27-08-07
Kalau bukan kerana keperluan kewangan di sini, jangan harap aku mahu bersusah payah untuk bekerja sambilan. Tapi mengenangkan duit itu nanti akan digunakan untuk membeli makanan, susu, lampin dan bayaran nurseri Najla, maka aku terpaksa korbankan masa dan tenaga. Sungguh, memang terasa penat.
Sebenarnya, aku masih lagi bekerja sebagai pencuci lantai di tempat yang sama. Walaupun aku diarahkan untuk tidak perlu datang kerja lagi, aku tetap berdegil untuk datang seperti biasa. Berani kan?
Aku ditawarkan bekerja di tempat itu oleh salah seorang kenalan. Kiranya, aku menggunakan khidmat orang dalam untuk bekerja sambilan di situ. Aku terpaksa bekerja selama 7 hari seminggu selama 2 jam lebih pada waktu pagi. Dalam masa 7 hari itu, setiap orang akan mendapat cuti sehari secara bergilir. Walau bagaimanapun, aku hanya boleh bercuti pada hari Isnin sahaja. Hari itulah aku terpaksa menjaga Najla sebelum menghantarnya ke nurseri memandangkan ibu Najla sudah mempunyai komitmen untuk membuat pembentangan mingguan kepada supervisornya.
Supervisor aku (di tempat bekerja) seakan tidak puas hati dengan permintaan aku - untuk bercuti pada hari Isnin sahaja. Sedangkan perkara itu sudah aku maklumkan kepada pihak pengurusan. Ternyata mereka tidak mempunyai masalah tentang itu. Aku akan mendapat cuti pada setiap hari Isnin. Tapi, tidak menyenangkan kepada supervisor aku di situ.
Aku dapat rasakan kadangkala supervisor aku sengaja mencari salah aku. Di mana kawasan yang perlu aku bersihkan, di situlah dia akan membuat tinjauan. Ada tempat yang sudah aku bersihkan, disuruhnya aku bersihkan. Kadang-kadang bukan tempat aku pun, diminta aku bersihkan. Maka, aku menjawab sebagai mempertahankan diri. Atau protes.
Pada hari pertama aku bekerja, terdapat 2 orang baru yang turut sama memulakan kerja di situ. Apabila aku dimaklumkan untuk tidak perlu datang lagi, aku seakan tersentak. Kenapa aku yang dipilih? Kenapa bukan lagi 2 orang yang sama-sama masuk bekerja?
Aku seakan tidak puas hati dengan alasan terlalu ramai pekerja di tempat itu. Apabila aku dibuang sebegitu saja, fikiran aku berputar dengan ligat. Atas alasan itu, maka aku dibuang kerja? Apa hak dia untuk membuang aku sesuka hati? Dia bukan layak untuk memberitahu sebegitu saja. Maka, aku telefon pihak atasan untuk penjelasan. Mereka benarkan aku bekerja seperti biasa. Dan pada hari-hari berikutnya, supervisor aku di tempat itu seakan ‘berbulu’ melihat kehadiran aku.
Aku tidak ambil peduli. Buat masa sekarang, ini sahaja jalan yang aku ada. Mungkin nanti, aku akan ikhtiarkan untuk mencari pekerjaan yang lain. Bukan senang untuk mendapatkan kerja di sini. Setidak-tidaknya, mereka memerlukan satu ID untuk membolehkan kita bekerja. Dan ID berkenaan mestilah dipohon mengikut prosedur yang tertentu. Walau bagaimanapun, kerja sebagai pencuci lantai ini bukanlah seteruk mana. Nilai gaji sebulan kalau ditukar kepada RM sudah menyamai gaji jurutera di Malaysia.
Di sini, aku harus belajar untuk menjadi ’survivor’. Aku harus belajar untuk jadi kental. Moga rasa pahit ini akan menjadi satu perkara yang manis dalam satu bentuk yang lain. Aku begitu yakin dan pasti akan kekuasaan Tuhan.
