17-03-08
Tugasan itu cuba disiapkan dengan sebaiknya. Harus diakui, ianya tidak sempurna. Dalam masa yang sama, terpaksa juga melihat tugasan orang untuk mencari jalan keluar agar tidak buntu. Setelah bersusah payah menyiapkannya, maka tugasan itu dicetak dengan sebaiknya.
Akhirnya, tugasan itu dihantar secara by-hand kepada pensyarah berkenaan.
Tapi, apakah yang kau rasa, sekiranya tugasan itu hanya diselak sepintas lalu dan dia berkata bahawa tugasan itu tidak menepati kehendaknya. Kemudian, tugasan itu dicampak di muka pintu hingga terkoyak beberapa helaian muka suratnya. Lebih menyedihkan, tindakan di luar dugaan itu bagaikan menjadi tontonan orang. Semua mata memandang. Dapatkah kau menahan perasaan dan memujuk hati agar bersabar?
Ini bukan fiksyen. Ini satu pengalaman yang aku lihat di depan mata. Mujur bukan di sini. Tapi, suatu ketika dulu, sewaktu aku sedang menjalani dunia master. Aku begitu kasihan dengan pelajar berkenaan. Secara terang-terangan dia dimalukan. Aku cukup tersentak dengan tindakan dia. Patut sungguhlah dia menjadi bahan cerita oleh pelajar-pelajar kerana panas barannya. Entah berapa bakul sumpah telah dicampakkan kepadanya. Kalau benar pun tidak suka atau tidak puas hati, ada lebih banyak cara yang tidak memalukan.
Entah kenapa, secara tiba-tiba peristiwa ini timbul di ingatan. Yang pasti, ini bukan satu inspirasi.
12-03-08
Aku sedang cuba bersiap sedia untuk pembentangan esok. Insya Allah, moga dapat memberikan yang terbaik.
Lewat petang, aku terima satu emel yang sudah cukup membuatkan aku menjadi debar. Tiba-tiba saja, terasa sesuatu menyekat nafas dan menyebabkan jantung aku berdegup dengan lebih kencang.
Ada masa sebulan untuk menyiapkan laporan tahunan pertama. Dan sebulan selepas itu, pembentangan penilaian. Sekejapnya!
28-02-08
Seorang sahabat memaklumkan kepada aku tentang pembentangan yang telah dilaksanakan olehnya semalam. Hasil kajian yang telah dilakukan hampir setahun melalui keringat, curahan fikiran dan daya usaha telah mula menampakkan hasilnya. Harus aku akui, tugas hakiki akademik di dunia penyelidikan peringkat yang sedang aku ikuti bukanlah satu perkara yang mudah. Ianya memerlukan komitmen, konsentrasi, keazaman, kecekalan, ketabahan, kesabaran dan sewaktu dengannya. Begitu juga dengan tuah. Tidak dapat dinafikan, kadangkala aku hampir saja putus semangat. Namun mengenangkan ini adalah satu titik pusingan dalam hidup, maka aku teruskan juga perjuangan ini.
Mendengar khabar dari sahabat aku ini, menjadikan semangat aku menjadi sedikit bercahaya. Meskipun dia mempunyai kelebihan untuk berkomunikasi dan mempunyai bakat berpidato, aku kira hasil yang diperolehinya selama ini turut memberikan kesan yang besar. Eksperimen yang dilakukan pada saban hari dan malam dengan mengorbankan masa rehatnya kini benar-benar berbaloi.
Dia begitu bekerja keras demi impiannya. Hinggakan hasil pembentangannya semalam disebut oleh salah seorang audien di situ sebagai ‘world class’. Untuk itu, dia diberikan wang geran untuk pembentangan di luar negara yang agak banyak nilainya. Dia ini, aku kategorikan sebagai orang yang memang mempunyai bakat. Tambahan pula dengan kerajinan yang ada dalam dirinya. Sememangnya dia layak atas segala usaha yang telah dicurahkan. Aku yakin, satu hari nanti dia bakal menyinar di dalam bidangnya. Aku tumpang gembira dan berbangga dengannya.
