah merujuk kepada piawai US. Mana mungkin aku boleh memasukkan plug berkenaan ke pin tiga soket yang menjadi piawai di UK (dan juga Malaysia). Oleh itu, aku terpaksa mencari adapter bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Minggu lepas, aku cuba cari alat berkenaan di sekitar kedai 1 Pound, yang mana menawarkan semua jenis barang untuk £1 sahaja. Malang sekali, alat berkenaan tidak mampu memberikan hasil yang dikehendaki. Lalu aku terpaksa membuat pesanan secara online di Amazon. Hari Sabtu, barulah barang berkenaan tiba di rumah.
Begitu beria-ria aku tiba di makmal dan membuat persediaan ke atas set pemproses berkenaan. Aku uji dahulu dengan lcd monitor kecil yang menjadi salah satu aksesori set tersebut. Nampaknya, tiada masalah.
Seterusnya, aku sambungkan kesemua peralatan dengan wayar dan penyambung yang disediakan merujuk kepada manual yang diberikan. Setelah selesai semuanya, masa untuk menekan suis.
Papan lcd monitor kecil itu tidak hidup seperti sebelum ini. Aneh.
Tiba-tiba, aku terhidu sesuatu. Bau hangit menerjah lubang hidung. Segera aku lihat pada suis di bawah meja. Adapter sudah berasap! Segera aku matikan suis.
Hati aku jadi ‘down’ semula.
Beberapa minit berlalu sambil menanti bau hangit hilang. Untuk seketika dirasakan semangat aku bagaikan terbang bersama asap tadi.
05-06-08

Beberapa minggu ini, aku jadi tidak keruan dengan dunia akademik aku. Seakan, berpusing-pusing. Ada banyak benda yang harus aku siapkan dan usahakan, tetapi aku seakan tidak boleh bergerak. Aku jadi buntu. Kepala aku pening. Setiap hari aku rasa bersalah kerana tidak mendapatkan hasil yang agak produktif pada hari berkenaan.
Oleh yang demikian, beberapa hari ini aku banyak mendiamkan diri. Cuma, aku terasa berada dalam pusingan itu terlalu lama. Masa untuk keluar. Masa untuk mencari kekuatan dan keyakinan diri!
[+]
Kredit: http://www.phdcomics.com (Harus dikunjungi untuk mengenali dunia manusia ‘post-graduate’)
08-05-08
Hari ini, genap sudah setahun aku mendaftar sebagai pelajar di bumi Scotland. Cepat betul masa berlalu. Terasa seakan baru saja menjejakkan kaki di sini. Dan semalam, berlalu sudah satu peristiwa penting dalam perjalanan hidup akademik aku di sini. Ianya bukanlah satu titik noktah, bahkan sebagai satu batu loncatan untuk ke fasa yang seterusnya.
Beberapa hari sebelum pembentangan, aku bertungkus lumus menyusun segala maklumat yang berkenaan sebagai persediaan. Kepingan pembentangan yang pada asalnya berjumlah 30 lebih dipendekkan menjadi belasan sahaja untuk memastikan sekadar cukup dengan masa yang telah ditetapkan. Aku rangka skrip yang bersesuaian agar pembentangan aku nanti berlangsung dengan lancar.
Malam sebelum pembentangan, aku sibuk berlatih sehingga letih. Hingga ibu Najla berkata,
“Nanti, ada yang mimpi present masa tidur malam ini.”
Pagi itu, aku keluar rumah awal seperti biasa menuju ke tempat kerja. Melangsaikan kerja part time. Sebaik tamat segala tugas rutin, aku menyelit di tepi almari yang menempatkan peralatan mencuci. Aku buka kertas pembentangan dan membuat ulangkaji di situ. Jika ada orang datang, aku segera berpura-pura sibuk mengemas. Habis waktu kerja, aku terus beransur ke rumah untuk mempersiapkan diri.
Aku datang semula ke universiti dengan kemeja putih berjalur dan seluar berwarna coklat. Disepadankan pula dengan kasut berwarna putih. Memang sangat luar biasa. Sengaja aku berpakaian jauh dari kelaziman.
