Archive for the memori category
01-11-07
“Dari ruang dapur,
teradun ramuan kasih sayang,
mencipta aroma bahagia,
hingga ke akhir hayat…”
“Ala, sup kaki ayam lagi ke mak?”, getus hati lalu terlafaz di bibir. Semalam sup kaki ayam. Hari ini pun sup kaki ayam. Tiba-tiba hilang selera makan. Entah apa silapnya, aku terus bangun dan letakkan pinggan semula. Terlalu ikut rasa muda yang mengada-ngada. Padahal, aku patut bersyukur sahaja dengan rezeki yang terhidang di depan mata.
“Tak makan ke?”, tegur mak. Namun, tiada kata yang terucap. Mungkin dia rasa serba salah. Mungkin juga kecil hati. Dia hanya terdiam. Baginya sup kaki ayam itulah yang menjadi kegemaran suami.
Sejenak, terbetik rasa bersalah dan menyesal tidak terkira. Kurang ajar sungguh aku. Setidak-tidaknya, tak perlulah mulut ini gatal-gatal menyuarakan butir-butir kata sebegitu. Rasa terkilan menyelubungi seluruh jiwa. Aku terbawa-bawa rasa penat dan tekanan bekerja. Satu kesilapan yang cukup nyata. Lama juga aku terdiam menelan rasa. Tidak terlintas di hati untuk melukai hati seorang ibu. Keterlanjuran yang membawa kekesalan yang cukup mendalam. Mencairkan batas-batas keegoan lalu membasahi bibit-bibit peristiwa. Ianya berulang-ulang bagaikan wayang gambar. Ah…, hati ini mengeluh berat sekali.
Esoknya, apabila aku pulang ke rumah, seperti biasa aku menjenguk ke dapur. Perut ini manja dan sering memanggil untuk diisi dek kelaparan. Aku buka tudung saji. Aku nampak lauk itu - sup kaki ayam. Aku terdiam. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya ini adalah rezeki dan juadah yang bisa mengenyangkan. Syukur, bisik hati kecil aku. Apa salahnya kalau aku mengalah hanya kerana perkara yang sekecil ini?
“Eh, mak dah simpankan lauk kat mangkuk yang ada tutup tu untuk kau. Makan ye”, jerit mak dari luar rumah.
Lauk untuk aku? Sekilas pandang aku terlihat sebuah mangkuk berwarna putih tertutup di tepi tudung saji. Aku terkedu sebaik sahaja melihat isi di dalamnya. Sup ayam. Bukan terisi dengan kaki-kaki ayam, tapi bahagian-bahagian ayam yang lain seperti kepak dan peha ayam. Sebak menusuk ke dada. Terasa seperti mahu mengalir air mata. Hingga sebegini sekali ingatan mak untuk aku. Terlintas kembali peristiwa semalam, hanya kerana aku tak mahu makan kerana sup kaki ayam. Dan hari ini, aku disediakan khas sup yang terisi dengan bahagian ayam yang lain, selain dari kaki ayam.
Sebenarnya, aku bukanlah orang yang cerewet dengan soal makanan. Asalkan ianya mengenyangkan, syukur. Cuma hari itu, aku terbawa-bawa perasaan yang remeh ke rumah. Mujur juga hati mak tak kecil hati. Atau mungkin juga hatinya tersentuh dengan gelagat aku, lalu diubatinya dengan menyediakan bahagian khas dalam sup kaki ayam itu. Kesannya bukan sedikit, seolah-olah rasa sup ayam itu laksana kasih yang mengalir ke dalam tubuh aku. Perlahan-lahan mengalir ke liang-liang darah bersama sayang insan yang bernama ibu. Nescaya, hinalah aku kalau aku sengaja menidakkan rasa syukur dan terima kasih ini kepadanya.
Sejak hari itu, setiap kali sup kaki ayam terhidang, pasti akan ada bahagian khas untuk aku. Kadangkala, aku rasa bersalah kerana di’istimewa’kan sebegitu. Aku tak berhak untuk menerimanya, hanya kerana kesilapan pada hari itu. Kalau boleh, aku mahu cakap, “tak payahlah mak..”. Tapi, aku rasa khuatir kalau-kalau aku menyentuh hati mak lagi. Aku cukup kenal dengan sikap mak yang cukup memendam rasa. Tidak akan diluahkan rasa kecewanya, cuma riak wajahnya cukup jelas untuk aku tafsir segala-galanya.
