21-10-08
Malam itu, seperti malam-malam yang lalu. Dingin malam menyelubungi. Di kamar tidur, lampu sudah pun dipadamkan. Hanya lampu jalan yang samar-samar menyelusup masuk melalui celah-celah langsir di tingkap bilik.
Di atas katil, ayah, ibu dan Najla berselimut di dalam duvet. Kami melarikan diri dari kesejukan malam yang menggigit. Sesekali, terasa kami kekurangan ahli. Fikiran ayah dan ibu terkenangkan Amir Yusuf yang berada di hospital. Terbayang di fikiran, seandainya Amir Yusuf berada di rumah pada waktu ini. Barangkali, di satu sudut, ada sebuah katil kecil buatnya.
Malam itu, hati ayah dan ibu begitu sayu mengenangkan. Sewaktu melawat Amir Yusuf pada petangnya, Amir Yusuf masih lagi berada dalam sedatif. Doktor masih mahukan dia tenang dan tidur. Sekurang-kurangnya, dalam keadaan itu Amir Yusuf tidak akan merasa kesakitan. Di dadanya, kesan jahitan pembedahan begitu jelas kelihatan. Beberapa inci dari bawah leher hingga ke perut. Jahitannya seakan kasar. Bagai menarik kulit Amir Yusuf. Andainya Amir Yusuf terjaga dalam keadaan sebegini, tentu dia tidak keruan menahan sakit.
Kegelapan di bilik diterangi dengan cahaya skrin telefon bimbit ibu. Melalui telefon bimbit itu, kedengaran suara Amir Yusuf yang dirakamkan oleh ibu beberapa jam sebelum Amir Yusuf dibedah. Mendengarkan suaranya di malam begini begitu mengharukan. Hati ayah ditarik perlahan-lahan. Jelas sekali suara Amir Yusuf yang begitu tulus menusuk. Sayu.
Buat seketika, suara rakaman Amir Yusuf itu menghilangkan rasa rindu buat kami. Ibu tutup telefon bimbit. Lantas suasana di bilik menjadi gelap semula. Seperti selalu, Najla melafazkan doa perlahan-lahan. Tidak dilupa, doa buat Amir Yusuf.
Suasana menjadi sepi seketika.
Tiba-tiba, Najla bersuara, “Ibu, nak Amir Yusuf”
Tersentak ayah dibuatnya. Ibu terdiam mencari kata. Ayah dan ibu tidak pernah menjangka Najla akan berkata sedemikian. Besar sekali permintaan Najla.
Dalam suara yang tersekat, ibu berkata, “Tak boleh sayang. Amir Yusuf sakit. Dia di hospital. Nanti, bila dia dah baik, dia balik dengan kita ya sayang? Najla doa Amir Yusuf cepat sembuh ya sayang?”
Ayah bagai kehilangan kata-kata. Betapa ayah berusaha mencari jawapan memujuk hati si kecil. Namun, ayah sendiri tidak dapat menipu rasa bahawa ayah turut mengharapkan perkara yang sama.
Najla sayang, jika boleh, mahu saja ayah dan ibu memenuhi permintaan itu. Namun, ayah dan ibu tidak berdaya, sayang. Kita harus sabar menanti. Hanya kepada-Nya saja kita bermohon agar Dia memperkenan doa dan harapan kita ini, sayang. Sabarlah, Najla sayang.
19-10-08
Amir, ayah rindu pada Amir,
Ayah rindu pada suara Amir,
Ayah rindu pada mata Amir.
Sungguh, tiba-tiba saja ayah jadi rindu!
Bagaimana ayah harus meleraikan kerinduan ini?
17-10-08
Melihatkan Amir Yusuf terlantar di atas katil kecil sebegitu, memang begitu menguji ketabahan hati ini. Tidak dapat dijelaskan apa yang dirasa. Tiba-tiba saja, ayah dan ibu menjadi rindu untuk mendengar suara dan tangisan Amir Yusuf. Sedangkan Amir Yusuf bagai di dalam lena yang panjang bersama dengan mesin, tiub, wayar dan sebagainya. Beberapa jenis ubat dimasukkan melalui tiub bagi mengurangkan rasa sakit yang dialami oleh Amir Yusuf. Demikianlah yang dimaklumkan oleh jururawat yang bertugas kepada ayah dan ibu.
