Genap sudah setahun Amir Yusuf pergi meninggalkan kami. Begitu pantas sekali masa berlalu. Namun, segala peristiwa bersama dirinya masih begitu segar di dalam ingatan. Bagai baru saja semalam. Pada setiap kesukaran, kepedihan, kesabaran dan ketabahan yang begitu sukar untuk dizahirkan dengan kata-kata.
Ada orang pernah berkata, pada yang telah pergi biarkanlah saja dia pergi. Usah dikenang-kenang kerana dirinya sudah dijanjikan dengan tempat yang baik. Tempat yang menjadi idaman semua. Iaitu syurga milik-Nya.
Satu perkara yang pasti, tidak mungkin akan dapat dilupakan tentang dirinya. Dia datang dari tanda kasih kami. Satu anugerah yang cukup bermakna. Meskipun keadaannya tidak begitu sempurna kerana pelbagai komplikasi yang ditanggung oleh tubuh kecilnya, namun di sisi Tuhan dia begitu sempurna. Ternyata, dia terlalu istimewa.
Setiap kali berkongsi cerita tentang dirinya, ada yang mungkin beranggapan bahawa kami sebagai ibu dan ayahnya akan bersedih dan meratapi akan sebuah kehilangan. Tidak. Air mata bukan tumpah kerana duka. Kadangkala, ia mengalir kerana kerinduan. Juga kerana kesyukuran. Alangkah terharunya di hati kami, apabila mendengar dan membaca hadis yang menerangkan bagaimana anak kecil yang telah pergi akan memberi syafaat kepada ibu bapanya. Bergenang juga air mata ini, apabila diberitahu sewaktu manusia dihisab di akhirat, syafaat yang datang dari anak kecil ini datang membantu ibu dan ayahnya. Moga di sana nanti, tangannya bisa memimpin kami bersama-sama ke syurga!
Alangkah indah dan nikmatnya impian itu.
Sesungguhnya segala apa yang telah ditentukan oleh Tuhan adalah suatu perkara yang sukar dijangkau oleh pemikiran kita sebagai manusia yang kerdil. Manusia hanyalah merancang, namun hanya Dia yang menentukan segalanya. Kata-kata ini seringkali terungkap. Apabila kita membuka hati dan jiwa serta melihat segala apa yang kita lalui selama kehidupan ini, maka sudah pasti akan tersingkap kebesaran-Nya.
Mengenangkan dirinya adalah satu perkara yang bukan luar biasa buat kami. Tidak pernah namanya lekang dari terungkap dari mulut kami sekeluarga. Bagaikan dia ada selalu bersama kami. Cuma berada pada alam yang berbeza. Antara hidup dan mati. Namun kasih sayang itu telah mengikat kami dengan begitu erat. Mengenangkan dirinya turut mengingatkan diri ini akan kuasa Sang Pencipta. Bahawa manusia itu adalah kerdil dan tiada upaya.
Cukup dengan Amir Yusuf, kami diajar untuk memahami dan mengenali siapa diri kami ini. Sehebat mana pun manusia, kita ini bukan siapa-siapa. Tetapi hanyalah sekadar manusia biasa yang seharusnya mensyukuri akan kebesaran Ilahi. Hanya kepada Dia tempat untuk bermohon. Dan setiap kali kami meminta bantuan dan harapan, maka kami diberikan jawapan pada setiap persoalan dan permintaan. Ianya datang dengan perlahan-lahan, namun cukup sempurna. Setiap peristiwa bersama Amir Yusuf bersilih ganti bagai memberi jawapan buat kami insan yang mengharap keredhaan dari-Nya. Membuka mata hati dan jiwa. Betapa agungnya Dia.
Mengimbau kembali kenangan bersama Amir Yusuf, mengingatkan kami pada satu ruang di mana kekuatan, kesabaran dan ketabahan itu teruji. Hati dilentur-lentur. Perlahan-lahan ia dipeluk dalam selimut takdir. Redha untuk menerima pada setiap pemberian dari Tuhan. Pernah juga sesekali terlintas, adakah itu diri kami? Tiada siapa pun mahu membayangkan berada di dalam keadaan yang sedemikian. Tetapi, jika itu kehendak-Nya, maka siapalah kita untuk menolaknya? Kerana, di dalam dugaan sebegitu kita akan terasa begitu dekat dengan-Nya. Dan sentiasa berharap agar rahmat dan kasih-Nya akan terus berpanjangan hingga ke akhir waktu.