Dari ruang dapur, mak sudah adunkan segala rempah dan bahan-bahan masakan untuk menjadi santapan buat keluarganya. Begitulah rutinnya sehari-hari. Kadangkala, kalau mak sibuk dengan kuih, bapak akan menjadi tukang masak di dapur. Tak kiralah siapa yang memasak, apa yang pasti, mereka pasti akan memasak dengan sebaik mungkin. Cuba menghasilkan hidangan yang menjadi kegemaran buat anak-anak. Dari situlah mengalirnya kasih sayang yang cukup melimpah ruah. Melalui hidangan lauk pauklah berlalulah kasih sayang yang tidak semestinya dibuktikan dengan kata-kata atau perbuatan.
Ada orang berkata pada aku, tak seronok hidup dengan keluarga. Macam anak manja. Aku tak hirau dan peduli dengan kata-kata orang. Kalau nak diikutkan, memang rasa janggal bila sudah biasa hidup berjauhan dengan keluarga. Cuma, biarlah kali ini, aku memberi sedikit masa untuk aku bersama-sama mereka. Selagi masih ada mereka. Biarpun mereka tidak pernah mengharapkannya, tapi aku tahu, saat-saat begini, mereka terlalu ingin sekali di samping anak-anak dan cucu tersayang. Aku sedar, bukan mudah untuk menahan karenah yang menagih seribu kesabaran.
Lagipun, ke mana aku harus lagi mencari sup kaki ayam yang sama rasanya dengan sup kaki ayam mak? Dan, kalau aku dapat menggantikan seperiuk sup kaki ayam dengan seperiuk sup apa sahaja yang lazat sekalipun, mampukah aku menadah kasih sayang yang sama?
*Entri ini memenangi Catatan Terbaik 2003, Anugerah Geng Jurnal.
26-09-07
Kata orang, tidak dapat berjumpa orangnya, dapat melihat bajunya sudah cukup untuk mengubat rasa rindu. Apabila rasa rindu itu sudah memuncak, segala benda yang dimiliki oleh orang yang kita rindui itu memadai untuk menjadi penawarnya. Benarkah begitu?
Masih aku ingat, suatu ketika dulu, abang aku pergi belayar ke laut untuk bekerja. Saban waktu, masanya terluang di atas kapal, siang dan malam sebagai salah seorang jurutera di situ. Hidupnya banyak dihabiskan di laut. Mujur juga kegemarannya adalah memancing, maka hobi itu dapat juga menggembirakan hatinya yang seringkali rindu pada keluarga.
Tidak dapat aku nafikan bahawa abang aku itu adalah salah seorang anak yang cukup disayangi mak. Pada waktu itu, aku hanyalah sekadar budak sekolah yang mentah. Belum begitu mengenal dan memahami rasa rindu seorang ibu kepada anaknya. Namun, aku masih dapat merasakannya kerana mak sering bercerita tentang abang aku yang seorang itu.
Satu hari Jumaat, aku bersiap-siap untuk pergi menunaikan solat Jumaat. Bapak sudah awal-awal lagi ke masjid. Mak pula sibuk di dapur. Setelah usai mandi, aku pergi ke dalam bilik untuk memakai baju. Bilik di rumah aku pada waktu itu dipenuhi dengan almari dan rak-rak baju yang dikongsi untuk satu keluarga. Ada rak tersusun baju-baju harian aku dan adik aku. Satu rak, pakaian mak dan bapak. Ada juga ruangan di rak itu menempatkan baju-baju dua orang abang aku. Di dalam bilik itu juga diletakkan satu almari kaca yang menyimpan pakaian-pakaian khas yang digunakan untuk hari-hari istimewa seperti hari raya, keluar bandar dan untuk berjalan jauh. Berdekatan dengan almari kaca itu, sebuah katil besi antik orang dulu-dulu. Terdapat satu penyidai baju yang meletakkan baju-baju yang tergantung, termasuklah baju-baju sekolah kami.
