Archive for the kerja ii category

24-03-08

Cuti & Penalti

Posted in kerja ii, peristiwa by fajr'

Cuti selama empat hari, termasuk hari Sabtu dan Ahad bersempena hari Easter. Sejak minggu lepas lagi, bermacam-macam bentuk hiasan dan coklat berbentuk telur dijual untuk meraikan hari Easter ini. Ramai yang menggunakan kesempatan cuti yang agak panjang ini untuk berjalan-jalan. Tetapi, aku dan keluarga hanya banyak meluangkan masa di rumah. Lagipun, keadaan yang agak sejuk membuatkan kami agak malas untuk menawarkan badan digigit kedinginan.

Meskipun ada cuti untuk merehatkan badan dan minda, namun tugas sebagai pencuci sambilan di gudang membeli belah itu tidak terhenti. Dalam masa setahun, mereka hanya menutup kedai selama 2 hari! Mereka memang mengutamakan keuntungan maksima. Oleh yang demikian, mahu atau tidak, aku terpaksa juga bekerja pada hari-hari berkenaan kecuali hari Sabtu memandangkan cuti aku jatuh pada hari berkenaan.

Kebiasaannya, pada hari Ahad, aku akan bawa kereta ke tempat kerja kerana parking adalah percuma pada hari berkenaan. Jika tidak, bayaran yang dikenakan adalah agak mahal. Bayangkan, bayaran untuk parking itu saja sudah boleh digunakan untuk membeli seekor ayam. Lagipun, pada hujung minggu, bas kurang kerap seperti biasa.

Hari ini, Isnin - masih lagi hari cuti buat kami di sini. Lalu aku bawa kereta seperti semalam. Tiba di tempat parking, hati aku berkira-kira adakah bayaran parking dikenakan pada hari cuti? Aku mula membuat wajaran. Untuk menyedapkan hati, aku bayar juga bil parking di mesin automatik yang berdekatan. Notis berupa pelekat dikeluarkan untuk diletakkan di cermin hadapan kereta. Satu saja masalah, masa yang dicatatkan pada pelekat itu kurang beberapa minit dari masa aku tamat bekerja. Maka, aku tawakal sahaja. Moga-moga tidak dikenakan apa-apa.

Sebaik tamat saja bekerja, aku terus menuju ke kereta. Tanpa disedari, salji berguguran. Patutlah rasa sejuk saja kebelakangan ini.

Tiba di kereta, aku terlihat satu helaian bersalut dengan plastik diselitkan pada pengelap cermin hadapan kereta. Ah, sudah. Aku kena denda!

penalty.jpg

Di notis berkenaan, dicatatkan kesalahan kerana ‘parked after expiry of paid for time’. Huh!. Hati sudah mula menyumpah.

“The owner of the vehicle is required to pay the penalty charge of £60 before the end of the period of 28 days beginning with the date of Notice. The penalty charge will be reduced by one half to £30 if payment is received before the end of the period of 14 days beginning with the date of the Notice.”

Aku pulang ke rumah dengan hati yang muram. Diiringi dengan rintik-rintik salji yang berguguran. Isteri aku hanya berkata, “Bayar sajalah bang. Jangan sedih. Mungkin Allah nak beri benda yang lebih baik.”

Maka, aku terus buka internet dan buat bayaran secara online. Nampaknya gaji 3 hari aku selama cuti ini digunakan untuk membayar penalti parking sahaja!

10-12-07

Surpise!

Posted in kerja ii, peristiwa by fajr'

Hari ini birthday John. Barangkali, dia sendiri tidak ingat tentang hari jadinya pada hari ini. Memandangkan dia ini seorang penyelia yang baik, maka aku ingin berikan sesuatu sebagai tanda ingatan. Lalu, dari minggu lepas aku sudah siapkan sesuatu untuk dia. Satu-satunya benda yang tidak akan dijual di mana-mana.

Pagi tadi, aku bungkus dan letakkan hadiah berkenaan di pintu bilik John. Harapnya, dia gembira menerima hadiah berkenaan.

10-12-07

Di Atas Lantai

Posted in kerja ii by fajr'

Kadang-kadang aku merasakan hidup aku di sini terlalu membosankan. Bayangkan, setiap minggu aku terpaksa keluar pada setiap pagi, 6 hari seminggu. Kadang-kadang, tiada cuti langsung. Rutin yang sedikit sebanyak menahan kebebasan di dalam diri. Aku tidak mampu berjaga malam untuk belajar, membaca ataupun menonton tv kerana terlalu penat dan harus bersedia untuk keesokan paginya.