Malam itu, ayah dan ibu pulang ke rumah kerana sudah berada di hospital sejak pagi lagi. Kakak Najla sudah lama menanti kehadiran kami. Ayah dan ibu memberitakan tentang keadaan Amir Yusuf kepada kakak Najla. Gambar yang diambil sebentar tadi ditunjukkan kepadanya. Kakak Najla seakan terdiam seketika. Dahinya berkerut. Seolah-olah mengerti betapa adiknya sedang berada dalam keadaan kesakitan.
“Kasihan Amir Yusuf. Dia sakit, ayah.”
Ayah memimpin kakak Najla untuk menitipkan doa buat Amir Yusuf.
“Ya Allah, sembuhkanlah Amir Yusuf. Berkatilah dan rahmatilah Amir Yusuf.”
Kasih sayang dari darah daging yang sama seakan bertambah erat dan kuat.
Ketika ayah dan ibu dalam kepenatan tidur, tiba-tiba saja telefon bimbit ayah berdering. Dengan mata berpinar, ayah cuba bangun dan mencapai telefon. Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Mujur juga ayah gagahi untuk menjawab panggilan berkenaan. Rupa-rupanya dari pihak hospital.
Mereka memaklumkan sesuatu berlaku kepada Amir Yusuf. Ada tekanan darah di sekitar jantungnya. Telefon yang berada di tangan, terus ayah letakkan dengan rapat-rapat di telinga bagi memastikan ayah dapat mendengar segala butir bicara dari pihak hospital. Walaupun Amir Yusuf dikatakan agak stabil selepas pembedahan pada petang tadi, terdapat lebihan darah dan beberapa perkara lain yang menyebabkan keadaan Amir Yusuf terganggu. Oleh yang demikian, mereka terpaksa membuka semula dada Amir Yusuf.
Ya Tuhan, kuatkanlah semangat diri ini!
Pagi itu, ayah menuju ke hospital untuk melihat keadaan Amir Yusuf. Hati ayah seakan terpanggil untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang berlaku. Perbualan malam tadi sedikit mengganggu fikiran ayah, meskipun ayah dijelaskan prosedur tersebut berjalan dengan lancar.
Akhirnya, dapat ayah lihat sendiri keadaan Amir Yusuf. Terdapat sedikit perbezaan jika dibandingkan dengan keadaan Amir Yusuf semalam. Pada dada Amir Yusuf yang kecil itu, mereka letakkan sejenis peralatan yang seakan besi berbentuk huruf L untuk menguak dada itu terus terbuka. Pada bukaan itu, diletakkan kain yang ditutup dengan pelekat khas untuk menyerap lebihan darah dan juga tiub tambahan untuk menyedut darah. Disebabkan itu juga, adalah bekalan darah dimasukkan ke dalam tubuh Amir Yusuf bagi mengantikan kehilangan darahnya itu.
Jururawat yang bertugas kepada ayah menjelaskan dengan lanjut apa yang berlaku pada malam tadi. Doktor harus membuka sedikit ruang dada Amir Yusuf bagi mengelakkan tekanan kepada jantung Amir Yusuf. Ayah kurang arif tentang semua ini. Apa yang ayah fahami, lebihan darah kesan pembedahan pada petang itu tidak dapat disedut keluar secara optimum yang menyebabkan memberi kesan kepada tekanan darah kepada keseluruhan sistem peredaran darah dan juga kepada jantung Amir Yusuf sendiri. Melalui prosedur itu, keadaan Amir Yusuf adalah lebih baik jika dibandingkan dengan malam itu.
Dada Amir Yusuf terbuka? Sukar sekali ayah membayangkan sebesar mana ruang yang telah dikuak. Yang terlihat di mata ayah, adalah kain yang penuh dengan kesan darah yang berwarna merah. Itu darah Amir Yusuf. Darah yang datangnya dari ayah dan ibu. Kelihatan juga ada kesan darah yang kering di bawah leher Amir Yusuf.