Seperti biasa, aku akan mencari baju yang bersesuaian untuk digunakan bersolat di masjid. Satu demi satu lipatan baju dan kain di dalam rak itu aku cari dengan cermat. Mak cukup marah kalau lipatan baju kusut dan tidak tersusun. Satu pesanan yang aku pegang untuk mengelakkan diri dimarahi atau dirotan. Malangnya, tidak ada satu pun yang mencuit hati aku. Selalunya, aku akan terus menyarung baju Melayu. Tetapi pada hari itu, aku terasa ingin memakai pakaian yang lebih segak.
Aku terus bergerak dengan penyidai baju besi yang menempatkan baju-baju yang lain. Tiba-tiba aku terpandang satu baju kemeja berwarna biru tua. Kainnya terasa begitu lembut. Hati aku berkata, inilah baju yang paling sesuai. Lantas, segera aku ambil dari penyidai dan terus disarung ke tubuh badan aku. Tidak terlalu kecil atau besar. Aku sendiri kurang pasti baju siapa yang aku pakai. Rasanya itu baju abang aku yang merantau di lautan. Satu rasa puas melekat ke dalam hati. Sekurang-kurangnya, datangnya aku ke masjid pada hari itu dengan pakaian yang bersih dan cantik.
Sebaik tamat solat Jumaat, aku terus pulang ke rumah. Aku segera ke bilik untuk menyalin pakaian. Tidak lama kemudian, mak turut masuk ke dalam bilik untuk menyalin pakaian. Rambutnya basah, tanda baru selesai mandi. Tiba-tiba muka mak seakan berubah tatkala melihat aku.
“La, kenapa pakai baju tu?”
Alamak, ada yang tak kena ke dengan baju ni, bisik hati aku.
“Kenapa mak?”
“Itu kan baju Abang Lukman sebelum dia pergi belayar hari tu. Hilanglah bau dia! Kenapa tak pakai baju lain? Kan ada banyak baju lain. Kenapa baju tu jugak yang dipakai”, balas mak. Jelas ada nada-nada kecewa. Kesal mengenang bau badan anak dia yang seorang hilang dan berganti dengan bau badan aku.
Sungguh, aku tidak tahu langsung yang mak simpan baju terakhir abang aku untuk dijadikan pengubat rindu. Aku sendiri tidak pasti berapa lama bau badan itu boleh melekat kepada baju yang dipakai. Aku juga agak kesal kerana memakainya. Kalau tidak, pasti akan aku biarkan baju itu terus tergantung agar dapat mengubati rasa rindu mak pada abang aku.
Sejak itu, aku turut berhati-hati ketika memilih pakaian. Aku sudah jarang untuk mengacau baju yang bukan milik aku.
Entah mengapa, tiba-tiba saja peristiwa itu kembali menerjah ruang fikiran. Pada waktu ini, pernah juga terdetik, adakah ada tergantung baju aku di penyadai besi di kampung sebagai pengubat rindu? Barangkali, mungkin sebahagian baju-baju lama aku masih tersimpan di dalam almari di bilik atas rumah.
Namun begitu, aku masih dapat merasakan betapa mak dan bapak terasa ‘kehilangan’. Biarpun tidak pernah bercerita tentang baju, dari nada suara yang penuh kesayuan begitu jelas menzahirkan betapa rasa rindu itu tidak pernah padam.
02-08-07

Hari ini aku ingin bercerita sesuatu yang sedikit peribadi. Tulisan yang jarang-jarang aku lakarkan sejak beberapa tahun. Mungkin kerana ingin berkongsi sesuatu di sini setelah aku simpan sekian lama. Namun begitu, bercerita tentang semua ini bagaikan membongkar semula segala kenangan silam yang terlukis segala pahit dan manis.