Sehampar rasa terima kasih buat semua teman dan kenalan yang begitu setia membaca ruangan ini khususnya. Baik yang mengenali secara peribadi mahupun hanya di ruang maya ini. Tidak dapat dilupakan, bagaimana pada tahun yang lalu, tiba-tiba saja hits pada blog ini mencecah angka yang amat tinggi iaitu melebihi angka 6000 dalam sehari. Lebih-lebih lagi melalui entri kami yang sungguh peribadi, Untuk Terakhir Kali. Sungguh dapat kami rasakan betapa indahnya ikatan yang pernah terjalin melalui anakanda kami, Amir Yusuf. Tidak akan kami lupakan pada semua yang pernah memberikan kata-kata semangat dan kekuatan. Serta doa yang tulus ikhlas. Tangan ini tidak mampu untuk menzahirkan rasa syukur dan terima kasih itu. Hanya doa dipohonkan agar setiap kebaikan yang dihulurkan akan diberikan ganjaran yang besar di akhirat kelak. Insya Allah, moga satu hari nanti kita akan dipertemukan.
“Amir Yusuf, seakan baru saja semalam kami bersamamu. Mengenangkan dirimu, mengingatkan diriku akan kebesaran, keagungan dan kekuasaan Tuhan. Moga dirimu berbahagia dan bergembira dikelilingi bidadari syurga, sayangku. Dan moga nanti kita disatukan di syurga milik-Nya. Ya Allah, sampaikanlah salam kerinduan kami buat Amir Yusuf.”
Amir Yusuf. 27/06/08-06/03/09. Al-Fatihah.
Terima kasih buat sahabat kami, saudara Izani Zainal kerana ‘menghadiahkan’ kami klip video ini. Ianya terlalu bermakna buat kami. Menusuk jiwa dan sanubari. Sebagaimana indahnya melodi dan lirik lagu Terlalu Istimewa dari Adibah Noor, demikianlah indahnya kenangan kami bersama Amir Yusuf. Moga terus subur dan mengharum ke dalam jiwa ini.
Seawal pagi semalam, salji sudah mula berguguran. Mungkin ianya sudah lama turun memandangkan tanah yang sudah kelihatan basah. Rintik-rintik salji turun dengan perlahan. Adakalanya berapung-apungan dan menari sebelum jatuh dan cair di dada bumi. Namun, setiap kali angin datang bersama, ianya jatuh bagaikan peluru putih.
Dari awal pagi, salji masih terus lebat hingga ke malam. Berterusan. Barangkali suhu yang masih tidak di paras beku menjadikan salji ini terus cair. Tidak berkumpul di bumi menjadi hamparan putih. Ais dan air berkumpul bersama di atas jalan. Basah dan becak.
Ketika teman-teman di Malaysia mengadu kepanasan, kami di sini berperang dengan kedinginan. Musim sejuk masih belum reda. Perbezaan lebih kurang 30 darjah celsius adalah begitu besar. Memang akan menjadi lumrah jika kita saling mahu berganti tempat untuk seketika!
Antara ayat lazim yang selalu diucapkan dari teman-teman adalah alangkah seronoknya menikmati salji yang gugur. Jatuh ke kepala, muka, tangan dan tubuh badan. Lalu dibayangkan pula dengan pelbagai keindahan seperti yang selalu dipaparkan di dalam filem romantik.
Adakalanya, ianya begitu indah. Satu anugerah dan tanda kekuasaan Sang Pencipta untuk manusia mengingatkan diri betapa kerdilnya kita. Namun begitu, usah dilupa yang ia datang bersama dingin yang mengigit. Seperti semalam, ais dan angin bersatu tanpa henti dari pagi hingga ke malam. Dan datang bersama kedinginan yang mencengkam.
Tubuh dilapisi dengan beberapa helai baju dan tangan yang sudah berbalut dengan sarung tangan masih belum mampu menangkis rasa dingin. Apatah lagi muka yang terdedah diterpa dengan titis-titis ais. Telinga menjadi sakit kerana sejuk dan kebas. Bagai hilang deria rasa. Mungkin juga kerana tubuh badan yang sudah biasa dengan cuaca panas, maka keadaan sejuk sebegini adalah terlalu asing untuk disesuaikan. Mengambil sedikit masa untuk menjadi biasa.
Kedinginan semalam masih berterusan ke hari ini. Titis-titis ais berganti dengan rintik-rintik hujan pula. Mungkin semua ini bagai satu utusan dari langit. Mengingatkan manusia akhir zaman agar mendekatkan diri kepada-Nya.