Hari ini, sudah lebih kurang 36 jam dada Amir Yusuf terbuka. Ayah menerima semula panggilan daripada pihak hospital sebelum masuknya waktu solat Jumaat. Doktor Pollock akan menutup semula dada Amir Yusuf. Masih lagi ada debaran di dada ayah. Betapa ayah cuba menyakinkan diri ini, bahawa setiap yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi. Kepada-Nya, ayah serahkan segala pengharapan.
Amir Yusuf sayang, teruslah bertahan. Ayah yakin, anak ayah ini begitu kuat. Bahkan ayah dan ibu percaya bahawa rahmat Allah akan selalu bersamamu sayang.
16-10-08
Semalam diibaratkan hari yang panjang. Penantian yang penuh dengan harapan dan debaran. Tidak putus-putus doa dipanjatkan. Bagaikan hamparan doa.
Awal pagi, ayah dan ibu datang untuk bertemu dengan Dr Pollock, seorang cardiac surgeon. Dialah yang bertanggungjawab untuk menjalankan pembedahan ke atas Amir Yusuf. Perbincangan dengannya telah menjelaskan kenapa dan mengapa pembedahan ini harus dijalankan dengan segera. Sewaktu berbicara dengannya, tidak tergambar rasanya gelora yang melanda di dalam jiwa ayah. Seperti kata Dr Pollock, pembedahan ini adalah kritikal dan juga berisiko. Walau bagaimanapun, ianya harus diterusnya demi memastikan Amir Yusuf berada di dalam keadaan yang lebih baik.
Perlahan-lahan, ayah menandatangani surat kebenaran untuk pembedahan. Terhimpun doa dan harapan yang tidak terhingga. Sesungguhnya, pada ketika itu, hanya kepada-Nya kami serahkan.
Ayah dan ibu kembali ke sisi Amir Yusuf. Entah mengapa, emosi pada waktu itu sungguh luar biasa. Segala kesabaran dan ketabahan itu datangnya dengan limpahan air mata. Seribu satu rasa bertandang ke dalam jiwa. Apatah lagi, waktu itu Amir Yusuf berada di dalam keadaan yang tertekan. Dia menangis minta dipujuk. Ibu dan ayah memanggil namanya, sambil tubuh badannya dibelai dengan penuh kasih sayang.
Serak suara ibu memanggil nama Amir Yusuf. Air mata mengalir deras dan jatuh ke atas bantal. Suara ayah seakan tersekat di kerongkong. Selama ini, ayah sekadar memendam segala rasa. Dan hari itu, segalanya seakan tidak mampu dibendung lagi. Mengapakah sukar sekali air mata ini berhenti mengalir?
Amir Yusuf bagaikan memujuk hati ayah dan ibu agar tidak bersedih. Sebaik kami bersamanya, tangisannya berhenti. Bahkan mulutnya tidak jemu berkata-kata. Mungkin dalam butir kata yang terungkap ada pesanan buat ayah dan ibu. Barangkali menceritakan tentang kesakitan yang ditanggung olehnya. Setiap bunyi yang diucapkan oleh Amir Yusuf bagaikan memohon ayah dan ibu agar sabar dan terus kuat. Namun, ketika Amir Yusuf membalas kata-kata ayah dan ibu, saat itulah hati ayah dan ibu diterpa rasa kesayuan.
“Amir Yusuf kata apa sayang? Amir Yusuf sakit ke?”
“Jangan menangis ya sayang”
“Amir Yusuf kuat’kan?”
Amir Yusuf dibawa keluar dari wad 3B ke bilik bedah selepas waktu Zohor. Tepat jam 2 petang, Amir Yusuf dibawa masuk ke dalam. Waktu itu, hujan turun dengan lebat. Dapat kami lihat dari tingkap hospital. Hujan yang turun bagaikan menjadi ganti kepada kami untuk menangis. Kami lepaskan Amir Yusuf dengan redha. Amir Yusuf adalah hak Allah, itulah pesanan buat ayah dan ibu. Hanya Dia yang Maha Mengetahui.
