Archive for the rasa category

13-10-08

Doa Najla

Posted in rasa by fajaril

Tidak pernah sesekali kami melupakannya. Dia yang selalu berusaha mencari perhatian dari kami setiap kali kami berada di rumah. Setiap kali mahu tidur, dia ingin selalu dipeluk. Lalu, berjauhan seketika darinya kadangkala membenamkan rasa rindu.

Masih lagi kami ingat, sewaktu Amir Yusuf baru saja dilahirkan. Ayah dan ibu terpaksa bermalam di hospital beberapa hari. Cuma ada ketikanya ayah akan pulang ke rumah untuk menjenguk Najla. Satu malam, ayah membuat panggilan ke rumah untuk mengetahui keadaan Najla di rumah yang tinggal bersama makciknya. Pada mulanya, Najla begitu gembira mendengar suara ayah dan ibu. Begitu pantas mulutnya bercerita tentang segala aktiviti yang dilakukan sewaktu ketiadaan ayah dan ibu. Hingga begitu payah untuk ayah meletakkan telefon.

Setelah begitu puas bercerita, tiba-tiba saja, Najla bersuara, “Nak ayah. Nak ayah!”. Selepas itu, deraian tangis terus kedengaran. Puas dipujuk, namun Najla enggan untuk berhenti. Barangkali, dia sudah terlalu lama menanggung rasa rindu. Tidak betah tanpa ayah dan ibu di sisi. Sayu pula hati ayah mendengarnya. Pilu hati ibu dengan esakannya.

Hati ayah jadi begitu berat. Ibu di hospital juga memerlukan perhatian. Najla di rumah pun begitu juga. Mengenangkan beberapa malam Najla ‘kehilangan’ kami, maka ayah pulang juga ke rumah pada malam itu. Melihatkan ayah muncul di muka pintu, Najla menjerit keriangan. Namun, masih juga terasa kehilangan tanpa ibu di sisi.

Pertama kali ayah dan ibu bercerita tentang Amir Yusuf, Najla begitu sukar untuk menerima. Di hatinya, seakan berasak untuk menerima kehadiran orang baru. Siapa Amir Yusuf? Kenapa tiba-tiba dia muncul untuk berkongsi kasih dengannya? Mujur juga kami menerima petua dari kenalan di sini agar memberikan hadiah buat Najla, yang datangnya dari Amir Yusuf. Walaupun, pada hakikatnya hadiah itu dibeli oleh kami sendiri. Selepas itu, bermacam-macam hadiah yang dibelikan buat Najla. Sehingga akhirnya dia menerima kewujudan Amir Yusuf meskipun tidak bertemu dengannya.

Amir Yusuf masih lagi di hospital. Namun, Najla di rumah juga memerlukan perhatian dari kami. Mana mungkin kami melupakan tanggungjawab dan amanah yang telah Allah berikan. Pada waktu ini, kesihatan Najla juga agak membimbangkan. Ada benjolan di kelopak mata kanannya. Menanti temujanji dengan doktor pakar di penghujung bulan Oktober seakan begitu lama. Tidak cukup dengan itu, kulit Najla yang begitu sensitif dengan cuaca sejuk dan kering hingga menyebabkan ketidakselesaan yang tidak terhingga.

Semalam, ayah dan ibu terus ke bahagian kecemasan di Yorkhill Hospital untuk menguruskan Najla. Doktor yang merawat turut kasihan dan terkejut melihat luka yang menular di bahagian kakinya. Hati ayah ibu mana yang tidak rungsing? Apatah lagi setiap siang dan malam memujuk Najla yang menangis kesakitan.

“Ayah, sakit. Ibu, help me. Ouch! Ouch!”

Anak ayah yang seorang ini semakin membesar. Berbicara dengannya bagaikan melafaz janji. Setiap butir bicara dan tingkah begitu membekas pada dirinya. Adakalanya, ayah seakan terlupa Najla baru berumur 3 tahun, yang perlu dibelai dan dimanjai selalu.

Setiap malam yang berlalu, Najla tidak jemu menutur doa memohon ampun dan keberkatan dari-Nya sebelum menutupkan mata. Kadangkala, dalam esakan tangis, dia berusaha untuk melafazkannya.

