Archive for the rasa category

05-03-09

Rindu Kalbu

Posted in amir yusuf, rasa by fajaril

Wajah Amir Yusuf agak sembab. Matanya ditutupi dengan gel khas agar dapat melembabkannya pada setiap masa. Bibirnya kering. Begitu juga dengan lidah yang terdedah. Sesekali, ada mukus berkumpul di sekitar hidung.

Ibu membersihkan wajah Amir Yusuf dengan hati-hati. Dengan rasa kasih yang tidak terhingga. Setiap belaian dan sentuhan beralun bersama kalimah suci serta zikir.

Ayah usap kepala Amir Yusuf. Ayah belai tangan dan jemari Amir Yusuf yang dicucuk tiub di bahagian lengan kirinya. Tangan kanan Amir Yusuf pula disentuh oleh ibu.

“Amir Yusuf, Amir Yusuf. Ini ayah dan ibu sayang. Ayah ibu ada selalu dengan Amir. Ayah ibu tidak akan tinggalkan Amir.”

“Subhannallah,
Alhamdulillah,
Alllahuakbar”

“Amir Yusuf, dengar ayah panggil sayang? Ini ayah sayang. Kuatlah sayang. Sabarlah sayang”

Adakah Amir Yusuf mengenali belaian yang ayah berikan? Adakah Amir Yusuf merasai setiap sentuhan dari ibu? Dapatkah Amir Yusuf rasakan tangan ayah bermain-main pada jari jemari Amir Yusuf seperti selalu?

Amir Yusuf, kami rindu padamu sayang. Pada tangisan. Dan kini pada sinar matamu.

Namun, apalah rindu kami jika dibandingkan rindu pada-Nya?

Di luar tingkap hospital, salji turun dengan lebat. Berapung-apungan. Bagaikan menangis.

18-02-09

Seketika

Posted in amir yusuf, rasa by fajaril

ayah_amir

“Pernahkah kau bermimpi,
seketika berada di tempatku?…”

Dan seketika itu,
mencari kekuatan,
bersama gugusan doa dan harapan.

-
* Kredit: lirik lagu Biarlah Rahsia.

12-02-09

Di Sisimu, Selalu!

Posted in amir yusuf, rasa by fajaril

Bumi Glasgow keputihan dilimpahi dengan butir-butir salji. Biarpun sudah beberapa hari, salji masih lagi melekat pada rumput. Jalan jadi basah dan licin. Suhu masih lagi rendah pada ketika ini.

Kedinginan dan kebekuan begini tidak sekalipun menghalang untuk ayah dan ibu terus setia berkunjung ke hospital saban hari. Kepenatan sudah menjadi sebahagian dari rutin hidup kami buat masa ini. Banyak juga yang telah dikorbankan pada ketika ini. Ada masanya bagai hilang semangat. Namun demi mengenangkan anak-anak, maka ayah dan ibu tetap juga bertahan. Demi kewarasan.

Jalan yang basah ditempuhi bersama kereta putih usang yang penuh dengan kotoran. Namun begitu, kereta ini masih setia berjasa membawa ayah dan ibu ke hospital setiap hari. Mencari ruang untuk ditinggalkan tanpa rasa gundah. Cuma pada musim sejuk begini, agak risau kalau enjinnya tidak mahu hidup. Selalu juga kunci pintu tidak dapat dibuka kerana tersangkut di dalam suhu yang membeku.

Sebaik melangkah ke dalam hospital, kehangatan terus menjalar ke seluruh tubuh badan. Segala kedinginan dan kesejukan hilang serta merta. Keselesaan begini sudah pasti penting kepada penghuninya.

Biarpun kedinginan begitu mencengkam di luar sana, suhu tubuh Amir Yusuf naik dan turun beberapa hari. Mungkin kerana kesan imunisasi yang diberikan kepadanya. Namun tiada perkara yang lebih mengusik jiwa selain melihatkan dirinya menangis.

Memiliki tiub tracheostomy bagi menggantikan tiub di hidung untuk mesin ventilator bukanlah satu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi buat insan yang sekecil Amir Yusuf. Bukan mudah untuk ayah dan ibu melihat apabila jururawat cuba menyedut lendir mukus di dalam saluran pernafasan Amir Yusuf. Sudah pasti, waktu itu Amir Yusuf akan meronta dan terkejang seketika. Ayah hanya sekadar mampu membayangkan bagaimana agaknya jika tiub itu berada di tekak ini. Hanya Tuhan saja yang tahu apa yang Amir Yusuf rasai pada ketika itu.