Suhu pada ketika ini mencatatkan negatif 10 darjah celcius. Minggu ini, ianya masih di bawah paras sifar. Salji yang berguguran dari minggu lepas masih lagi tersisa dan kekal di lantai bumi. Kedinginan yang melanda pada tahun ini adalah cukup luar biasa. Bisa menggigit pada setiap inci kulit yang terdedah. Hidung merah berair. Bibir kering merekah dan pecah.
Musim dingin kali ini memang agak mencabar. Bukan saja di Scotland, bahkan di seluruh UK. Menurut berita, keadaan sejuk begini pernah dilalui 20 tahun yang lalu. Setelah sekian lama, barulah mereka melalui krismas dalam keputihan salji. Namun begitu, dalam nikmat keindahan salji, ianya datang bersama salutan ais di permukaan. Jalan akan menjadi licin. Pihak perbandaran akan sibuk menabur garam di atas laluan jalan dan kaki lima untuk mengelakkan jalan licin. Pernah juga sekali tergelincir kerana permukaan jalan yang terlalu licin. Kereta juga agak sukar dikawal dalam keadaan begini.
Siang menjadi begitu pendek. Jam 4 petang sudah menjadi gelap. Waktu Maghrib sudah pun berlalu hampir setengah jam yang sudah. Pada keadaan ini, hati bagai mahu meronta pulang segera ke rumah sambil menikmati air koko panas. Atau apa-apa saja jenis sup panas yang bisa menghilangkan rasa sejuk. Barangkali sup cendawan agak menarik pada ketika ini.
Dingin. Beku. Bagai bersatu mencuri segala haba yang ada. Entah mengapa ia bagai sama sekali mahu mencari semangat yang tersisa kepada jiwa. Bukan mudah untuk melalui musim dingin begini. Saat kedinginan itu begitu terasa, rindu sekali akan kehangatan mentari.
Dan sememangnya musim dingin begini membawa begitu banyak nostalgia. Apatah lagi ketika salji mula berguguran. Setiap butir seakan berbicara tentang kehidupan.
Masih jelas kelihatan peristiwa yang lalu. Bagaikan berlaku semalam. Musim yang sudah, gugusan salji yang terakhir membawa bersama pergi sebahagian jiwa kami. Mengiringi sebuah pemergian yang abadi. Hingga kini, ianya masih lagi dirasa. Dan perlahan-lahan, kami dibawa ke satu daerah. Daerah yang bernama ‘rindu’.
Hari ini merupakan hari yang cukup istimewa buat Che Su kami. Kalau boleh, mahu saja kami bertiga terbang pulang ke Kota Bharu untuk sama-sama meraikan detik yang bersejarah ini. Selepas ini, jika kami pulang ke kampung, Che Su kami bukan lagi seperti yang dulu. Che Su sudah bertukar status.
Terbayang-bayang di mata kami akan kemeriahan suasana perkahwinan yang berlangsung di rumah Abah dan Mami. Kehadiran adik beradik dan sanak saudara serta jiran tetangga pasti menambah rasa gembira. Tentu cantik pelamin yang dihias khas oleh Abang Edi, khusus untuk Che Su kami.
Andainya kami di sana, sudah tentu kami turut sama sibuk. Najla pasti teruja dan tertawan jika melihat Che Su berubah bagaikan puteri raja. Jika tidak, Najla pasti akan mengiringi Che Su sebagai salah seorang dayang kecil. Dan ayah sibuk merakamkan setiap peristiwa.
Namun apakan daya, tanggungjawab kami di sini begitu besar. Jika tidak kerana kejauhan, kami pasti turut bersama meraikan.
Dari bumi Glasgow, kami mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan diredhai Allah. Doa kami juga, semoga cinta Che Su dan ‘Papa’ akan dirahmati Allah sentiasa. Moga kebahagiaan yang dikecapi berkekalan hingga ke syurga. Ya Allah, berkatilah mereka. Amin.
Pesawat yang membawa kami dari Kota Bharu akhirnya selamat tiba di KLIA. Dari sana, kami menuju ke KL Sentral menggunakan perkhidmatan keretapi laju ERL. Pertemuan dengan sahabat lama yang sudah lama berutusan sejak di Glasgow adalah sesuatu yang amat bermakna. Bahkan, jika tidak kerana bantuan darinya maka kejutan di Melaka sudah tentu kurang menjadi. Kesudian untuk meminjamkan keretanya kepada kami amatlah dihargai. Terima kasih DJ.