“Ya Allah, sembuhkanlah Amir Yusuf. Amin.”

Hati ayah jadi terharu. Apatah lagi, nama Amir Yusuf sudah mula melekat di bibirnya selalu. Tanda kasih dan sayangnya. Moga Allah memperkenankan setiap untaian doa dari kami.

09-10-08

Berjuang

Posted in rasa by fajaril

Ayah sendiri sudah hilang perkiraan. Entah berapa kali sudah Amir Yusuf dipindahkan ke wad lain. Kali ini, Amir Yusuf kembali ditempatkan ke wad 2B. Mengikut hirarki, semakin kecil nilainya, semakin tinggi pemerhatian dan tumpuan akan diberikan. Begitulah yang pernah dikhabarkan oleh seorang kenalan ayah di sini.

Sejak awal Syawal lagi, keadaan Amir Yusuf tidak begitu memberangsangkan. Adakalanya dia kelihatan diam dan tidak begitu aktif. Suhu badan yang turun naik serta tahap ketepuan oksigen yang agak rendah dari paras normal. Oleh kerana itu, petang semalam Amir Yusuf dipindahkan semula ke wad 2B, atau dikenali sebagai Neonatal Intensive Care Unit.

Kehadiran ayah dan ibu seakan mahu menyuntik semangat. Tapi sebenarnya, adakalanya ayah merasakan ayah dan ibu sendiri yang memerlukan semangat juang itu dari Amir Yusuf sendiri. Ternyata, bukan mudah untuk melalui semua ini. Terlalu banyak persoalan yang menuntut pengertian dan juga kesabaran. Semuanya terpendam.

Menyedari kehadiran ayah dan ibu, Amir Yusuf terus terjaga dari lenanya. Kepalanya bergerak sewaktu ayah dan ibu memanggil namanya. Suara kecil seakan menyahut. Barangkali sudah lama menanti kehadiran ayah dan ibu di sisi.

Lewat petang itu, tiga orang doktor datang melawat Amir Yusuf. Salah seorang daripadanya adalah Dr Judith. Antara doktor terawal yang menjaga perkembangan Amir Yusuf sejak lahir. Dan seorang doktor lelaki pula dikenali sebagai Brodie, seperti yang tercatat pada lencana namanya. Ibu maklumkan kepada ayah, dia adalah seorang cardiologist.

Lama juga mereka berbincang. Setelah memeriksa Amir Yusuf, Dr Brodie menulis sesuatu pada fail laporan peribadi Amir Yusuf. Dalam masa yang sama, dia turut bertanya kepada Dr Judith dan Dr Helen yang bersama dengannya. Juga kepada jururawat yang bertugas menjaga Amir Yusuf. Setelah selesai semuanya barulah Dr Brodie datang kepada ayah dan ibu. Memaklumkan apakah yang bakal dirancang pada esok hari. Apa yang ada pada ayah dan ibu? Harapan dan doa yang tidak pernah putus.

Teruskan berjuang Amir Yusuf. Sepertimu juga, ayah dan ibu turut berjuang dalam menuntut ilmu. Juga mengharungi kehidupan di bumi orang yang memerlukan pengorbanan dan ketabahan. Bahkan, kakak Najla turut sama berkorban kerana terpaksa melalui kehidupan kita sekeluarga pada usia yang begitu muda. Hingga ayah selalu terlupa bahawa kakak Najla hanya berusia 3 tahun. Namun begitu banyak pengertian yang cuba diberikan olehnya.

Dan kita akan sama-sama berjuang. Moga kudrat dan semangat di jiwa ini akan tetap bersama.

03-10-08

Takbir Buat Amir

Posted in rasa by fajaril

“Allahu Akbar, Allahu Akbar”

Satu Syawal akhirnya menjelma. Pagi aidilfitri dirasakan begitu dingin. Biarpun begitu, ayah dan ibu bersiap segera untuk ke Masjid Al-Farouq yang berdekatan di rumah untuk menunaikan solat sunat aidilfitri. Najla yang masih lena beradu dikejutkan agar tidak ketinggalan meraikan hari yang penuh gembira buat semua umat Islam. Pagi ini, semua berpakaian indah. Sepasang kurung berwarna biru buat Najla dikirim khas dari tanahair tampak berseri.