Berjujuran air mata keluar dari pelupuk mata yang terpejam rapat. Dahi yang berkerut seakan menahan sakit. Mulut terbuka luas menangis. Tanpa suara. Sekali sekala, kedengaran bunyi angin datang dari salur pernafasannya. Aduhai, rindunya ayah dan ibu mahu mendengarkan suaramu, Amir Yusuf. Biarpun sekadar hanya bunyi tangisan sahaja.

Tiub di tekak itu akan sentiasa ditukar mengikut jadual yang ditetapkan. Begitu juga dengan tali yang mengikat tiub berkenaan yang selalu ditukar pada setiap hari. Menukar ganti tiub itu saja memerlukan masa dan tidak dapat dijalankan berseorangan. Ianya harus cepat dan tepat. Seandainya Amir Yusuf tidak tenang selepas menjalani prosedur itu, maka dia akan diberikan sedatif.

Semalam, ayah dan ibu dapat menyaksikan bagaimana tali yang mengikat tiub berkenaan ditukarganti. Memang bukan mudah jika berada di tangan yang tidak terlatih. Apatah lagi dengan keadaan Amir Yusuf yang meronta hingga ibu terpaksa memegang tangan. Dua jururawat cuba bertindak pantas menggantikan tali yang harus diikat pada lubang kecil di tiub tersebut. Sebaik saja selesai, mereka cuba memujuk Amir Yusuf yang masih lagi menangis.

“Sorry, my dear boy. It’s done.”

Terus ayah dan ibu memujuk Amir Yusuf. Dari seminit kepada 10 minit. Ianya berlarutan hingga melewati setengah jam. Muka Amir Yusuf masih menunjukkan reaksi menangis. Puas sudah dipujuk, ditepuk dan dibelai. Segala lagu dinyanyikan. Selawat nabi turut didendangkan. Ayat-ayat suci turut dibacakan bagi menenangkan jiwa dan raga. Namun kesedihan Amir Yusuf tidak kunjung reda. Tersedu-sedu.

“Sudahlah sayang. Janganlah sedih sangat. Ayah ibu ada. Amir Yusuf sayang. Amir Yusuf. Sudahlah sayang.”.

Pujuk ibu. Pujuk ayah. Sambil kaki dan tangan dielus dan dibelai. Sebagai tanda kasih. Ayah dan ibu tahu, kepada siapa lagi Amir Yusuf mahu meminta dan merajuk selain dari yang sudi mencurahkan rasa sayang. Dari ayah dan ibu tentunya. Yang selalu cuba memujuk. Yang selalu cuba menenangkan. Yang selalu cuba menyembunyikan rasa kedukaan.

Ternyata Amir Yusuf begitu mengerti segala rasa sayang dan belaian yang diberikan berbeza dengan layanan dari jururawat mahupun doktor yang bertugas. Oleh kerana itu, setiap kali ayah dan ibu hadir di sisi, Amir Yusuf bagaikan mengetahui kehadiran kami. Seolah-olah bau dan suara kami itu dinantikan setiap waktu. Nalurinya mungkin berkata bahawa jari jemari ayah dan ibulah yang akan mengelus kepalanya, membelai tangan dan kakinya, memeluk tubuhnya, membasahi bibirnya yang kering dan mengesat airmatanya.

Mahu saja ayah dan ibu menemani dirimu selalu saban waktu. Sungguh, betapa ayah mahu untuk tidur di sebelah Amir Yusuf. Di sisimu selalu!

Malam tadi, Amir Yusuf menangis hingga terlena. Barangkali juga kesan paracetamol yang diberikan.

Dan hari ini, salji berguguran lagi. Laksana mahu memujuk kedukaan dingin dan beku dengan putih salji yang indah di pandangan mata. Sama seperti pujukan ayah dan ibu yang mahukan Amir Yusuf tenang dan gembira sentiasa. Tetapi kasih sayang ini tidak akan cair seperti salji. Bahkan ia akan terus selalu bersamamu. Dan selamanya.

31-01-09

Demi Nafas Ini

Posted in amir yusuf, peristiwa, rasa by fajaril

amir_nafas3

*
Waktu itu. Beberapa minggu sebelum tahun baru. Ketika wad PICU terhias dengan pohon krismas.
*

Satu khabar. Satu berita. Tentang pilihan. Tentang kebarangkalian. Dapatkah dibayangkan dan dirasakan bagaimana hati ayah dan ibu menerima semua itu? Bagaimanakah harus dipertahankan segala kekuatan dan ketabahan mengenangkan segala kemungkinan itu? Setiap butir bicara yang diberikan oleh Dr Howard dan Dr Knight kami dengar dengan teliti. Namun, seakan kelu lidah dan minda. Bagaikan ini satu mimpi. Satu cerita.

