Archive for the minat category

23-05-08

Lagu Di Hati Kita

Posted in minat, rasa by fajr'

Akhirnya, setelah sekian lama barulah aku berpeluang menghabiskan menonton filem ini, Music of The Heart, lakonan mantap dari Meryl Streep. Itu pun sebaik sahaja aku menerima dvd yang dipesan secara online. Apapun, harus aku berterima kasih dari seorang rakan yang begitu bersusah payah melaksanakan projeknya lalu menghantarkan kiriman filem-filem yang berkualiti kepada aku. Terima kasih Jimi! Jika bukan kerana dorongan dan ulasan darinya, barangkali aku tidak mengetahui langsung tentang filem-filem yang baik. Ada banyak filem yang dikirimkan dan kebanyakannya menjentik sesuatu ke dalam diri aku - semangat!

Pada waktu-waktu begini, aku cuba menghindari filem atau cerita yang depressed kerana aku tidak mahu dibayangi keadaan sebegitu. (Aduh, sensitif sungguh!). Mujur juga hampir semua filem yang dikirimkan mempunyai nada inspirasi di dalamnya. Sebenarnya, filem ini ditonton hanya separuh jalan sahaja pada mulanya memandangkan terdapat sedikit masalah teknikal dengan kiriman cd yang dihantar. Tertekan juga dibuatnya kerana melihat cerita menarik, tetapi tergantung. Demi mahu mendapatkan keseluruhan cerita, maka aku terpaksa mencari dvd ini. Cara paling mudah, membeli secara online. Malang sekali, dvd ini kehabisan stok. Maka, berminggu juga aku harus menanti hinggalah semalam dvd ini sampai ke tangan aku.

Terus terang aku katakan, untuk mengulas filem atau muzik, bukanlah di dalam bidang aku. Memandangkan, mahu mengotakan janji kepada Jimi, maka aku berikan sedikit pandangan berhubung dengan filem ini. Barangkali untuk berkongsi sedikit warna dan rasa yang aku lihat atau dengar kepada orang lain.

Kadangkala, kita merasakan hilang semangat dalam kehidupan. Seolah-olah sesuatu telah dicuri dari hidup kita. Lalu filem berkenaan menzahirkan bagaimana Roberta (lakonan Meryl Streep) yang cuba memulakan hidup selepas kemusnahan rumahtangganya dengan menjadi guru muzik di sebuah sekolah. Murid-murid yang datang dari persekitaran yang sederhana. Lama kelamaan Roberta mampu menjalin emosi melalui muzik yang dialunkan lalu diajar kepada murid-muridnya. Akhirnya, muzik itu berjaya menyatukan hati mereka dengan cara yang tersendiri. Tentu saja tugas sebagai guru itu bukanlah satu perkara yang mudah seperti yang disangka oleh semua orang. Kita mungkin boleh menjadi guru yang mengajar sesuatu, tetapi guru yang terbaik adalah mereka yang mampu memberikan inspirasi. Bukan saja di dalam kelas, bahkan di dalam kehidupan.

Saat menonton filem Music of The Heart ini, tiba-tiba saja aku terkenang tentang dunia muzik aku suatu ketika dulu. Masakan boleh aku lupakan kali pertama bermain alatan muzik di sekolah rendah. Kelas muzik yang aku ikuti dan ingati hanyalah sekadar baris-baris kod, nada dan juga lagu-lagu yang telah dicatatkan di dalam buku teks. Tapi, itu adalah kelas yang cukup melegakan bagi aku. Aku dapat lari seketika dari kelas Matematik yang memeningkan. Atau kelas bahasa Inggeris yang mengelirukan. Tidak dapat aku lupakan betapa seronoknya diberi peluang menyentuh dan bermain dengan alatan muzik mengikut kod dan tempo di dalam buku teks. Sambil diajar oleh cikgu kelas Muzik.

Hati jadi terhibur buat seketika. Tambahan pula, kelas ini tidak ada peperiksaan. Meskipun hanya sekali saja dalam seminggu, ianya agak menarik. Barangkali, ia akan bertambah menarik jika diterajui oleh mereka yang betul-betul tahu dan mampu membawa pelajarnya menyelami dunia muzik. Dan yang menyedihkan, peralatan muzik pada ketika itu tidak mencukupi.