Malam sudah pun berlabuh sewaktu kereta menyusur lebuhraya menuju ke selatan. Kali ini, bahang dari kepanasan di luar agak berkurangan. Tambahan pula dengan deru pendingin udara kereta. Memandu pada waktu begini bagaikan satu perkara yang amat nostalgik. Inilah laluan lebuhraya yang lama ditinggalkan. Satu perkara yang tidak berubah adalah sikap terburu-buru pemandu di sini. Sedangkan di sana, segalanya penuh cermat dan hemah. Jarang sekali melihat kenderaan yang terkejar-kejar. Di sini, ianya begitu biasa.
Melaka menyambut kami dengan penuh kemeriahan. Lampu neon di sepanjang jalan di Melaka begitu berseri. Hinggakan Najla teruja melihat pemandangan waktu malam di Melaka. Dua tahun berlalu, banyak juga perubahan yang berlaku.
Hati begitu berdebar apabila memasuki kawasan kampung. Jalan yang kecil sudah menjadi lebar. Setiap laluan bagai bercerita. Tentang kisah dulu. Tentang kisah sewaktu ditinggalkan. Terimbas segala memori. Bagai terbongkar dari peti yang sudah lama tertutup.
Akhirnya kami tiba ke destinasi. Rumah Mak dan Bapak berada di antara dua rumah milik abang ayah. Rumah Mak, Tok kepada Najla sudah berubah. Bahagian depan rumah yang beranjung sudah tiada. Tiada lagi bahagian rumah berkayu. Ada kesan dirobohkan. Hanya bahagian belakang rumah masih lagi berdiri.
Enjin kereta dimatikan sebaik saja berada di hadapan rumah. Lampu juga turut dipadamkan. Pintu rumah masih tertutup biarpun kedengaran bunyi dari televisyen di dalam rumah. Kehadiran tetamu ke rumah Mak dan Bapak pada waktu begini adalah memang biasa. Hampir setiap malam, ada saja kunjungan orang untuk bertemu dengan Bapak. Kehadiran kami pada malam itu mungkin disangka sebagai kunjungan dari tetamu yang lain juga.
Seperti biasa, ayah dan ibu meminta Najla untuk mengambil peranan. Sama seperti yang dilakukan sewaktu kami sampai di Kota Bharu yang lalu.
Najla keluar dari pintu kereta dan terus berlari menuju ke pintu rumah. Najla sudah tahu apa yang harus dilakukan. Manakala ayah dan ibu hanya menanti dan melihat dari dalam kereta.
Pintu rumah diketuk Najla.
“Assalamualaikum. Wek, bukalah pintu. Najla balik ni”
Berulangkali pintu diketuk. Namun ianya masih tertutup.
Salam bersahut. Itu suara Mak. Suara Wek atau nenek Najla yang sudah lama tidak bersua.
“Tolaklah pintu tu, nak. Tak kunci pun. Tolak kuat-kuat”
Najla berusaha menolak pintu rumah. Akhirnya, daun pintu terkuak. Lalu terlihat Wek Wedok Najla sedang terbaring di atas tilam nipis. Jelas sekali Wek Wedok kepenatan.
Najla melangkah masuk ke dalam rumah.
“Eh, kamu ini siapa, nak?”
“Najla”
“Anak siapa ya nak?”
“Anak ibu ayah”, balas Najla dengan jujur.
“Mana ibu ayahnya? Masuklah dulu. Wak tiada di rumah. Duduk dulu.”
Wek Najla masih lagi terbaring. Jelas sekali, Mak tidak mengenali siapa di hadapannya. Melihatkan Mak hanya terbaring sebegitu, sudah tentu Mak agak kepenatan dan mahu tertidur. Sudah tiba masanya untuk ayah dan ibu datang memperlihatkan diri.
Dengan perlahan, ayah dan ibu memasuki rumah menuju ke tempat Mak berbaring. Itu pun langsung tidak disedari oleh Mak.
Mak!
Hanya itu yang terpacul dari mulut ayah. Tangan mak terus dikucup. Raut wajah Mak begitu terkejut. Buat seketika tiada ucapan yang terungkap dari bibir Mak. Adakah ini satu mimpi?
Mak terus dipeluk dan dicium. Betapa rindunya kami. Hanya air mata dan sedu sedan yang mengiringi pertemuan kami. Mak terus menangis. Dalam kejutan. Dalam gembira.