Sungguh, manusia itu cukup terbatas keupayaannya. Meskipun dikelilingi dengan doktor pakar dan teknologi canggih, ianya belum menentukan segalanya. Apabila sudah tiba pada garisan di luar kemampuan, maka mereka menjelaskan situasi yang sebenar-benarnya. Tanpa prejudis. Tanpa berselindung lagi.

Bagaimana harus ayah dan ibu memilih seandainya pilihan yang diberikan adalah hidup dan mati? Meneruskan mesin ventilator bakal mengundang pelbagai lagi risiko. Dalam masa yang sama, Amir Yusuf harus berdepan dengan komplikasi yang sedia ada. Memberhentikan mesin ventilator bermakna menghentikan segala pernafasan yang ada. Atau dalam kata lain, menamatkan hayat insan yang bernama Amir Yusuf.

Hati manakah yang tidak terguris mendengar berita ini? Jiwa mana yang tidak keruan apabila cebis-cebis harapan cuba dibawa lari?

Gugur air mata ini sewaktu menerima khabar itu. Menangis hati ayah dan ibu. Berminggu lamanya kami cuba menimbang dan mencari jawapan di antara kedua pilihan itu. Berkali juga pertemuan diadakan bagi menjelaskan kembali sebarang persoalan dan justifikasi untuk setiap pilihan.

Seandainya persoalan itu diutarakan pada seribu orang, atau pun pakar sekalipun, mereka belum dapat memberikan jawapan yang pasti. Keputusan yang begitu sukar untuk ayah dan ibu sepanjang hidup bergelar manusia di muka bumi ini.

Ini keputusan yang melibatkan nyawa dan juga masa depan anakanda kami yang disayangi. Ini adalah amanah buat kami. Bagaimana harus kami melepaskannya sebegitu mudah?

Setiap malam, ayah dan ibu memohon petunjuk dari-Nya. Mencari kekuatan dari sisi-Nya. Segala keresahan, kegusaran dan kepiluan diadukan kepada-Nya. Pernah juga, usai solat, ayah merintih keseorangan di tikar sejadah. Linangan air mata yang berguguran membasahi pipi dan sejadah. Ibu pula sering saja mendiamkan diri. Melayan perasaan yang sudah terbang jauh ke mana. Menghimpun doa yang tiada berkesudahan. Tidur malam yang tidak lena. Makan sekadar mengalas perut yang kosong. Fikiran terawangan pada persoalan yang diberikan.

Apabila dikhabarkan pada keluarga di kampung, sudah tentu disambut dengan air mata. Maka bertangisanlah kami di antara dua benua. Bercerita tentang nasib dan dugaan. Memujuk di dalam sendu. Mengadu tentang sebak yang sudah lama terpendam.

amir_nafas2

Demikian berminggu lamanya kami menyimpan cerita dan rasa. Akhirnya, Allah memberikan jalan buat kami. Diberikan petunjuk buat kami untuk menempuhi dugaan ini dan menyempurnakan jawapan kepada hati yang selama ini berbelah bahagi.

Dengan hati yang redha dan nekad, ayah dan ibu tetap mahukan Amir Yusuf terus bertahan. Bukanlah kuasa di tangan manusia untuk menentukan ajal maut seseorang. Seandainya hayat itu tidak panjang, sudah pasti itu adalah kehendak-Nya. Namun, Amir Yusuf adalah seorang pejuang yang tiada mengenal erti gentar. Melihat keadaannya sudah cukup membuktikan kepada ayah dan ibu, bahawa manusia itu terlalu kerdil dan tiada upaya jika dibandingkan dengan kebesaran dan kekuasaan-Nya.

Jalan ini telah dipilih. Laluan yang telah diberikan oleh-Nya. Yang jarang sekali diterima oleh semua manusia.

Setelah keputusan dibuat, maka doktor sudah mula merancang untuk tindakan yang selanjutnya. Pembedahan yang dijalankan semalam bukanlah untuk memperbaiki segala komplikasi yang ada pada sistem pernafasan Amir Yusuf. Tetapi, ia bertujuan untuk memberi bantuan dan sokongan sementara kepada Amir Yusuf. Lubang ditebuk di antara leher dan dada Amir Yusuf untuk menyalurkan tiub ventilator terus ke dada bagi menggantikan laluan terus ke hidung. Dengan tiub itulah, oksigen akan dipamkan senada dengan denyutan jantung Amir Yusuf.

