14-06-10

Masih

Posted in bicara by fajaril

Sekian lama tidak menulis di sini. Bukan sengaja menjauhkan diri. Tetapi, barangkali tiada apa yang menarik untuk dikongsi. Melainkan satu kehidupan yang begitu sibuk saban hari. Masa yang kami ada di sini semakin pendek. Yang tinggal pun, adalah sekadar ehsan dari pihak atasan untuk menyambungnya bagi beberapa tempoh lagi. Tiada siapa yang berkata ianya mudah. Dan jika diikutkan rasa, pernah juga diri ingin melepaskan semua beban ini pergi. Namun, ianya tidak akan memberi apa-apa penyelesaian langsung.

Maka, dengan kudrat yang masih ada, kami teruskan juga perjuangan ini. Pada mulanya, ianya bukan satu perkara yang mudah. Proses kembali ke ‘dunia sebenar’ kami di dalam makmal mengambil sedikit masa. Kini, penumpuan harus diberikan sepenuhnya. Setiap detik adalah berharga. Oleh kerana kesibukan inilah, maka ada ketikanya diri langsung tidak menyedari masa terus berlalu pergi. Dari pagi ke petang. Habis sehari kemudian ke seminggu. Seterusnya sebulan. Tiada istilah cuti buat kami. Hanya hujung minggu waktu untuk berehat dan melapangkan fikiran seketika.

Setiap detik perjalanan untuk menuju ke puncak destinasi dipenuhi dengan bermacam cerita. Jalan ini seharusnya sudah tamat di garisannya. Namun, tiada siapa pernah tahu seandainya ada liku dan halangan di depannya. Ini bukanlah masanya untuk berputus asa. Ini adalah masanya untuk mengumpul setiap kekuatan dan ketabahan yang pernah ada.

Segala rindu yang ada dipendam. Dan jalan cerita ini masih lagi panjang.

Terima kasih kerana masih singgah di sini. Dan masih menyimpul rasa itu.

[+]

Foto: Grizdale, Lake District (30-05-10)

30-04-10

Menanti

Posted in monolog by fajaril

Mereka berkata, masa akan mengubati segalanya.

Namun, hingga ke saat ini diri masih lagi menanti.

06-03-10

Terlalu Istimewa

Posted in amir yusuf, peristiwa by fajaril

Genap sudah setahun Amir Yusuf pergi meninggalkan kami. Begitu pantas sekali masa berlalu. Namun, segala peristiwa bersama dirinya masih begitu segar di dalam ingatan. Bagai baru saja semalam. Pada setiap kesukaran, kepedihan, kesabaran dan ketabahan yang begitu sukar untuk dizahirkan dengan kata-kata.

Ada orang pernah berkata, pada yang telah pergi biarkanlah saja dia pergi. Usah dikenang-kenang kerana dirinya sudah dijanjikan dengan tempat yang baik. Tempat yang menjadi idaman semua. Iaitu syurga milik-Nya.

Satu perkara yang pasti, tidak mungkin akan dapat dilupakan tentang dirinya. Dia datang dari tanda kasih kami. Satu anugerah yang cukup bermakna. Meskipun keadaannya tidak begitu sempurna kerana pelbagai komplikasi yang ditanggung oleh tubuh kecilnya, namun di sisi Tuhan dia begitu sempurna. Ternyata, dia terlalu istimewa.

Setiap kali berkongsi cerita tentang dirinya, ada yang mungkin beranggapan bahawa kami sebagai ibu dan ayahnya akan bersedih dan meratapi akan sebuah kehilangan. Tidak. Air mata bukan tumpah kerana duka. Kadangkala, ia mengalir kerana kerinduan. Juga kerana kesyukuran. Alangkah terharunya di hati kami, apabila mendengar dan membaca hadis yang menerangkan bagaimana anak kecil yang telah pergi akan memberi syafaat kepada ibu bapanya. Bergenang juga air mata ini, apabila diberitahu sewaktu manusia dihisab di akhirat, syafaat yang datang dari anak kecil ini datang membantu ibu dan ayahnya. Moga di sana nanti, tangannya bisa memimpin kami bersama-sama ke syurga!

Alangkah indah dan nikmatnya impian itu.

Sesungguhnya segala apa yang telah ditentukan oleh Tuhan adalah suatu perkara yang sukar dijangkau oleh pemikiran kita sebagai manusia yang kerdil. Manusia hanyalah merancang, namun hanya Dia yang menentukan segalanya. Kata-kata ini seringkali terungkap. Apabila kita membuka hati dan jiwa serta melihat segala apa yang kita lalui selama kehidupan ini, maka sudah pasti akan tersingkap kebesaran-Nya.

Mengenangkan dirinya adalah satu perkara yang bukan luar biasa buat kami. Tidak pernah namanya lekang dari terungkap dari mulut kami sekeluarga. Bagaikan dia ada selalu bersama kami. Cuma berada pada alam yang berbeza. Antara hidup dan mati. Namun kasih sayang itu telah mengikat kami dengan begitu erat. Mengenangkan dirinya turut mengingatkan diri ini akan kuasa Sang Pencipta. Bahawa manusia itu adalah kerdil dan tiada upaya.