Sesi pembentangan bermula tepat pada jam 2.15 petang. Beberapa minit sebelum itu, aku usai solat Zohor di surau universiti. Mengharap agar penilaian yang bakal berlangsung berlalu dengan baik. Tiga orang panel berada di hadapan. Pembentang lain diasingkan pada bilik yang lain. Semasa pembentangan berlangsung, aku cuba melakukan yang terbaik. Meskipun diakui, banyak kali juga aku tersasul menyebut beberapa patah perkataan. Setiap soalan yang diberikan, cuba dijawab dengan sebaiknya. Tetapi terdapat satu soalan yang tidak dapat aku berikan sebarang jawapan kerana secara jujurnya aku tidak lagi mendapatkan maklumat berkenaan dengannya.
Bilik berkenaan aku rasakan panas. Adakah kerana panas dari sistem pemanas atau kerana rasa debar dari diri aku sendiri? Terasa peluh membasahi lapisan baju. Sebaik tamat pembentangan dan sesi soal jawab, aku diminta menanti keputusan penilaian di bilik sebelah. Aku hanya mampu bernafas lega. Setidak-tidaknya, sesi berkenaan telah pun aku lalui dengan kemampuan yang ada. Selebihnya, aku hanya bertawakal.
Tidak lama kemudian, aku dipanggil semula untuk mendapatkan keputusan penilaian. Syukur, aku telah diluluskan untuk penilaian tahun pertama. Terasa lapang untuk seketika. Terbang sudah penat lelah beberapa minggu. Aku harus mengingatkan diri, ini bukanlah penamatnya. Ini adalah satu langkah awal sebelum menuju ke jalan yang lebih mencabar.
Lewat petang, aku melangkah keluar dari makmal untuk pulang ke rumah. Terserempak dengan John yang turut menjadi salah seorang panel penilai pada sesi pembentangan tadi.
“Hi John. So, how is it?“, sapa aku sambil menuju ke arahnya.
Dua perkataan yang dapat aku tangkap dari mulutnya membuatkan aku rasa cukup gembira.
“Excellent. And confident!”
Kata-kata itu sudah cukup memberikan semangat untuk aku terus berjuang dan memberikan yang terbaik pada masa akan datang. Dan sewaktu pulang ke rumah, bibir aku terus menguntum senyuman. Nafas dihela dengan rasa lega dan syukur. Dan hari itu, Glasgow terus ceria dengan limpahan cahaya matahari. Seolah meraikan kemenangan kecil ini.
07-05-08
Sebentar nanti, aku akan menuju ke bilik 2.05 untuk menjalankan pembentangan tahun pertama. Sudah beberapa hari (atau berminggu barangkali), mempersiapkan diri untuk hari ini. Bermula dari laporan tahun pertama hingga ke slide pembentangan.
Semalam, aku boleh saja tenang. Hari ini, tiba-tiba saja rasa berdebar-debar.
Peti emel aku menerima pesanan daripada John, supervisor aku.
“All the best this afternoon. Remember to speak clearly and get good eye contact with the listeners and do keep to 10 minutes.”
Saat begini, aku berdoa kepada-Nya agar dipermudahkan dan dikurniakan ilham serta bantuan dalam melalui penilaian ini.
01-04-08
Sejak minggu lepas lagi, aku dilanda dengan ribut kecelaruan. Sibuk benar hingga menyentak segala ruang rehat yang ada. Meskipun dalam kesibukan begitu, aku masih cuba untuk berpura-pura bahawa semua ini akan berlalu dengan baik. Tetapi dalam masa yang sama, Tuhan sahaja yang tahu betapa bergeloranya jiwa aku ini. Mana mungkin aku boleh begitu tenang sedangkan laporan tahun pertama aku harus disiapkan secepat mungkin. Tidak dapat aku sentuh satu pun. Fikiran aku jadi beku. Barangkali aku mengalami writer’s block.
Dalam masa yang sama, John begitu beria-ria meminta aku mendapatkan maklumat berhubung dengan dokumen peralatan makmal yang akhirnya akan digunakan oleh aku sendiri. Banyak perkara yang harus disempurnakan dalam masa yang singkat!
Waktu-waktu begini, alangkah bagusnya kalau aku mampu mengasingkan diri kepada beberapa bahagian dan membuat kerja yang berbeza dan waktu yang sama – simultaneous.
Lantas aku terus teringat kepada kata-kata yang diucapkan oleh seorang ustaz semasa kedatangannya ke Glasgow dalam satu majlis Sirah Rasullah. Niat utama belajar itu haruslah betul, barulah segala apa yang dikerjakan akan mendapat rahmat dan petunjuknya. Mungkin selama ini aku terleka dan terlupa. Maka, ingin aku ingatkan kepada diri sendiri akan tujuan utama mencari ilmu ini adalah semata-mata kerana-Nya.