Apa yang tidak dapat dipastikan adalah selama mana Amir Yusuf harus bergantung dengannya. Bukan seminggu dua. Tapi berbulan-bulan dan barangkali bertahun. Ini juga bukan jaminan bahawa Amir Yusuf akan pulih dengan sempurna seperti kanak-kanak yang lain. Demikianlah yang dimaklumkan kepada kami. Ayah dan ibu akur dengan semua ini. Sebagai manusia, kita sekadar mampu berusaha sedaya yang mungkin. Selebihnya, hanya kepada-Nya diserahkan.

amir_nafas4

amir_nafas5

Mengharapkan pada mesin ventilator bagi menyempurnakan setiap nafas bukanlah semudah yang disangka. Banyak perkara yang harus diambil kira, terutamanya kebersihan dan kawalan dari jangkitan kuman. Pergerakan Amir Yusuf juga terbatas.

Setiap masa, jururawat bertugas akan menyedut mukus dan air yang berkumpul di sekitar hidung, mulut dan di dalam rongga tekak. Tiub yang disambung dengan vakum akan menyedut mukus. Dijolok-jolok ke dalam salur tiub. Dalam masa yang sama, Amir Yusuf akan meronta dan menangis. Berlinangan air matanya. Terbuka luas mulutnya menahan sakit. Namun, tiada suara yang kedengaran. Hanya gerakan tubuh badannya yang mampu menzahirkan apa yang dirasa. Betapa ibu berusaha memujuk Amir Yusuf agar kuat dan bertahan.

*
Dan kelmarin. Hari dijadualkan untuk Amir Yusuf dibawa ke bilik pembedahan untuk sekali lagi.
*

Beberapa jam sebelum pembedahan, Amir Yusuf meronta menangis. Lalu dipujuk-pujuk dan dibelai ibu. Tidak lama kemudian, kumpulan doktor dari bilik pembedahan datang untuk membawa Amir Yusuf pergi. Sayu rasanya melepaskan Amir Yusuf kerana matanya hanya memandang ke arah ayah dan ibu. Sewaktu katilnya diusung keluar, kepala Amir Yusuf berusaha menetapkan pandangannya kepada ayah dan ibu. Seolah-olah bagai mahu membicarakan sesuatu.

“Tunggu Amir, ayah ibu. Tunggu!”

Dan pandangan itu terus terakam rapi di ingatan ini.

Pembedahan kali ini tidak mengambil masa yang lama. Pada sela masa itu, ayah dan ibu menghabiskan masa di kafe dan bilik rehat hospital. Sambil menanti di kerusi, ayah dan ibu disapa dengan jururawat yang pernah merawat Amir Yusuf dari wad yang terdahulu. Sungguh, dia agak terkejut kerana Amir Yusuf masih berada di hospital dan masih melalui pelbagai rawatan susulan.

Tidak lama itu, seorang jururawat lain menegur kami bahawa Amir Yusuf sudah pun kembali dari bilik pembedahan. Dengan hati yang berdebar, ayah dan ibu melangkah masuk ke wad PICU semula.

Tiada kata yang mampu menggambarkan segalanya. Di atas katil, terlantar Amir Yusuf dengan tiub ventilator yang dilekapkan di lehernya. Tiada lagi tiub yang dan getah yang menutup lubang hidungnya, kecuali dua tiub kecil untuk menyalurkan susu. Jelas kelihatan kesan bekas tiub di rongga hidungnya. Merah. Sekitar hidungnya ada luka-luka. Namun, satu perubahan yang ketara adalah ayah dan ibu mampu melihat muka Amir Yusuf seluruhnya. Tiada lagi topeng yang menutupi sebahagian muka. Kesan luka yang ada tidak sesekali menjejaskan betapa indahnya Amir Yusuf di mata kami.

Cuma, ayah dan ibu harus membiasakan melihat peralatan baru di antara leher dan dada Amir Yusuf. Begitu juga Amir Yusuf yang mengalaminya sendiri. Dapat ayah rasakan betapa ngilu, pedih dan asingnya peralatan itu di dadamu, sayang. Entah apa yang Amir Yusuf rasakan pada saat ini.

Tiba-tiba saja, Amir Yusuf sudah terjaga. Kesan sedatif seakan hilang dengan cepat dari proses pembedahan tadi. Mata Amir Yusuf memandang kami. Seakan terkejut dengan sensasi yang baru.