Untuk itu, sahabatku, tahniah atas kejayaan ini. Satu pembuka untuk kejayaan yang seterusnya!
25-02-08
Akhirnya, dapat juga aku siapkan laporan yang berminggu lamanya untuk disempurnakan. Tapi apabila dibaca untuk beberapa kalinya, macam banyak yang kurang. Bukan mudah untuk mencari kesempurnaan. Dan aku harus belajar untuk memperbaikinya. Mudah-mudahan segala urusan selepas ini akan berjalan lancar.
Nampaknya, selepas ini boleh aku tumpukan untuk meninjau-ninjau program C. Terbiar beberapa hari sudah membuatkan aku terkapar-kapar mencari punca!
16-01-08

Akhirnya, selesai sudah pembentangan yang berlangsung kelmarin. Tidak dinafikan, ianya merupakan satu pendedahan yang agak baik terutama sekali kepada golongan pelajar (seperti aku). Waktu begini, kemahiran komunikasi harus dipraktikkan dengan sebaiknya. Oleh itu, bagi mengelakkan diri dari kehilangan fokus dan idea, sudah aku persiapkan awal-awal lagi skrip kasar tentang isi-isi utama yang akan digunakan apabila berdepan dengan panel penilai.
Malang sekali, dua orang panel penilai aku tidak begitu arif dalam bidang yang aku laksanakan. Satu cabaran, adalah ingin membuatkan mereka berminat dan memahami konsep yang akan diberikan. Jika tidak, mereka pasti menganggap apa yang aku buat tidak memberikan signifikan di dalam dunia teknologi. Namun, tidak dapat aku nafikan, adalah terlalu awal untuk aku memberikan sesuatu keputusan yang jelas pada masa ini. Yang terbentang adalah sekadar perancangan dan bukanlah hasil yang boleh dibanggakan. Apatah lagi ingin bersaing dengan pelajar lain yang ternyata sudah matang dan lebih senior daripada aku.
Pada waktu begini, aku merasakan diri ini agak kerdil. Tapi, aku tidak mahu ia menyelubungi diri aku secara terus menerus. Untuk menjadi yang terbaik, sudah tentu memerlukan sedikit masa. Dan yang paling penting, ia memerlukan ketekunan, usaha dan semangat yang jitu!
Namun begitu, aku agak gembira menerima respons positif daripada beberapa pelawat yang terdiri daripada professor (atau pensyarah) yang agak berminat dengan aktiviti yang sedang aku laksanakan. Sekurang-kurangnya, ia memberikan satu impak kepada kumpulan yang tertentu. Sudah pasti, ia akan menjadi satu batu loncatan untuk aku menghasilkan yang terbaik bagi meletakkan diri di dalam kelompok yang terbaik.
“The poster already explains everything. Good. Well done! I will look forward to see you next year for some result.”
Komentar itu sudah cukup membuatkan aku tersenyum. Namun, dalam masa yang sama membuatkan aku sangat gementar kerana menerima high expectation daripada mereka. Sedangkan buat masa sekarang ini, terlalu banyak perkara yang harus aku kejar.
Hari ini, aku terpaksa membuat pembentangan yang kedua. Kali ini, di depan pelawat industri yang datang membuat kunjungan khas. Aku kira, sesi ini agak sukar berbanding semalam kerana tumpuan hanya diberikan kepada aku semasa pembentangan bermula. Lima orang pelawat dan empat orang rakan semakmal. Namun, yang lebih membuatkan aku lebih gementar adalah adanya John, penyelia aku sendiri di situ. Selalu saja aku jadi kalut dengan adanya dia.
Tiada sebarang masalah pada pembukaannya. Cuma, di tengah-tengah aku sudah banyak tersasul dan merapu yang bukan-bukan. Idea aku sudah mula tersekat kerana melihatkan pelawat utama aku tertidur!
Bosan? Atau barangkali dia sudah begitu kepenatan dan lapar.
Oh, sorry John!