Dulu, aku banyak hidup dengan kenangan. Aku begitu menghargai setiap orang yang hadir dalam hidup aku, terutamanya mereka yang begitu rapat dan menjadi sahabat dan teman di saat suka dan duka. Tetapi, masa telah membawa setiap insan pada laluan yang tersendiri. Masing-masing sibuk dengan keadaan semasa - dengan tanggungjawab yang menjadi keutamaan. Maka, adalah tidak aneh jika kebanyakan mereka sudah berubah. Dari mentah menjadi lebih matang. Dari jenis yang tidak ambil kisah menjadi golongan yang serius.
Apabila mengenangkan hanya aku yang bergantung kepada kenangan, maka aku tutup segala apa kenangan yang ada. Aku simpan dengan baik. Setiap kenangan manis yang ada pada suatu masa dulu belum pasti menpunyai manis yang sama pada saat ini. Segalanya sudah berubah dan aku harus menerima hakikat itu. Dan pada ketika ini, hampir sebahagian besar kenalan rapat aku sudah jarang mengirimkan berita. Aku faham keadaan itu kerana aku juga termasuk dalam kumpulan yang begitu sibuk menguruskan kehidupan yang aku lalui sekarang. Dan aku juga turut jarang mengirimkan berita sendiri. Tapi, ada juga kawan yang dulu cukup rapat dan aku anggap sebagai sahabat baik sudah hilang terus. Atau dengan kata lain, seakan melarikan diri dari aku. Kenapa pula ya? Sering aku bertanya, apakah kesalahan yang aku lakukan? Aku sedikit terasa, tapi aku biarkan masa yang menentukan.

Tidak aku nafikan, aku begitu bahagia dengan kehidupan yang aku lalui sekarang. Namun, adalah tidak adil membiarkan tali silaturrahim yang pernah terjalin erat suatu ketika dulu terlerai begitu saja.
Meskipun begitu, masih ada yang setia berkongsi cerita dari dulu hingga kini. Satu perkara yang masih mewarnai hidup aku dalam bayangan yang sama.
Seingat aku, sahabat aku yang seorang ini mempunyai ciri yang hampir sama dengan aku. Bermula dari cita-cita di awal dulu ingin menjadi pilot hinggalah berkongsi CGPA yang sama sewaktu di sekolah menengah. Tetapi, dalam persamaan itu, ada juga bezanya. Dia lebih hebat bersukan, sedangkan aku lebih menghabiskan masa dengan benda-benda seni. Dan aku pernah merasa cemburu kerana dia mendapat markah tertinggi di dalam kelas untuk matapelajaran Fizik. Wajar juga kerana aku memang begitu lembab dengan subjek tersebut pada ketika itu. Maklumlah, late bloomer. Apa yang pasti, dia adalah orang yang sangat popular di sekolah kami pada waktu itu. Mungkin kerana dia seorang yang memiliki jawatan terpenting di sekolah, atau barangkali kerana ‘kehenseman’ dia yang sering menjadi cerita. Dia jugalah yang mengubah persepsi aku terhadap orang-orang Pantai Timur.
Sepanjang sesi persekolahan, aku tidak selalu menghabiskan masa dengan dia. Walaupun dikatakan kami sering mengadakan sesi ’study group’, aku banyak meluangkan masa dengan kawan-kawan yang lain. Satu kumpulan yang mempunyai ‘kepala’ dan minat yang sama. Namun begitu, di waktu malam, aku akan sering berkunjung ke biliknya - mencari tempat untuk study. Hingga pernah pada suatu ketika, kami dituduh mengintip pelajar perempuan kerana biliknya berada di hujung blok dan berhadapan dengan asrama perempuan. Pelik sungguh dan aku begitu tertekan pada waktu itu. Dipanggil pada waktu malam oleh warden perempuan kerana menjadi mereka yang tertuduh - aku, dia dan beberapa teman yang lain. Kemudian aku terfikir, siapa yang intip siapa sebenarnya ini? Ironi sekali.