Ayah dan ibu bersegera menuju ke masjid. Namun begitu, kami agak terlewat kerana khutbah aidilfitri dalam bahasa Urdu sedang berkumandang. Mujur juga, solat sunat ini diadakan untuk dua sesi. Sesi yang kedua akan bermula tidak lama lagi. Ada juga hikmahnya kami sedikit terlewat, memandangkan sesi kedua dijalankan dalam bahasa Inggeris. Tambahan pula, khutbah yang disampaikan oleh seorang imam muda yang mempunyai karisma dan aura tersendiri. Segala peringatan dan pesanan masih lagi terngiang-ngiang di telinga.

Usai solat sunat aidilfitri, ayah sekeluarga mengikuti teman-teman yang lain menziarahi rumah kenalan yang mengadakan rumah terbuka. Suasana hari raya begitu terasa biarpun berada di perantauan. Dengan penuh rasa keinsafan dan keikhlasan, salam dihulur tanda kemaafan. Rasa gembira begitu terpancar di wajah. Namun, di sudut hati ayah dan ibu, ada rasa kesedihan dan kesyahduan yang tidak dapat digambarkan. Segala rasa itu disembunyikan. Mana mungkin ayah dan ibu bergembira tanpa mengenangkan anakanda Amir Yusuf yang masih lagi di hospital.

Setelah singgah di beberapa rumah kenalan, ayah dan ibu terus menuju ke Yorkhill Hospital. Mungkin pada waktu ini, jururawat yang bertugas merasa janggal melihatkan kami dengan pakaian begini. Ayah lengkap berbaju Melayu siap bersampin songket. Manakala ibu, dengan jubah hitam bermanik. Begitu juga dengan Najla lengkap bertudung dan makcik Zira yang berbaju indah. Semalam, ayah dan ibu ada membawakan baju baru buat Amir Yusuf. Baju yang telah kami beli beberapa hari sebelum menjelangnya hari raya.

Aidilfitri adalah hari yang penuh dengan rasa gembira. Di dalamnya terhimpun rahmat dan harapan. Di hati ayah pula berbaur seribu rasa. Keberadaan jauh di perantauan sudah tentu menyimpul rasa rindu dan syahdu yang begitu menambat di jiwa. Terkenang pula kemeriahan sambutan aidilfitri bersama sanak saudara dan keluarga di desa. Namun begitu, kali ini rasa kesyahduan dan keharuan yang menyelubungi hati ini lebih dari itu. Betapa besarnya keagungan-Nya hingga menimbulkan rasa kerdil pada diri ini. Apatah lagi mengenangkan Amir Yusuf yang sedang berusaha memberikan rasa kasih kepada ayah dan ibu.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar”

Syawal pertama buat Amir Yusuf disambut dengan penuh rasa syahdu. Betapa ayah dan ibu mengharapkan agar hadirnya hari mulia ini dengan rasa gembira. Di satu Syawal ini, keadaan Amir Yusuf tidak begitu memberangsangkan. Suhu badannya meningkat. Nafasnya lebih pantas daripada biasa hingga memerlukan bantuan saluran oksigen di hidungnya yang kecil. Ketika ayah dan ibu tiba di wad, Amir Yusuf kelihatan lesu seakan kepenatan. Erti aidilfitri buat ayah dan ibu begitu besar buat kali ini.

Amir Yusuf terlantar di atas katil dengan salur tiub dan wayar di tubuh kecilnya. Tangan kirinya penuh dengan bekas parut kesan suntikan untuk dimasukkan saluran tiub ubat dan nutrisi. Kali ini, tangan kanannya pula yang dibungkus rapi. Nampaknya, tangan itu baru saja dicucuk untuk menyediakan saluran ubat dan nutrisi. Entah berapa kali tangan kanan dan kiri itu bersilih ganti dicucuk sedemikian rupa. Apabila baik, saluran itu akan dicabut. Jika tidak, ia akan dicucuk semula.