Cukup dengan Amir Yusuf, kami diajar untuk memahami dan mengenali siapa diri kami ini. Sehebat mana pun manusia, kita ini bukan siapa-siapa. Tetapi hanyalah sekadar manusia biasa yang seharusnya mensyukuri akan kebesaran Ilahi. Hanya kepada Dia tempat untuk bermohon. Dan setiap kali kami meminta bantuan dan harapan, maka kami diberikan jawapan pada setiap persoalan dan permintaan. Ianya datang dengan perlahan-lahan, namun cukup sempurna. Setiap peristiwa bersama Amir Yusuf bersilih ganti bagai memberi jawapan buat kami insan yang mengharap keredhaan dari-Nya. Membuka mata hati dan jiwa. Betapa agungnya Dia.

Mengimbau kembali kenangan bersama Amir Yusuf, mengingatkan kami pada satu ruang di mana kekuatan, kesabaran dan ketabahan itu teruji. Hati dilentur-lentur. Perlahan-lahan ia dipeluk dalam selimut takdir. Redha untuk menerima pada setiap pemberian dari Tuhan. Pernah juga sesekali terlintas, adakah itu diri kami? Tiada siapa pun mahu membayangkan berada di dalam keadaan yang sedemikian. Tetapi, jika itu kehendak-Nya, maka siapalah kita untuk menolaknya? Kerana, di dalam dugaan sebegitu kita akan terasa begitu dekat dengan-Nya. Dan sentiasa berharap agar rahmat dan kasih-Nya akan terus berpanjangan hingga ke akhir waktu.

Sehampar rasa terima kasih buat semua teman dan kenalan yang begitu setia membaca ruangan ini khususnya. Baik yang mengenali secara peribadi mahupun hanya di ruang maya ini. Tidak dapat dilupakan, bagaimana pada tahun yang lalu, tiba-tiba saja hits pada blog ini mencecah angka yang amat tinggi iaitu melebihi angka 6000 dalam sehari. Lebih-lebih lagi melalui entri kami yang sungguh peribadi, Untuk Terakhir Kali. Sungguh dapat kami rasakan betapa indahnya ikatan yang pernah terjalin melalui anakanda kami, Amir Yusuf. Tidak akan kami lupakan pada semua yang pernah memberikan kata-kata semangat dan kekuatan. Serta doa yang tulus ikhlas. Tangan ini tidak mampu untuk menzahirkan rasa syukur dan terima kasih itu. Hanya doa dipohonkan agar setiap kebaikan yang dihulurkan akan diberikan ganjaran yang besar di akhirat kelak. Insya Allah, moga satu hari nanti kita akan dipertemukan.

“Amir Yusuf, seakan baru saja semalam kami bersamamu. Mengenangkan dirimu, mengingatkan diriku akan kebesaran, keagungan dan kekuasaan Tuhan. Moga dirimu berbahagia dan bergembira dikelilingi bidadari syurga, sayangku. Dan moga nanti kita disatukan di syurga milik-Nya. Ya Allah, sampaikanlah salam kerinduan kami buat Amir Yusuf.”

Amir Yusuf. 27/06/08-06/03/09.
Al-Fatihah.

Terima kasih buat sahabat kami, saudara Izani Zainal kerana ‘menghadiahkan’ kami klip video ini. Ianya terlalu bermakna buat kami. Menusuk jiwa dan sanubari. Sebagaimana indahnya melodi dan lirik lagu Terlalu Istimewa dari Adibah Noor, demikianlah indahnya kenangan kami bersama Amir Yusuf. Moga terus subur dan mengharum ke dalam jiwa ini.

03-03-10

Menangis

Posted in bicara by fajaril

Malam itu, tiba-tiba Najla menangis. Tanpa sebarang sebab. Ibu bertanya lembut kepada Najla. Kenapa pula ni?

“Najla rindu Amir Yusuf. Najla sayang Amir Yusuf. I miss him. I want Amir Yusuf.”

Terkedu ibu seketika. Bukan mudah untuk menjelaskan semuanya. Sudah setahun Amir Yusuf pergi, namun Najla masih belum sepenuhnya memahami akan makna sebuah pemergian abadi. Bagaimana harus menjelaskan pada seorang kanak-kanak yang berusia 4 tahun tentang erti kematian? Pergi yang tidak kembali. Pulang kepada Yang Maha Esa. Menjelaskan bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara. Betapa sukar sekali.

“Amir Yusuf… Amir Yusuf…”

Demikianlah rayuan Najla sepanjang malam. Hingga lenanya dalam tangisan.

Mungkin Najla rindu kepada adiknya. Anakku sayang, moga satu hari nanti dirimu akan mengerti akan makna sebuah kematian. Percayalah sayang, kematian itu tidak memutuskan kasih sayangmu dengan adikmu. Moga Tuhan akan mempertemukan kita semua di dalam syurga-Nya.

Dan malam itu juga, tiba-tiba saja air mata ibu turut sama mengalir.

02-03-10

Entah

Posted in bicara by fajaril

Entah mengapa, tiba-tiba saja sistem wordpress ini seakan ‘tidak betul’. Puas sudah dicari apa silapnya. Setiap kali diaktifkan pengesan spam ‘akismet’, setiap kali itulah paparan di bahagian admin kosong. Jika pengesan spam dibuang, maka bertimbun-timbun spam berkumpul. Pening.

Cuba upgrade. Cuba delete. Masih tidak berjaya.

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.