Amir Yusuf menangis lagi. Tanpa suara. Mukanya merah. Keningnya berkerut. Matanya terpejam rapat.

Hati ini seperti ditusuk perlahan. Melihat Amir Yusuf menangis sebegini bukanlah satu perkara yang mudah buat ayah dan ibu. Amir Yusuf jarang menangis tanpa sebab. Dan kali ini, ayah dan ibu mengerti Amir Yusuf menangis kerana menahan kesakitan. Pedih dan peritnya, hanya Amir Yusuf saja yang tahu.

“Amir, jangan menangis sayang. Sabar sayang.”

Pujuk ayah berkali-kali. Lemahnya ayah kerana tidak mampu membawa kesakitan Amir Yusuf berlalu pergi. Tidak terdaya rasanya melihat Amir Yusuf menanggung kesakitan sebegini. Betapa ayah cuba bertahan agar air mata ini tidak gugur untuk ke sekian kalinya.

“Amir Yusuf sayang. Sudahlah sayang. Ayah ibu ada ni sayang. Jangan menangis sayang. Amir Yusuf kuatkan sayang? Sabarlah sayang.”

Suara ibu membisikkan ke telinga Amir Yusuf. Memujuk bersama kalimah suci. Moga ketenangan singgah segera ke jiwa dan tubuh Amir Yusuf.

Akhirnya, dos morfin ditambahkan kepada Amir Yusuf. Dengan perlahan, Amir Yusuf terlena semula dalam tangisan yang kembali reda.

amir_nafas1

Pembedahan ini bukanlah penamatnya. Ia adalah satu permulaan baru untuk Amir Yusuf menempuhi kehidupan yang lebih mencabar. Melalui kemungkinan dan kebarangkalian yang tidak mampu diketahui oleh sesiapa pun. Bahkan, ianya bukan semata-mata untuk Amir Yusuf sahaja. Ini adalah satu episod baru untuk ayah, ibu dan Najla. Juga buat insan sekeliling Amir Yusuf yang tidak pernah jemu menabur rasa sayang, doa dan harapan.

Dengan kuasa cinta, kita akan menempuh segala. Kita himpunkan doa dan harapan yang tiada berpenghujung. Demi nafas ini, selagi masih lagi dipinjamkan buat kita.

14-01-09

Saat Itu

Posted in amir yusuf, rasa by fajaril

amir3

Saat itu.

Begitu mudah sekali melihatmu tersenyum dan menangis. Mendengar butir suara bertingkah bercerita tentang rindu dan sayang. Wajah yang menawarkan segala rasa ke dalam jiwa. Alangkah bahagianya dapat memeluk tubuhmu yang kecil itu. Segala haruman menusuk deria hingga melekat ke sanubari.

Saat itu, kita ketawa. Terharu dalam nikmat yang diberikan oleh-Nya.

Saat ini.

Tiada suara yang kedengaran. Tiada tangisan. Mata yang suram mengundang kedukaan di wajah ayahanda dan bonda. Bagaimana harus dipujuk perasaan ini? Cukupkah sekadar sabar dan harapan menjadi ganti?

Tiub penuh di rongga hidung untuk mengepam oksigen ke paru-paru setiap ketika. Jaga yang tidak panjang dan selalu ditidurkan. Sedatif dan ubat menjadi teman.

Dan saat ini, begitu payah sekali untuk melepas segala rindu. Bagai bertimpa-timpa rasa di dalam jiwa. Mahu sekali ayahanda dan bonda memeluk dirimu selalu. Dalam dakapan yang dipenuhi dengan rasa bahagia.

Betapa rindunya untuk melalui saat itu kembali.

‘Rindu. Rindu.
Rindu kalbu.’

[+]

Foto di atas adalah salah satu foto kegemaran ayah. Ianya diambil sewaktu Amir Yusuf berada di wad HDU ketika keadaannya stabil beberapa minggu selepas menjalani pembedahan jantung. Sewaktu Amir Yusuf berada di HDU, kami banyak menghabiskan masa dengannya sambil berbicara dan memeluk tubuhnya. Hati ayah begitu yakin bahawa segalanya akan baik pada waktu itu.

Namun begitu, rasa bahagia itu hanya untuk sementara sebaik saja Amir Yusuf dipindahkan masuk semula ke wad PICU.

Ada ‘rasa’ dan jiwa melalui foto ini. Dalam pilu ada kebahagiaan.

Bad Behavior has blocked 463 access attempts in the last 7 days.