Tapi, aku cuba berfikiran positif, bahawa ini adalah salah satu cara untuk aku bangun awal pada setiap pagi. Barangkali, bekerja pada setiap pagi itu diumpamakan bersenam dengan mengerakkan setiap sendi dan tulang. Entah bila agaknya aku mahu berjogging atau pergi ke gim. Sebelum datang ke sini pun aku hanya berkira-kira mahu aktif bersenam. Tetapi, selalu saja ada alasan. Rasanya, sejak bulan lepas lagi aku bercadang untuk mengikuti kelas renang. Sampai hari ini, aku tidak pernah pergi pun. Mungkin tiada pendorong.

Maka, lantai di tempat aku bekerja sajalah menjadi gelanggang untuk aku bersenam. Bermula dengan mengumpulkan sampah-sampah menggunakan penyapu kain berbentuk T, kemudian diteruskan dengan kerja-kerja mengilat lantai menggunakan mesin. Hinggakan jari kiri aku terasa sakit mungkin kerana tersalah urat sewaktu menggunakan mesin pengilat lantai. Mana mahu cari orang yang pandai mengurut di sini. Kalau di kampung, harus aku segera berjumpa dengan bapak.

Satu perkara yang pasti sewaktu membersihkan lantai adalah memastikan bahawa tiada sebarang sampah atau kotoran di atasnya. Maka, apa saja yang jatuh, baik besar ataupun kecil yang boleh dilihat dengan mata kasar dikira sampah. Ada juga barang-barang kaca yang terjatuh dan pecah pada hari sebelumnya. Itu juga sudah dikira sampah. Yang paling aku tidak suka adalah membersihkan kepingan-kepingan kecil polisterin. Menjadikan kerja aku lembab.

Satu hari, sedang membersihkan lantai di kawasan yang ditetapkan, aku terjumpa duit syiling 10 pence. Sayang betul kalau aku tolak dan masukkan ke dalam kumpulan sampah. Besar nilainya. Maka, aku simpan ke dalam kocek. Satu hari yang lain pula, aku terjumpa pula duit syiling £1. Wah, lagi besar nilainya.

Pernah satu ketika, sedang asyik membersihkan kawasan yang terletak di celah-celah susunan pinggan mangkuk, terdampar sekeping not bernilai £5. Bayangkan, nilai itu sudah menyamai gaji aku untuk separuh hari. Dan hari ini, di antara kepingan kertas-kertas sampah, aku terjumpa dengan not bernilai £20. Pada mulanya, aku rasa tidak percaya melihat not kertas berkenaan. Adakah ianya duit benar atau palsu. Nilainya lebih besar dari gaji yang diterima untuk sehari!

Dalam waktu begini, kadangkala aku cuba ingin menjadi seorang yang jujur. Pulangkan duit kepada tuannya. Masalahnya, kepada siapa harus dipulangkan? Kalau aku serahkan pada penyelia, belum dapat dipastikan ke mana perginya duit itu nanti. Jadi, aku anggap itu adalah rezeki untuk seorang pembersih lantai yang kerjanya banyak mengutip sampah dan buangan orang. Atau juga apa yang dicicirkan orang.

Itu belum lagi aku kisahkan orang di sini yang bekerja membersihkan kawasan di dalam panggung wayang. Bayangkan, mereka terjumpa ipod, kamera digital, telefon bimbit dan bermacam-macam lagi barangan yang tercicir di dalam panggung.

06-10-07

Kurung

Posted in kerja ii by fajr'

Seperti biasa pada setiap hari, sebaik sahaja aku selesai bekerja, aku terus menuju ke universiti. Dan pada pagi itu, aku melihat kelompok makcik-makcik cleaner di dalam bangunan universiti aku. Selalunya mereka akan berkumpul dan berbual-bual. Tapi pagi itu mereka nampak begitu gembira. Tergelak-gelak.

Rupa-rupanya, mereka sedang mengusik salah seorang cleaner di situ. Bayangkan seorang perempuan dikunci di dalam jaringan yang ditempatkan khusus untuk tangki gas. Kemudian, yang lain ketawa dan tergelak-gelak dan meninggalkan dia seorang diri meminta tolong untuk dikeluarkan.

Sungguh, pagi itu, aku terus tersenyum dan tergelak seorang diri. Terlintas satu fikiran yang agak nakal di kepala, alangkah seronoknya kalau aku dapat memasukkan Betty ke dalam sangkar besi itu!

