Lelaki Itu
Minggu lepas, aku menerima beberapa bungkusan yang cukup dinanti-nantikan. Salah satu daripadanya adalah album Anuar Zain yang aku pesan dari seseorang di Malaysia. Begitu lama aku menantikan album terbaru dari Anuar Zain, akhirnya sampai juga album itu ke tangan aku sendiri. Masih aku ingat lagi, ketika terserempak dengan Anuar Zain di KLCC beberapa tahun yang lalu, soalan yang terdetik di kepala dan aku tanyakan kepadanya adalah, bila album baru mahu keluar?
Aku kira, itu adalah soalan yang cukup ‘cliche’ untuk dijawab olehnya. Barangkali, penat untuk dijawab. Aku sebenarnya bukanlah begitu teruja kalau jumpa artis, melainkan sesetengah artis. Kadangkala, kalau jumpa artis, aku buat tidak kenal. Pernah sekali, aku sekeluarga makan-makan di Pantai Cahaya Bulan dan terserempak dengan Harun Salim Bachik yang duduk di sebelah meja. Tapi, kami hanya buat-buat tidak kenal langsung. Sedangkan pada waktu itu, aku mengusik isteri aku untuk meminta autograf dari lelaki itu. Haha. Tapi, bertemu dengan orang yang memang kita suka, membuatkan kita tidak keruan. Dan waktu itu, aku seperti budak-budak dan tidak tahu apa yang ingin diperkatakan. Pastinya, seseorang yang sangat mudah untuk dilupa olehnya.
Satu sifat yang sukar benar dikikis dari diri aku, adalah keinginan untuk memiliki sesebuah album yang aku kira baik dan bagus. Sudah tentu yang original. Meskipun, kita boleh mendapat kebanyakan album melalui internet, tapi ‘feel’ berkenaan tidak sama seperti kali pertama mendapat album itu dan membuka kandungan dalamnya. Namun, mendengarkan review yang cukup bagus mengenai album Anuar Zain kali ini, hati aku semakin meronta-ronta. Begitu teruja sekali untuk menikmatinya. Namun, tidak sesekali untuk aku download kerana aku pasti album ini sangat bagus dan istimewa untuk dimiliki. Cuma, aku dapat mendengar sedikit petikan lagu dari album berkenaan melalui laman web rasminya.
Akhirnya, album berkenaan sampai ke tangan aku. Dari Malaysia, ianya dibawa ke London. Dari situ dikirimkan melalui Royal Mail dan tiba di pintu rumah aku.
Mendengarkan album tersebut, di keheningan malam yang dingin, begitu mengasyikkan. Pertama kali diputarkan, dapat disimpulkan bahawa ini adalah hasil yang cukup istimewa dan bermakna dari Anuar Zain untuk peminatnya. Aku bukanlah seseorang yang arif tentang muzik. Maka, untuk mengkritik dan membuat review albumnya, bukanlah bidang aku. Cuma, cukup aku katakan, album ini menjadi sebahagian album kegemaran aku. Terletak pada tempat yang istimewa dengan album koleksi pilihan aku.
Buat Xis aka Arman/Gunawan, terima kasih atas kiriman album tersebut. Lebih mengharukan adalah album yang dikirimkan adalah miliknya sendiri kerana kehabisan stok album berkenaan.