Tidak dinafikan, tidak semua orang meminati muzik. Namun begitu, setiap bunyi yang melatari kehidupan kita bagaikan lagu yang tidak terhenti. Barangkali, minat dan kecenderungan aku menyebabkan muzik agak melekat di dalam jiwa aku. Lantaran itu, menonton filem berkenaan seakan mengimbau kenangan kali pertama merasai dunia muzik sewaktu di bangku sekolah. Bezanya, pada waktu itu biola pun tidak aku kenal. Yang paling diingati adalah rekorder.

Melihatkan murid-murid yang begitu muda usianya bermain alat muzik biola, membuatkan aku begitu sekali mempelajari dan bermain dengannya. Sebenarnya, kalau diberi kesempatan, aku mahu mempelajari dua alat muzik yang agak menarik, iaitu biola dan piano. Aku sukakan alunan biola yang menyentuh jiwa seperti muzik dari Secret Garden. Minat terhadap piano pula bermula ketika aku masuk ke MRSM. Rasa kagum terhadap rakan-rakan yang mempunyai bakat bermain piano di dewan besar hinggakan aku dan kawan aku sanggup menghabiskan masa di situ mendengar mereka bermain. Ataupun, jika berpeluang kami sendiri memetik piano tanpa sebarang buku muzik. Sekadar hafalan baris mana yang harus ditekan! Antara lagu yang selalu dimainkan adalah Nostalgy (Richard Clyderman) dan juga Where Do I Begin. Sekarang? Aku lupa semuanya. Hanya nada-nadanya saja bermain di benak kepala.

Dunia muzik telah lama aku tinggalkan. Jauh bersama kenangan di zaman persekolahan. Minat untuk mempelajari muzik secara khusus tinggal angan-angan. Apa yang ada, hanyalah sekadar untuk hiburan atau tempelan mengisi ruang kesunyian. Itupun hanya pada pilihan muzik yang tertentu sahaja.

Namun, tidak dapat aku nafikan, kadang-kadang ada lagu yang membuai perasaan di jiwa. Saat gembira. Saat duka. Saat jatuh. Saat bangun. Saat sepi. Saat sendiri. Saat bersama. Saat rajuk. Saat pedih. Saat sakit. Saat cinta. Saat rindu.

Kini, lagu rindu selalu saja berkumandang. Rindu yang dekat. Rindu yang jauh.

* Photo credits:
Violin, © William Whitehurst/Corbis
Piano, © Brooke Fasani/Corbis

06-02-08

Laksa Buat Kekanda

Posted in minat by fajr'

laksa1.jpg

Masih aku ingat, kali pertama lidah ini merasa kuah laksa sewaktu ada tetamu berkunjung ke rumah dan memberikan kami sekeluarga satu bungkus plastik laksa Penang. Mak memang tidak pernah memasak laksa buat kami. Dan itulah kali pertama dia mengenali apakah yang dinamakan laksa. Memang agak aneh melihatkan mi laksa berwarna putih harus dicampur dengan daun-daun dan kuah ikan. Namun, sebaik saja menikmatinya, ia terus menjadi salah satu makanan kegemaran buat aku. Sejak itu, minat terhadap laksa terus menjadi-jadi.

Setiap kali berkunjung ke pasar malam atau ke mana saja, laksa menjadi menu utama. Pernah sekali, bapak pulang dari sebuah tempat dengan membelikan beberapa bungkus laksa kerana tahu aku begitu suka dengannya. Dan selalunya, semua laksa itu dihabiskan oleh aku seorang kerana tidak ramai yang begitu meminatinya seperti aku. Kuah laksa itu akan selalu dipanaskan sehingga mi laksa itu habis.

Oleh kerana itu, setiap kali mahu memujuk atau mengambil hati aku, mereka belikan laksa untuk aku. Melihatkan saja laksa membuatkan mereka terus ingat kepada aku.

Memandangkan minat terhadap laksa itu jugalah, maka kakak ipar aku sanggup mencuba dan membuat laksa sendiri. Setidak-tidaknya, tidak perlu lagi selalu membeli laksa di pasar malam atau di gerai. Lagipun, bukan semua gerai dapat membuat laksa yang sedap. Ternyata percubaan yang pertama sudah berjaya menambat hati aku. Lalu, setiap kali hati ini begitu teringin menikmati laksa, maka aku hanya perlu berpesan kepada kakak aku agar dapat memasaknya. Paling penting, aku dapat menikmati laksa itu sepuas-puasnya.