“Betul ke ni? Hah? Bila balik? Ini Najla? Wek tak kenal”
Najla terus ditarik dan dipeluk. Maka kami semua bersatu dalam pelukan. Kepulangan ini bagai satu cerita yang penuh kegembiraan dan keindahan. Segala rindu bagaikan berterbangan. Menghamburkan setiap isi rasa. Bermacam lagi kata yang terkeluar. Dan setiap bicara yang dilafazkan bersama air mata.
Patutlah Mak hanya terbaring kerana kepenatan pulang dari tanah seberang melawat saudara di sana. Kebetulan pula, mereka baru saja sampai pada siang tadi. Jika kami awal tiba sehari, sudah tentu tiada sesiapa yang berada di rumah. Syukur, segala rancangan menjadi atas kehendak-Nya juga.
“Najla, Najla. Dah besar sampai Wek sendiri tak kenal. Alahai Najla sayang”
Suasana di rumah menjadi riuh seketika. Dua orang adik ayah yang berada di dalam bilik keluar. Mereka turut sama terkejut dengan kepulangan yang tidak disangka sama sekali. Bapak tiada di rumah pada malam ini. Kebetulan pula, ada kelas jidoran bersama ahli kampung.
Lantas Mak mengajak kami untuk terus bertemu dengan abang sulung ayah yang berada di tepi rumah. Rumahnya dilimpahi dengan cahaya lampu. Ayah dan ibu terus melangkah ke pintu utama.
Najla mengetuk pintu sambil memberi salam. Manakala ayah dan ibu bersembunyi di balik pintu.
Pintu dibuka. Dan Najla terus melangkah masuk. Buat seketika, kedengaran suara bertanya siapakah gerangan yang datang. Ternyata, mereka sama sekali tidak mengenali Najla.
Sebaik saja ayah dan ibu memunculkan diri dari balik pintu, barulah mereka menyedari siapakah kanak-kanak perempuan yang begitu berani itu. Siapa lagi jika bukan Najla yang selama ini dilihat melalui gambar. Dan sesekali mendengar celotehnya melalui telefon.
Kami semua bersalaman dan berpelukan. Dalam tangisan kegembiraan dan kerinduaan. Suasana menjadi hingar. Meskipun esok bakal memulakan hari baru untuk bekerja dan sekolah, namun mata mereka begitu segar untuk bertahan beberapa jam lagi. Pelbagai cerita yang dikongsikan. Semuanya dalam nada-nada gembira. Meskipun terselit juga rasa keharuan dan kesayuan.
Malam semakin larut. Kami semua hanya menantikan Bapak. Wek Lanang kepada Najla. Inilah kejutan yang terakhir pada malam ini. Ianya turut dinantikan seisi keluarga yang lain. Mereka sama-sama teruja dengan reaksi yang bakal diperlihatkan.
Akhirnya, kedengaran bunyi motorsikal
milik Bapak memasuki perkarangan rumah. Apabila melihatkan rumah kosong, Bapak terus menuju ke rumah anaknya yang sulung. Apatah lagi masih kedengaran suara yang menandakan ada tetamu di dalamnya.
Najla duduk di riba Mak. Najla memegang tangan neneknya dengan penuh kasih. Ayah dan ibu bersembunyi di balik dinding.
Sebaik saja Bapak memasuki rumah, ramai yang menahan senyum. Suasana sepi seketika. Setiap mata memandang Najla dan datuknya.
Bapak terkejut dengan kehadiran seorang kanak-kanak perempuan di ribaan Mak. Siapakah dia? Mana pula ibu ayahnya? Wajahnya seakan pernah dilihat. Tetapi seakan terlupa di mana. Fikiran seakan tumpul pada malam yang semakin larut.
Najla mencium tangan datuknya. Ternyata Bapak penuh dengan pertanyaan.
Namun segalanya terjawab sebaik saja ayah dan ibu memperlihatkan diri. Kepulangan ini tidak langsung dimaklumkan. Ini adalah salah satu hadiah buat semua bagi mengubat kerinduan. Setiap pelukan, tangisan dan tawa penuh dengan cerita.
Seperti yang lain, Bapak turut tidak mengenali wajah Najla. Betapa Najla sudah berubah dan menjadi lebih dewasa. Namun kemanjaannya menjadi perhatian. Setelah berpelukan melepaskan rindu kepada ayah, Najla pula dipeluk dan dicium oleh datuknya.
Bagai sempurna sudah cerita kepulangan kami ke tanahair. Atas izin-Nya juga, segalanya telah dipermudahkan. Syukur, kerinduan kami terubat. Biarpun kepulangan yang untuk seketika, ianya sudah cukup bermakna dalam mengisi ruang yang begitu dahagakan kasih sayang.