Tiada sebarang baju membaluti tubuh Amir Yusuf. Ayah terkenang baju baru Amir Yusuf yang tersimpan di almari kecil di sebelah katil. Nampaknya, tiada baju raya untuk dipakai oleh Amir Yusuf. Hanya sehelai lampin dan juga selimut yang menutup bahagian kakinya bagi membolehkan suhu badan Amir Yusuf kembali stabil.

Perlahan-lahan, ayah menghampiri Amir Yusuf dan membisikkan kata, ‘selamat hari raya, sayang‘.

Ayah usap kepala Amir Yusuf dengan rasa kasih. Di tangan ayah tiada sebarang keajaiban. Tapi ayah berharap agar jari-jemari ayah ini dapat memberikan sedikit ketenangan. Seperti semalam, hari ini ayah bertakbir di telinga Amir Yusuf. Memuji kebesaran-Nya. Menginsafi diri kita sebagai hamba-Nya.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar”
“Allahu Akbar, Allahu Akbar”
“Allahu Akbar, Allahu Akbar”

Segala puji-pujian itu berkumandang perlahan di sekitar wad 3B. Takbir itu bertambah sayu. Ada rasa sedih bertandang, namun ayah gagahkan diri dan menahan emosi.

Selepas itu, ibu datang mengusapi Amir Yusuf. Hari ini, kami tidak boleh memeluk Amir Yusuf seperti selalu. Sekadar menyentuhnya di atas katil. Kemudian, dengan suara perlahan, ibu pula menyambung melafaz takbir di telinga Amir Yusuf.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar”
“Allahu Akbar, Allahu Akbar”
“Allahu Akbar, Allahu Akbar”

Takbir buat Amir Yusuf berkumandang sekali lagi. Penuh rasa keinsafan. Penuh rasa kesyahduan. Di dalamnya, terhimpun rasa keagungan buat-Nya. Di dalamnya, terhampar harapan yang tiada bertepi.

Dan Amir Yusuf terus terlena dalam pujian takbir kepada Ilahi.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar”

25-09-08

Istimewa

Posted in rasa by fajaril

Petang semalam ayah datang melawat Amir Yusuf seperti selalu. Cuaca pada hari ini agak sejuk hingga ayah terpaksa mengenakan jaket tebal. Hidung sentiasa berair. Tekak sudah mula terasa sakit. Musim panas bakal berakhir. Dedaunan sudah mula bertukar warna menandakan musim luruh yang akan menyusul.

Sewaktu tiba di wad, Amir Yusuf begitu lena beradu. Seakan hilang dalam mimpinya. Nafasnya turun naik dengan perlahan. Ayah sedikit kelegaan kerana keadaan Amir Yusuf tidak seperti minggu lepas yang benar-benar merungsingkan dan menguji ketabahan hati ayah dan ibu.

Amir Yusuf masih terus berjuang untuk terus bersama ayah, ibu dan kakak Najla. Kekuatannya cukup istimewa di hati ini. Kini, Amir Yusuf sudah mula memberi tindakbalas kepada ayah dan ibu. Ketika ayah ibu berkata sesuatu, mulut kecilnya menutur bunyi seakan membalas. Bahkan sewaktu ibu membaca kalimah suci, Amir Yusuf turut bersahutan. Dan pandangannya menajam terus ke mata kami dengan pandangan tulus dan murni. Alangkah terharu dan syahdu melihat perkembangannya dari masa ke semasa.

Sewaktu ibu sedang menyempurnakan Amir Yusuf berganti lampin dan baju, ayah keluar sebentar di luar wad. Kelihatan di kerusi menunggu, ada seorang wanita sedang berbicara dengan kenalan ayah.

Bicaranya agak menarik perhatian. Dia berkongsi kisah dan pengalamannya dalam membesarkan anaknya yang disahkan mengalami penyakit cereblum palsy, satu penyakit yang berkaitan dengan otak. Dugaan yang singgah ke dalam hidupnya pernah membuatkan dia begitu tertekan. Namun begitu dia berusaha untuk tabah dan kuat di dalam menjalani hidup ini. Benar, bukan mudah untuk itu. Apatah lagi, cabaran menjaga dan membesarkan anak sebegitu memerlukan penjagaan yang rapi dan khusus lebih dari kanak-kanak biasa. Begitu juga dengan keperluannya yang agak istimewa juga.