Oleh itu, setiap kali pergi ke mana-mana aku pasti akan mencuba laksa yang dijual di gerai dan di mana-mana saja. Laksa yang sedap tidak semestinya ada di tempat yang elit atau mahal. Kadang-kadang hanya dijual di tepi jalan oleh orang-orang yang begitu biasa di pandangan mata. Masih aku ingat, ada laksa yang sedap di sebuah gerai yang dijual di tepi Taman Tasik Taiping. Setiap kali berkunjung mengimbau nostalgia di Taiping, aku akan selalu singgah ke situ. Dan aku tidak lupa laksa yang dijual oleh seorang kakak bertudung labuh di pasar Ramadan Duyong. Dekat-dekat dengan kedai runcit Ranjini. Setiap kali singgah ke pasar itu di bulan puasa, maka laksa itu pasti dibeli dalam sebungkus dua untuk dinikmati selepas solat Terawikh.

Aku pernah menikmati laksa yang sungguh menepati citarasa aku semasa berkunjung ke Ipoh berdekatan dengan stesen bas. Gerainya terletak di tepi dan aku tidak begitu pasti kedudukannya dengan tepat. Itulah kali pertama dan terakhir. Lama sudah, sewaktu aku berumur belasan tahun. Laksa yang pernah aku nikmati di Bukit Bendera tidak kurang hebatnya. Dikelilingi dengan persekitaran yang sejuk menambah lagi citarasa terhadap laksa berkenaan. Hinggakan aku terlupa bahawa aku menikmati laksa yang sememangnya terkenal di tempatnya sendiri, Pulau Pinang.

Masakan boleh aku melupakan rasa laksa Teluk Kechai di Kedah. Dikatakan bahawa kuahnya mempunyai daging belut. Tetapi rasanya begitu istimewa sehingga aku sanggup menikmati dua pinggan laksa di gerai berkenaan. Tidak cukup dengan itu, aku beli beberapa kilo untuk dibawa balik ke rumah abang ipar aku. Dan malam itu, aku makan sehingga seluruh ruang perut aku terasa penuh dengan laksa. Cukup istimewa. Dan laksa ini memang aku rindukan hingga ke sini!

Apabila menikmati laksa di gerai atau di mana, satu isyarat menandakan bahawa laksa itu sedap dan memenuhi citarasa aku adalah aku akan menambahnya. Mungkin dua pinggan. Atau barangkali tiga pinggan!

Lantaran kerana minat terhadap laksa ini, maka dulu aku pernah berharap agar nanti isteri aku juga harus pandai memasak laksa. Banyak sudah laksa yang telah aku nikmati, maka sudah dapat aku bezakan mana yang sedap dan mana yang kurang memuaskan. Ada yang kurang ikan, ada yang kurang masam, ada yang terlebih masin dan ada juga yang tidak boleh dikategorikan sebagai kuah laksa pun!

Masih aku ingat, ‘hantaran’ pertama yang diberikan kepada aku oleh si dia di awal perkenalan kami adalah sebekas laksa penang. Rasa laksa itu cukup melekat ke hari ini kerana itulah satu-satunya laksa yang mempunyai rasa yang begitu berbeza pada deria rasa ini. Terlintas di benak ini, barangkali ini adalah laksa versi orang Kelantan. Ada rasa manis-manis.

Aku bagaikan mahu ketawa apabila mengenangkan peristiwa itu semula. Namun, satu perkara yang pasti, si dia memang cuba menambat hati ini dengan memberikan laksa hasil dari buatan air tangannya. Cuma, apabila kami ceritakan semula kisah ini, aku selalu mengusiknya. Masakan tidak, itulah kali pertama dia membuat laksa. Dan kuah laksa itu pula telah diubahsuai mengikut rasa hatinya. Sudah tentu lain daripada yang lain.

Sejak kami berkahwin, memang sudah tidak terkira entah berapa kali laksa yang telah dia masak untuk aku. Cubaan demi cubaan. Bukan mudah untuk memenuhi tahap kesedapan laksa aku. Barangkali aku begitu cerewet apabila ditemukan dengan laksa ini. Namun, aku begitu tetap menghargai kesungguhan dan keazaman dia agar dapat membuat laksa yang paling sedap pernah aku rasakan. Rasa laksa yang membuatkan aku ingat selalu. Dan terliur apabila mengenangkannya semula.

Lama kelamaan, usahanya berjaya. Seperti selalu, resepinya itu sentiasa menjadi rahsia buatnya. Secret recipe!

