10-10-08
Beberapa hari sebelum Aidilfitri, ayah dan ibu ditemukan dengan salah seorang pakar di Yorkhill Hospital, Dr Flynn. Kali terakhir kami bertemu dengannya 2 bulan yang lalu. Dia merupakan seorang gastrologist di sini. Sekian lama tidak bertemu dengannya sudah tentu memberi sedikit debaran. Apatah lagi kami sendiri tidak pasti apakah perancangan mereka selepas ini.
Perbincangan diadakan di dalam sebuah bilik kecil yang sepatutnya memuatkan wad untuk seorang pesakit. Di tangan ayah, diari yang mencatatkan segala peristiwa penting berkenaan Amir Yusuf semenjak dia lahir. Ayah bawa bersama untuk mencatat perkara yang baru terus pada lembaran kosong.
Satu demi satu perkembangan dibentangkan kepada ayah dan ibu. Namun ianya lebih mengkhususkan kepada bahagian tertentu di dalam tubuh Amir Yusuf.
Kemudian, Dr Flynn memaklumkan kepada kami sesuatu. Tentang dokumen yang mengumpulkan segala maklumat dan kes yang hampir sama dengan Amir Yusuf. Menurutnya, di Northern England terdapat 6 kes yang menghampiri komplikasi yang serupa. Walau bagaimanapun, setiap satu melalui pendekatan berbeza untuk merawatinya.
Namun, satu perkara yang membuatkan ayah terkedu adalah apabila Dr Flynn memberitahu 6 kes tersebut diperolehi dalam tempoh sepuluh tahun!
Ayah meminta Dr Flynn mengulangi apa yang telah diperkatakan. Itu bermakna 6 kes yang berkemungkinan serupa dalam sedekad. Ia adalah kes terpencil dan jarang sekali berlaku. Apatah lagi kes yang dimaksudkan merujuk sebahagian dari komplikasi yang dialami oleh Amir Yusuf.
Segala maklumat yang baru diterima ayah catatkan ke dalam diari Amir Yusuf. Ayah simpulkan dalam harapan. Moga kesulitan ini akan berakhir dan Allah mempermudahkan segalanya.
Adakah ayah dan ibu menangis? Tidak. Kami pasrah dan redha dengan ketentuan ini. Betapa naluri ini berkata Amir Yusuf akan melaluinya dengan baik, Insya Allah. Bukankah Amir Yusuf seorang pejuang. Kekuatannya adalah kekuatan buat kami bersama.
30-09-08
Dengan penuh rasa rendah diri, dihulurkan salam kemaafan atas apa jua kesalahan dan kesilapan. Seandainya ada bicara yang menyentuh dan mengguris rasa.
Moga lebaran ini akan membawa seribu kerahmatan dan keberkatan buat kita semua. Dalam sinar cahaya bulan mulia, bersamalah kita menginsafi akan kebesaran-Nya. Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Salam aidilfitri.
Maaf zahir batin.
31-08-08
Tiub yang menyalurkan susu kepada Amir Yusuf telah dihentikan buat sementara waktu. Kini, keadaannya sama seperti beberapa minggu sudah. Tanpa susu membasahi ruang perutnya. Beberapa tiub bersambung semula ke tubuh kecilnya.
Hari ini, kami tidak dapat memeluk Amir Yusuf seperti selalu. Dirinya terbiar di atas katil. Lena sekali beradu. Ibu cuba memeluk. Begitu lama. Ayah sekadar membiarkan. Dalam diam, rupanya ibu menahan rasa hingga mengalirkan air mata.
Esok, Ramadan bermula. Namun Amir Yusuf sudah memulakan puasanya terlebih dahulu.
[+]
Salam Ramadan buat semua. Moga rahmat Allah akan terus melimpah buat kita semua di bulan keberkatan ini.
22-08-08

Kita pernah berkata
mahu mencipta bahagia
pada cinta seluas angkasa
lalu dibawa
di ruangan kecil hati kita
Kita layari bersama
pada setiap tawa
pada setiap lara
yang disimpul menjadi cerita
pedoman hidup mencari sejahtera
Selalu dipohonkan
agar bahagia sentiasa milik kita
dan cinta ini kekal selamanya
hingga ke syurga
* Kenangan ikatan cinta
22-08
16-07-08

[+]
“He’s a very unique little boy”.
Demikianlah kata Doktor Judith sebentar tadi. Sewaktu kami bertemu untuk berbincang perkembangan terkini berkenaan Amir Yusuf.
Unik. Dia bukanlah doktor yang pertama mengucapkan kata seperti itu. Unik. Maksudnya berbeza daripada biasa. Unik. Tidak sama seperti kanak-kanak yang lain. Unik. Sehingga doktor terpaksa berbincang dengan kumpulan pakar yang lain untuk mencari jalan penyelesaian. Rasanya kami sudah bertemu dengan lebih tujuh orang doktor dari kumpulan yang sama. Mereka tidak mahu terburu-buru memandangkan kes Amir Yusuf adalah luar biasa. Mereka mengakui kerana unik dan istimewanya Amir, mereka turut pening dan berfikir hingga ke malam hari, merujuk semula buku-buku dan kertas kajian. Bahkan turut dirujuk kepada pakar lain di seluruh UK.
Uniknya Amir Yusuf ini, masalah yang dialaminya bukanlah pada satu tempat di dalam tubuhnya. Untuk menjelaskan perkara ini kepada orang lain juga bukanlah satu perkara yang mudah memandangkan ayah dan ibu turut keliru dengan bermacam-macam penemuan yang doktor berikan kepada kami. Kadangkala, rasa takut bertandang ke dalam diri. Tapi kami yakin, Amir Yusuf selalu berada dalam rahmat Tuhan.
Biarpun apa yang telah diperkatakan oleh doktor, Amir Yusuf tetap tenang. Matanya melirik setiap kali terjaga. Mungkin mencari kami di sekeliling. Bahkan keadaannya cukup stabil. Cukup untuk menzahirkan betapa istimewa dan uniknya dia. Ada beberapa peristiwa yang membuatkan kami rasa terharu. Dia memang luar biasa di mata kami. Melihatkan dirinya langsung tidak membezakan dia dengan bayi yang lain. Cukup sifatnya. Bahkan jarinya meruncing. Tersusun cantik pada kukunya. Kata orang, jari seorang artis. Cuma sesekali, ayah terfikir bilakah anak ayah ini akan pulang ke rumah?
Hati ayah ibu mana yang tidak terusik setiap kali menerima berita daripada doktor. Selalu ayah cuba menerima dengan hati terbuka dan rasional. Namun ada masanya ia menambah debar di dada. Setiap berita baru cuba dicerna dan difahami. Gusar dan risau selalu singgah ke hati. Di tangan kami tiada sebarang kuasa. Bahkan mereka yang merawat sudah tentu akan mencuba yang terbaik. Selebihnya kami hanya mampu berdoa dan berserah kepada-Nya.
Biar apapun jua, kami menerima Amir Yusuf seadanya. Dengan ujian yang menguji kesabaran dan keimanan kami, sudah tentu dia adalah anak yang unik dan istimewa. Anugerah yang cukup berharga. Tidak dapat dibayangkan masa depan yang terbentang buat kami. Namun, bersamanya memungkinkan kami melaluinya dengan penuh keazaman dan ketabahan.
[+]
Insya Allah, esok pada jam 10 pagi (waktu UK), Amir Yusuf akan menjalani pembedahan. Doakan agar segalanya dipermudahkan. Moga rahmat Allah akan selalu bersamanya.