Dengan perlahan, wanita itu berkata,

“Special kid comes with special gifts. Always remember that.”

Dan kata-katanya itu begitu menusuk sekali. Sungguh, Amir Yusuf memang begitu istimewa. Ayah ibu sendiri tidak tahu apakah rahsia yang ingin dibawa olehnya. Tanpa disedari, mata ayah berkaca. Lalu air mata ini luruh perlahan-lahan.

Memang kehadiran Amir Yusuf cukup istimewa. Bahkan, melalui blog ini, Amir Yusuf mengikat dan mengeratkan talian persahabatan dengan kenalan lama dan baru. Memberi kekuatan. Menghulur doa dan keikhlasan. Biarpun tanpa bertemu dan sekadar mendengar atau membaca coretan tentang Amir Yusuf, kasih buatnya sering bertandang. Amir Yusuf lebih dari istimewa!

05-09-08

Harapan Ramadan

Posted in rasa by fajaril

Mak ayah pernah berpesan, ‘jangan menangis semasa berpuasa, nanti pahala berkurang’. Waktu itu, ayah masih kecil. Baru belajar berpuasa. Ada peristiwa yang membuatkan ayah menangis sungguh-sungguh di bulan mulia. Ayah tidak pasti sejauh mana kebenarannya pada waktu itu. Tapi kata-kata itu seakan memujuk ayah agar berhenti dari menangis.

Pesanan itu seakan kembali semula. Setelah sekian lama, tiba-tiba saja air mata ini tumpah tanpa disedari di bulan mulia ini. Segera ayah kesat dari terus jatuh dan membasahi pipi. Seorang lelaki tidak harus menangis. Hatinya harus kental. Tapi, kali ini ayah menangis sebagai seorang lelaki yang bergelar ayah. Kasih sayang ayah membuatkan jiwa ayah diterpa kepiluan. Dan hari ini, ayah menangis kerana anak ayah yang seorang ini, Amir Yusuf.

Sebentar tadi, Dr Davis, salah seorang pakar bedah datang bertemu kami untuk memberikan perkembangan terkini tentang Amir Yusuf. Sudah beberapa minggu ayah dan ibu tidak berpeluang bertemu dengan mana-mana doktor kerana datang agak lewat ke hospital. Pertemuan ini pun diatur melalui temujanji. Perbincangan itu terasa begitu singkat. Namun, setiap butir kata yang keluar dari mulut Dr Davis begitu jelas dan melekat. Segala masalah yang dialami Amir Yusuf telah pun dimaklumi. Kini, sekadar menanti apakah perkembangan selanjutnya oleh pihak doktor.

Sebaik saja Dr Davis berlalu pergi, ayah duduk termenung. Terpaku sejenak. Ada rasa pahit yang melekat. Ibu hanya diam dan terus beralih kepada Amir Yusuf. Membelai dengan perlahan.

Sebelum ini, Amir Yusuf telah ditempatkan ke katil bayi. Melihatkan perubahan itu, menjadikan hati ayah ibu cukup gembira. Beria-ria ayah mencari mainan untuk menarik perhatian Amir Yusuf agar tidak kebosanan. Apatah lagi, waktu itu kami dapat selalu memeluk Amir Yusuf selalu. Namun begitu, keadaan itu tidak lama. Beberapa hari sudah, atas sebab-sebab tertentu Amir Yusuf dimasukkan kembali ke dalam bekas kecilnya, inkubator.

Melihatkan keadaan itu, sudah tentu hati ayah ibu kembali muram. Tiada lagi mainan yang tergantung di tepi katil. Susu yang dibekalkan ke dalam tubuh Amir Yusuf turut dihentikan seketika. Sebak rasanya memandang tangan dan kaki Amir Yusuf dicucuk semula dengan jarum bagi memasukkan tiub-tiub yang berisi nutrisi, ubat dan lipid. Ada kesan darah di tangan kiri Amir Yusuf. Tentu darahnya sukar membeku secara normal.