Bukan saja laksa Penang yang telah dibuat, bahkan segala jenis laksa telah dicuba. Laksa Johor, laksam Kelantan dan terkini laksa Sarawak. Sesekali memang gembira dan seronok dapat mencuba rasa laksa yang berbeza dan tersendiri.

Sebelum datang ke sini, hati aku sedikit gusar. Takut tidak dapat merasa laksa dalam jangkamasa yang panjang. Oleh itu, sewaktu datang ke sini, kami sempat membawa secekak daun kesum untuk ditanam. Kalau boleh, mahu saja aku bawa pokok bunga kantan. Tetapi memandangkan ianya begitu sukar, maka memadailah dengan daun kesum sahaja. Sayang sekali, daun kesum yang kami tanam sudah mati. Barangkali kerana selalu saja dipetik. Mencari mi laksa juga tidak menjadi masalah kerana kami bisa mendapatkannya di kedai runcit yang dimiliki oleh orang Cina. Sekali ke sana, pasti kami beli berbungkus-bungkus sebagai stok simpanan di rumah.

Biarpun jauh dari tanahair, citarasa aku tetap tidak berubah. Setidak-tidaknya, merasakan semula laksa ini dapat membawa aku kembali ke daerah dan suasana yang tidak asing di dalam hidup aku. Membawa cebis-cebis kerinduan pada ruangan yang penuh dengan kenangan dan kasih sayang.

*foto dari arkib lama: Laksa Teluk Kechai.

04-01-08

Lagu ini

Posted in minat by fajr'

arch.jpg

“We don’t even talk anymore
And we don’t even know what we argue about
Don’t even say I love you no more
’cause saying how we feel is no longer allowed
Some people will work things out
And some just don’t know how to change

Let’s don’t wait till the water runs dry
We might watch our whole lives pass us by
Let’s don’t wait till the water runs dry
We’ll make the biggest mistake of our lives
Don’t do it baby…”

Water Runs Dry, Boyz II Men.

Lagu ini bermain di pc aku. Muzik dan lirik yang agak membuai perasaan. Seketika, bagai terawang-awang ke dalam cebisan-cebisan peristiwa. Bagi sesetengah orang, lagu ini pasti memberi maksud yang tersendiri.

Dan tiba-tiba saja aku teringat pada seorang teman yang memperkenalkan aku kepada muzik mereka ini. Masih aku ingat lagi di maktab dulu, dialah yang memperjelaskan metafora ‘water runs dry’ ini. Maka, setiap kali lagu-lagu dari Boyz II Men berkumandang, pasti aku akan teringat kepada sahabat aku yang seorang ini. Thanks DJ! (Dr. DJ).

17-12-07

For You, A Thousand Times Over!

Posted in minat by fajr'

kiterunner.JPG

Kisah ini tentang persahabatan, ikatan kekeluargaan, kesetiaan, pengkhianatan, kekesalan dan kemaafan yang berlatarbelakangkan Kabul, Afghanistan. Sebelum ini, aku hanya mendengar betapa ramainya orang yang telah membaca buku ini memuji kisahnya hinggakan diadaptasikan ke filem. Lalu, suatu hari aku ke kedai buku Waterstones untuk memiliki buku ini, yang sememangnya sudah sekian lama diidamkan, iaitu The Kite Runner.

Ternyata, apa yang diceritakan benar. Aku terus khusyuk ke dunia mereka. Dunia persahabatan yang sungguh menggamit rasa, di antara Amir dan Hassan. Betapa bertuahnya Amir mempunyai sahabat yang begitu setia terhadap dirinya hingga sanggup berbuat apa saja untuk sahabat yang dianggap saudara sendiri. Meskipun Hassan hanyalah sekadar anak kepada pembantu rumah, kehadirannya tetap menyempurnakan diri Amir. Walau bagaimanapun, satu perkara menjadikan mereka tidak disenangi oleh sebahagian masyarakat di situ. Amir adalah anak keluarga ternama dari kalangan Pashtun, puak yang amat disegani. Manakala, Hassan adalah dari kalangan Hazara, puak yang terbuang dan dianggap hina. Namun, Hassan tetap disayangi seperti keluarga sendiri oleh ayah Amir sendiri.

Ikatan erat persahabatan itu terjejas kerana satu peristiwa yang begitu memilukan ketika pertandingan layang-layang di daerah itu. Amir dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan kasih sayang dan perhatian ayahnya sendiri hingga tidak sanggup mempertahankan Hassan yang berkorban untuk dirinya. Biarpun begitu, kesetiaan Hassan terhadap Amir tidak pernah berubah. Amir cuba menjauhkan diri hingga sanggup membuat perkara yang tidak sepatutnya. Hinggalah perang memisahkan mereka.