Kemudian, kami terpisah kerana masing-masing mengikut haluan yang tersendiri. Aku menghabiskan masa untuk mendapatkan ijazah kejuruteraan di sebuah universiti di selatan tanahair, manakala dia jauh di benua lain - UK. Meskipun terpisah oleh jarak yang jauh, kami tidak pernah terputus hubungan. Surat sering dikirimkan. Dan pada waktu itu, kawan-kawan yang rapat sebelum ini jarang pula mengutus khabar. Lalu kami sering saja bertukar cerita antara kami - tentang bermacam kisah. Dalam masa yang sama, kami berhubung melalui emel yang masih dikatakan baru pada waktu itu. Dia dengan masalah yang dihadapi di negara orang. Dan aku dengan masalah sendiri. Masih tidak dapat aku lupakan ketika dia mengirimkan not Pound dari sana kerana ingin membantu aku yang sedang mengalami masalah kewangan pada waktu itu. Sungguh, aku menjadi begitu terharu menerima kejutan sebegitu.
Sebaik dia pulang dari UK, dia membawa satu berita yang tidak diduga. Dia ingin mendirikan rumahtangga dengan pilihannya. Memang tindakan di luar jangkaan - kerana terlalu cepat semua itu berlaku, tetapi aku yakin itulah kebahagiaan yang dicari. Masih aku ingat kiriman emel darinya yang menjelaskan kenapa dan mengapa dia ingin menamatkan zaman bujangnya. Antara kandungan emelnya mengisyaratkan bahawa hubungan persahabatan kami tidak mungkin sama seperti dulu kerana dia mempunyai tanggungjawab yang lebih utama. Aku akur, tapi tetap menghargainya.
Baru beberapa bulan bertugas di tanahair, dia ditugaskan pula ke Jepun. Masih aku ingat betapa sibuknya dia untuk mempelajari bahasa Jepun. Tapi, aku yakin dengan kemampuan dia kerana dia bukan calang-calang orangnya. Ternyata, dia boleh melakukan setiap cabaran yang mendatang. Aku sempat menghantarnya ke lapangan terbang sebelum dia berlepas ke sana. Ketika aku berhempas pulas dengan dunia aku, dia sibuk dengan kehidupan kerjaya di sana. Namun, kami masih lagi terus berutusan. Tanpa rasa jemu. Dan aku tidak merasa langsung akan kejauhan persahabatan kami ini.
Dia, antara sahabat aku yang cukup istimewa. Kawan yang diperlukan di saat suka dan duka. Ketika aku berada dalam kesusahan, dia sanggup memberikan kepercayaan untuk membantu aku. Dan kerana kepercayaan itulah, aku begitu merasakan dia adalah sahabat yang baik.
Kini, kami berdua terpisah lagi di antara dua benua. Seorang di UK, seorang lagi di US. Hakikat meletakkan kami pada suasana kerja yang berbeza dan kehidupan yang tersendiri. Tetapi hakikat bahawa persahabatan itu akan tetap subur adalah sesuatu yang tidak mungkin dinafikan.
Tidak semua orang mampu menjadikan ikatan persahabatan itu berada pada tahap yang maksimum. Setiap orang mempunyai cabaran hidup yang berbeza, lalu menjadikan mereka dalam ruang yang berlainan. Setidak-tidaknya mereka masih lagi sahabat aku. Oleh kerana ruang masa dan jarak yang terhad, maka kegembiraan pada suatu ketika dulu tidak dapat dizahirkan pada masa sekarang. Masakan tidak, ramai sahabat-sahabat aku melalui cabaran hidup yang tersendiri. Salah seorang darinya adalah antara orang yang terpenting kepada pemimpin negara kita. Kadang-kadang terselit juga wajahnya di kaca tv sewaktu PM berucap dan sebagainya. Aku masih lagi bertuah kerana masih mempunyai kalangan sahabat baik yang dipertemukan di alam maya lalu dibawa ke dunia realiti.

Rasanya kata-kata yang pernah aku karangkan suatu ketika dulu mungkin dapat menzahirkan semua ini.
“Keindahan sering berubah mengikut masa dan waktu. Namun keindahan di hati akan indah dan berseri andainya terus dihargai“.
Bukan mudah untuk menghargai apa yang pernah kita lalui dulu bukan?
Terima kasih buat semua sahabat-sahabatku.
Dan kepada ‘dia’ - sahabat yang aku maksudkan, terima kasih atas segalanya. Masihkah kau ingat segala kenangan kita lalui bersama sejak dulu lagi?