Pandangan ayah dilemparkan di luar tingkap wad 3B. Dari tingkat atas ini, kelihatan sebahagian kawasan di sekitar Yorkhill, Glasgow. Bangunan dan rumah bagaikan corak di hamparan. Dalam cuaca baik sebegini, bukit-bukit kehijauan berbalam mengindahkan pandangan mata. Ada kepul-kepul awan bertebaran di dada langit. Tidak sangka pula, waktu begini cahaya matahari begitu mesra sedangkan tengahari tadi hujan turun membasahi.

Namun begitu, pandangan ayah seakan kosong. Seolah-olah mata ini melihat menembusi segala dinding batu, besi dan awan gemawan. Lapisan demi lapisan. Mata memandang, fikiran menerawang.

Lamunan ayah terhenti apabila ditegur oleh salah seorang jururawat yang menjaga Amir Yusuf,

“Are you okay?”

“Hah? Yeah”, sambut ayah perlahan. Barangkali dia menyedari perubahan tingkahlaku ayah dan ibu selepas perbincangan dengan Dr Davis sebentar tadi.

Di satu sudut di dalam wad yang sama, kelihatan ibu kepada bayi bernama Rebecca sedang sibuk menyalin lampin. Terdengar suara kecil Rebecca menangis. Kami kenal benar mereka. Bahkan Rebecca lahir tidak jauh harinya dengan Amir Yusuf. Sudah beberapa kali kami ditempatkan pada wad yang sama. Ibunya sibuk melayani Rebecca. Tidak lama kemudian, ayah Rebecca datang. Mereka bermain dan bermanja bersama Rebecca. Tiba-tiba saja, hati ayah ini jadi cemburu. Entah mengapa, pandangan ayah menjadi kabur. Saat ini, ayah ibu tidak dapat melakukan semua itu.

Ibu dari tadi mengelus rambut Amir Yusuf yang halus. Ayah kerling mata ibu. Ada butir-butir air mata. Ayah ingin memujuk. Tapi ayah begitu kehilangan kata. Ayah sekadar memegang bahu ibu. Moga ibu mengerti agar terus sabar dan tabah.

Perbincangan bersama Dr Davis sebentar tadi begitu meninggalkan kesan. Menurutnya, pembedahan yang pertama dikira berjaya. Namun begitu, komplikasi yang lain di dalam tubuh Amir Yusuf menuntut perbincangan dan perhatian yang lebih jelas. Mereka yang bertugas dalam satu kumpulan akan berbincang dengan lebih lanjut. Kata-kata yang begitu jujur dari Dr Davis meninggalkan kami dalam kepasrahan. Berulangkali, kata-kata Dr Davis bergema di telinga.

“We don’t have any answers”
“… very very difficult”
“… not surgically fixable”
“… not clear what to do next, till we really know what’s happening”
“… let’s hope it’s heal by itself”

Pandangan dari seorang pakar bedah. Kata-katanya itu bagaikan membelah harapan satu demi satu. Tajam menghiris.

Ayah ibu sedar, mereka pasti akan mencuba mencari jalan yang terbaik buat Amir Yusuf. Sudah dinamakan manusia, mereka juga punya kelemahan. Mujur, harapan itu masih ada. Betapa hati ayah masih percaya, akan tiba sinar cahaya buat Amir Yusuf.

Ayah melihat Amir Yusuf. Setiap inci wajahnya begitu membenam ke dasar ingatan. Seringkali kelihatan pada setiap masa dan ketika. Mengenangkan keadaan dalamnya yang luar biasa pada kanta mata doktor, sudah cukup menjelaskan bahawa kuasa manusia itu terlalu kecil. Betapa hanya Dia Yang Berkuasa, lagi Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Tiada satu pun yang mampu menandingi ciptaan-Nya.

Sesungguhnya, ayah ibu ini adalah hamba - yang begitu lemah lagi kerdil. Apalah yang ada di tangan ini? Sekadar doa dan harapan yang tidak pernah putus. Naluri ayah, tetap menyakini tentang kuasa-Nya. Rahmat Allah selalu ada. Pasti ada untuk Amir Yusuf kami, anakanda kami yang cukup istimewa.

Biarlah air mata ini mengalir. Inilah tanda kasih ayah ibu yang tiada hentinya. Ramadan ini mungkin menjanjikan keajaiban. Bersama sinar harapan yang tidak pernah putus. Moga keberkatan Ramadan ini membawa kami kepada kebesaran-Nya.