Berpuluh tahun Amir berpindah ke Amerika bersama ayahnya untuk menempuh hidup baru. Biarpun menikmati kejayaan, Amir tetap merasa kekosongan. Kisah lama membuatkan dia rasa begitu bersalah dan menghantui hidupnya. Hinggalah pada suatu hari apabila dia menerima panggilan daripada pakciknya. Saat itu, bermulalah satu harapan dan tindakan agar tertebus segala kesilapan yang pernah dilakukan suatu ketika dulu.

Sebelum ini, aku selalu membaca kisah yang agak menyentuh jiwa dan juga menusuk sanubari. Tetapi, harus aku akui, novel yang ditulis oleh Khaled Hosseini ini agak begitu tulus. Beberapa plot membuatkan hati aku merusuh, sedih dan terharu. Namun, masih dapat aku tahankan perasaan itu. Khaled begitu bijak bermain kata. Tetapi, satu bahagian membuatkan hati aku seakan dihiris hinggakan tanpa aku sedari air mata aku mengalir membasahi muka surat novel ini. Sepanjang ingatan aku, ini adalah salah satu novel yang bisa membuatkan aku menangis. Memang wajar juga kalau novel ini mendapat pujian daripada pembacanya.

Novel ini membongkarkan sifar sebenar manusia yang mempunyai kelemahan dan keegoan. Kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan tidak mungkin dapat dilupakan sebegitu mudah. Berapa ramai daripada kita yang begitu menyesal akan kesalahan yang pernah kita lakukan pada suatu masa dulu, hinggakan terlintas di benak fikiran kita agar dikembalikan pada masa lalu untuk memperbaikinya?

Jika anda mahukan satu naskah yang begitu indah, maka ini adalah salah satu daripadanya. Hayatilah, nescaya kalian akan mengerti mengapa naskah ini begitu istimewa.

Hingga kini, seolah-olah bagaikan terngiang-ngiang jeritan Hassan kepada Amir, ‘for you, a thousand times over‘.

30-10-07

Manikam Kalbu

Posted in minat by fajr'

manikamkalbu.gif

Kata Ziryab di dalam Manikam Kalbu, ’sains itu hanyalah proses sedang seni itu hasilnya’. Mendalam sungguh maksudnya.

Begitulah juga pada setiap hasil seni karya Faisal Tehrani yang boleh dikatakan cukup luar biasa dan juga kadangkala menjentik emosi. Nama Faisal Tehrani sudah tidak perlu lagi diperkenalkan. Terutamanya kepada peminat seni penulisan kreatif di Malaysia. Kesungguhan dan cintanya terhadap dunia penulisan begitu menambat hati. Maka, tidak hairan sekali apabila dia diibaratkan seperti Siti Nurhaliza di dalam bidang penulisan kerana selalu saja memenangi anugerah. Karyanya menambat dan begitu mencuit hati, juga sarat dengan mesej.

Kali pertama mula membaca tulisan darinya adalah melalui ruangan kisah bersiri Dongeng Kingdom of Flowers yang diterbitkan di dalam majalah Al-Wasilah. Itulah tulisan yang menjadi ‘cinta pertama’ lalu membuatkan diri ini terus setia dan melekat kepada setiap penulisan dari saudara Faisal Tehrani. Kisah dongeng yang dituliskan benar-benar membuatkan diri ini tersenyum dan ketawa dengan coretannya. Selepas itu, gandingannya bersama Saharil melalui Lagi Cerpen Cerpen Underground menjadikan kedua-dua mereka antara penulis Melayu yang diminati secara peribadi.

Rasanya ramai yang telah membaca karya beliau seperti 1515, 1511H, Advencer Peniup Ney, Tunggu Teduh Dulu dan sebagainya. Beliau sudah pun meletakkan dirinya sebagai penulis yang agak menonjol serta memiliki peminat yang tersendiri. Terbaru, buku Manikam Kalbu dan Bedar Sukma Bisu yang boleh dibeli secara online di Ujanailmu. (Usah ragu-ragu membuat pembelian melalui Ujanailmu kerana buku yang dipesan akan dihantar dengan sebaiknya. Apatah lagi, setiap buku akan dibungkus dengan plastik).