04-10-07

Betty

Posted in kerja ii by fajr'

ugly-betty.jpg

Namanya Betty. Dia tidak memakai cermin mata besar berwarna merah. Giginya tiada braces. Rambutnya bukan berwarna hitam lebat. Bahkan, tubuhnya juga tidak besar. Begitu juga dengan sifat dan sikapnya yang jauh berbeza. Satu perkara yang pasti, Betty ini bukanlah berdarah latin dan tidak bekerja sebagai PA.

Rambutnya lurus dan blonde. Orangnya bertubuh kecil. Wanita ini agak berusia, namun melihat keadaannya, jelas sekali dia begitu kuat bekerja. Mulutnya bagaikan bertih jagung.

Namun begitu, dia ini sangat popular di kalangan kami - warga cleaner di gedung membeli belah itu (tempat aku bekerja). Bukan kerana dia memiliki perangai yang melucukan seperti Betty Suarez di dalam Ugly Betty, tetapi kerana mulutnya yang suka membuat komen, aduan dan bermacam-macam lagi. Ada saja perkara yang tidak kena. Cleaner tidak cukup, salahkah kami. Lantai tidak bersih, salahkan kami. Sedangkan, kebanyakan aduan yang diberikan bukanlah di dalam bidang kuasa kami, yang sekadar kuli.

Bagaimana lantai mahu bersih, kalau mesin yang kami gunakan selalu rosak. Jangan salahkan kami dengan mengatakan kami menggunakan mop yang kotor untuk mencuci lif, sedangkan setiap kali lantai lif dicuci, pekerja mereka sering keluar masuk dengan tapak kasut yang kotor.

Satu perkara yang tidak aku tahan adalah sikapnya yang suka mengadu kepada bos besar gedung berkenaan. Kadang-kadang dia langsung tidak menghormati kami, tukang cuci yang keseluruhannya bukanlah orang-orang mereka. Kami ini, muka Asia dan ada juga yang datangnya dari Poland. Terasa seperti dipermain-mainkan.

Ada juga ketikanya, dia memberi arahan kepada kami, dengan nada suara yang kuat. Seolah-olah merasakan kami ini tidak faham bahasa Inggeris. Kadang-kadang sempat pula dia ketawa besar bersama kawannya kerana membuat lawak tentang kami. Aku pernah kena sekali dan aku sendiri kurang pasti, apa yang kelakar sangat agaknya. Panas juga hati ini.

Namun, aku selalu membuat muka blur - tanda orang yang tidak faham bahasa Inggeris. Rasanya lakonan itu lebih sesuai. Tapi aku tidak pula menafikan yang kadang-kadang aku sendiri tidak faham apa yang dikatakan olehnya. Mungkin kerana dia bercakap sedikit laju. Tapi, ada seorang makcik cleaner warga Poland sebelum ini memang tidak tahu langsung berbahasa Inggeris. Susah betul berkomunikasi dengannya. Banyak menggunakan bahasa isyarat dan body-language. Kini, dia sudah pun berhenti bekerja dari situ.

Ada ketikanya, mahu saja aku menghamburkan kata-kata tidak puas hati yang selama ini dipendam. Atau lebih dramatik lagi, sebaik puas meluahkan rasa itu, aku ambil kayu mop dan campakkan ke lantai. Kemudian, berlalu keluar dan tidak berpaling lagi. Atau berhenti sebentar dan berpaling kepadanya lalu berkata, ‘I don’t give a d*mn about this job!’

Tapi, rasanya itu bukanlah aku. Apatah lagi mengenangkan bahawa ini merupakan salah satu cara (buat masa ini) untuk aku menampung kos hidup di sini. Juga tidak sanggup membayangkan anak dan isteri yang terpaksa mengikat perut kerana lapar membuatkan aku bertindak dengan lebih wajar. Maka, aku pendamkan segala rasa marah itu menjadi kepingan-kepingan sampah. Sama seperti sampah di lantai yang aku bersihkan pada setiap hari.

Tambahan pula, ini adalah bulan Ramadan. Di samping menahan rasa lapar, aku turut menahan amarah yang bergelora. Lagipun, rasa tidak berbaloi untuk bergaduh dengan wanita tua sepertinya. Mungkin dia inginkan perhatian atau mempunyai masalah yang tersendiri.

Kalaulah dia mempunyai perangai yang sama dengan Betty Suarez, tentunya keadaan menjadi sangat berbeza. Barangkali keadaan menjadi seronok dan melucukan. Tapi dia bukanlah Betty di dalam siri TV itu.