21-08-07

Hidup di dalam suasana dan persekitaran yang memerlukan kos yang tinggi kadangkala memberi tekanan yang bukan sedikit. Berada di negara orang dengan bergantung kepada elaun yang kecil seolah-olah menjadikan diri sebagai pendatang yang miskin. Aku sedar jumlah perbelanjaan melebihi dari apa yang diterima, walaupun sudah cuba berjimat cermat. Apatah lagi, aku sudah diberitahu bahawa tiada sebarang perubahan pada rayuan yang telah aku usulkan kepada pihak yang sepatutnya. Kecewa? Bohonglah jika aku berkata tidak. Namun aku harus kuatkan semangat untuk meneruskan hidup di bumi orang ini.
Oleh yang demikian, aku sudah tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa mencari kerja sambilan di sini. Meskipun aku tahu, sedikit sebanyak ianya turut mengganggu jadual harian aku yang sudah sedia penuh dan ketat. Kudrat ini meletakkan diri untuk mencari pendapatan sampingan bukan untuk kemewahan tapi kerana keperluan. Biarlah aku terpaksa bersusah demi rezeki kami sekeluarga di sini.
Maka, secara tidak langsung, status aku sudah bertambah lagi, iaitu sebagai seorang pencuci atau pembersih lantai di sebuah pusat membeli belah. Roda kehidupan aku berputar di sini. Meletakkan diri ke status yang sebaliknya. Ironi sekali, sebelum ini aku hanya merasa kasihan melihat makcik-makcik tua yang bertungkus lumus membersihkan lantai di tempat aku bekerja. Dan kali ini, tugas itu diambilalih oleh aku. Bukan mudah rupanya untuk membersihkan tempat yang sering kotor pada setiap hari. Tidak dinafikan, kerja ini agak memenatkan lebih-lebih dilaksanakan di awal-awal pagi. Maka, ketika orang lain sedang enak beradu di dalam kehangatan duvet, aku sudah bergegas keluar dari rumah dan menanti bas pada masa fajar sudah mula berlalu pergi di dada langit.
Hari pertama bekerja - kelam kabut aku dibuatnya! Terlalu banyak yang harus aku siapkan dan bersihkan dalam masa yang begitu singkat. Tambahan pula, aku sedikit kekok kerana sudah lama tidak memegang kayu mop dan sebagainya. Mesin pembersih lantai yang aku gunakan pula tidak banyak membantu, bahkan menyusahkan saja kerana span pembersihnya sering tanggal dan meninggalkan kotoran pada lantai yang sudah sedia bersih. Geram sekali. Itu belum lagi dengan arahan supervisor yang asyik menyuruh aku buat itu dan ini, seolah-olah aku ini mempunyai tangan yang banyak seperti sotong - boleh membuat semua kerja dengan serentak. Mulutnya juga jarang berhenti dari mencarut.
Susah juga menjadi seorang yang cerewet, hinggakan lantai yang aku bersihkan pun aku mahu pastikan ianya benar-benar bersih tanpa kotoran. Nampaknya aku terpaksa mengurangkan tahap standard aku ini. Jika tidak, sudah tentu tidak siap kerja dibuatnya. Selalu saja aku menjadi orang yang terakhir membersihkan dan menyiapkan kawasan aku. Itu belum lagi dengan terpaksa memakai tshirt yang entah bila agaknya kali terakhir ianya dibasuh. Baunya cukup menyeksakan.
Ketika tangan dan kaki sibuk bekerja, fikiran aku mula menerawang tentang kepayahan hidup di negara orang. Dan aku mula menghargai apa yang pernah aku kecapi di bumi sendiri.
Dan belum pun cukup seminggu bekerja, hari ini aku telah diberitahu oleh supervisor tidak perlu datang lagi - berhenti. Katanya, jumlah pekerja sudah terlalu ramai dari bilangan yang sepatutnya. Nampaknya, bukan rezeki aku. Mungkin juga aku dipilih kerana aku salah seorang pekerja yang cukup berani menjawab!