Sebaik sahaja pesanan buku dari Ujanailmu tiba ke rumah pada minggu lepas, diri ini jadi keliru untuk memilih. Mana satu yang harus dibaca? Dalam banyak-banyak buku yang ada, nampaknya buku Manikam Kalbu menjadi pilihan pertama kerana ternyata ilustrasi seekor kucing yang gemuk sedang menjahit oleh Sinaganaga begitu menarik perhatian. Rasanya, sejak mula-mula diperlihatkan muka depan buku ini di laman web Faisal Tehrani, Manikam Kalbu sudah pun memikat. Ingat penerbit, muka depan buku adalah antara faktor yang penting untuk menarik pembaca selain dari isinya. Rata-rata buku yang dijual di UK mempunyai muka depan yang sangat menarik.

Berbalik kepada karya Manikam Kalbu. Bab 1 saja sudah menambat hati pembaca. Lalu, menjadi kita terus-terusan untuk menamatkan cerita. Ternyata, sejak beberapa lama mengikut penulisan Faisal, kita akan dapati bahawa dia seorang penulis yang rajin membuat kajian terhadap apa yang ditulisnya. Dalam masa kita membaca dan cuba menerima mesej yang disampaikan, pelbagai ilmu dapat diserap bersama. Sebagai contoh, dalam Manikam Kalbu ini saja, ada ilmu tentang kain, fesyen, seni jahitan, aurat dan adat yang disampaikan. Hinggakan dahi ini jadi berkerut apabila mengetahui nama kain-kain yang tidak pernah didengar langsung. Bukan itu saja, cara untuk menjaga kucing juga turut diselitkan. Rasanya, banyak benda yang boleh dipelajari melalui buku ini.

Sebelum ini, Faisal telah membawa pembaca tentang dunia tanaman melalui karyanya Kerana Manisnya Epal dan Tunggu Teduh Dulu. Bahkan, setiap karya yang dihasilkan mempunyai mesej dan ilmu untuk dikongsikan. Yang peliknya, diri ini jadi teringin mahukan epal selepas membaca cerpen Kerana Manisnya Epal. Juga mahukan buah betik yang sedap ketika membaca Tunggu Teduh Dulu. Begitu sekali penangan karya darinya. Membaca Manikam Kalbu, seakan mendorong untuk memiliki kucing di dalam rumah pula rasanya.

Nampaknya Manikam Kalbu turut sama membuat diri ini tersenyum dan ketawa seorang diri. Banyak betul kisah yang cukup mencuit hati. Sewaktu membaca kisah Tun Matin dikejar pengawal istana, diri ini menahan dari tergelak besar. Maklum sajalah, membaca bacaan selain dari buku akademik di dalam makmal. Itu pun untuk menghilangkan rasa kantuk yang begitu memuncak. Begitu juga gaya manja kucing sakti yang bijak bercerita. Namun begitu, mesej yang turut diketengahkan adalah amat besar. Wajar sekali buku ini dimiliki oleh pereka dan peminat dunia fesyen. Tidak lupa juga kepada yang meminati kucing.

Apabila membaca Manikam Kalbu, gambaran tentang dunia yang diceritakan begitu jelas. Suasana dua dunia yang dibentangkan seakan terpapar di seluruh benak kepala lalu menjadikan kisah ini seakan-akan benar. Tambahan pula, plot cerita yang tidak membosankan dan agak unik. Berselang seli antara dunia moden dan tradisional, disinambungkan oleh si kucing Madura. Meskipun berada di dalam keadaan sibuk dan tertekan dengan dunia akademik di sini, ternyata Manikam Kalbu dapat mengendurkan ketegangan dan kesakitan di dalam kepala. Bahkan diri jadi terhibur.

Terngiang-ngiang pula suara si kucing Madura di dalam Manikam Kalbu. Miau miau. Manja sekali.

Nampaknya Manikam Kalbu begitu menikam kalbu ini!

[+]

Imej muka depan Manikam Kalbu merupakan hasil seni oleh Sinaganaga. Oh ya, melihatkan koleksi kreatif Sinaganaga begitu mengujakan. Rasanya seperti mahu menulis buku sendiri dan meminta dia menghasilkan kulit bukunya.

[-]

Tiba-tiba Kak Elaira mengingatkan pula tentang cerpen Faisal di dalam Kekasih Sam Bo Po, iaitu Kucing Gemuk Di Masjid Biru. Adakah kucing ini kucing yang sama?