Kuasa Tuhan memang cukup luar biasa. Sewaktu Amir Yusuf berada di dalam bilik bedah, tidak lama kemudian, tiba-tiba saja sinar matahari menerjah. Bumi Glasgow yang sebentar tadi kebasahan panas disimbah cahaya mentari. Bagaikan satu tanda kepada ayah dan ibu bahawa segalanya akan berjalan dengan baik dengan izin-Nya. Sementara menanti Amir Yusuf, ayah dan ibu terus berdoa kepada-Nya agar dipermudahkan urusan. Terutamanya pada pembedahan yang sedang berlangsung.
Jam 6.15 petang, barulah kami nampak kelibat Amir Yusuf keluar dari bilik pembedahan. Amir Yusuf terus dibawa ke Paediatric Intensive Care Unit. Proses pemindahan Amir Yusuf di dalam wad itu mengambil masa 2 jam. Setelah jam 8, barulah ayah dan ibu berpeluang melihat Amir Yusuf. Debaran yang melanda di dada tidak dapat diterjemahkan lagi.

Alangkah sayu dan sebak melihatkan keadaan Amir Yusuf pada waktu itu. Wajar sekali masa yang diambil untuk meletakkan Amir Yusuf di wad ini agak lama. Di tubuh badan Amir Yusuf, penuh dengan wayar dan tiub. Setiap satu mengambil ruang untuk menyediakan bacaan, pemerhatian, mengeluarkan darah, oksigen dan juga untuk saluran ubat. Di kanan dan kiri katil penuh dengan peralatan canggih. Tiada kata yang mampu diucap. Jika mata ayah ini sudah merasa betapa seksanya semua ini, apatah lagi Amir Yusuf yang sedang merasakannya.
Ya Tuhan, rahmatilah Amir Yusuf!
Sekurang-kurangnya, kami dimaklumkan bahawa keadaan Amir Yusuf adalah agak stabil setakat ini. Syukur, Alhamdulillah. Ayah dan ibu sedar bahawa ini merupakan satu fasa awal. Masih jauh lagi perjalanan Amir Yusuf sebelum dia benar-benar pulih. Amir Yusuf adalah pejuang. Dia akan tetap mengharungi kepayahan dan kesakitan ini dengan penuh ketabahan. Bagaikan memberi tanda bahawa ayah dan ibu juga harus kuat dan sabar dalam menghadapi dugaan dari-Nya.
Segala hamparan harapan dan doa bagaikan terus terhimpun. Mengharap belas dan rahmat dari-Nya.
[+]
Terima kasih kepada semua teman budiman yang tidak jemu menghimpunkan doa buat Amir Yusuf. Juga tidak lupa kepada rakan-rakan yang sentiasa memberi kata semangat dan dorongan kepada kami. Ucapan terima kasih tidak memadai atas keikhlasan dan ketulusan kalian. Semoga Allah akan membalas setiap kasih sayang yang tercurah dalam rahmat kasih-Nya.
14-10-08
Semalam, keadaan Amir Yusuf tidak begitu memberangsangkan. Bahkan sudah cukup melemparkan rasa bimbang ke dalam hati ayah dan ibu. Nafasnya laju. Bagaikan tidak cukup udara menyelinap ke setiap penjuru paru-parunya. Sedangkan ada tiub oksigen di hujung hidungnya yang kecil.
Mungkin ada yang berkata sabar dan tabah menghadapinya. Namun adakalanya hati ayah dan ibu ini tersentuh melihatkan betapa sukarnya Amir Yusuf menahan kesakitan.
Sewaktu sistem perkumuhan di dalam tubuh kecilnya sedang menolak keluar, Amir Yusuf bagaikan bertarung. Jelas kelihatan wajahnya menahan kepedihan. Ada sesuatu yang membuatkan dirinya kesakitan hingga segalanya dizahirkan dalam tangisan yang begitu mengharukan. Salah satu sebab mengapa Amir Yusuf seakan tidak berdaya menahan keperitan adalah kerana jantungnya.
Hari ini ayah dan ibu menerima panggilan dari pihak hospital. Beberapa kali mereka cuba mendapatkan kami. Esok pagi, Amir Yusuf akan menjalani pembedahan yang selanjutnya. Nampaknya keadaan Amir Yusuf beberapa hari ini membuatkan para doktor terus mengambil keputusan yang sebegini segera.
Sebaik saja ayah menerima berita itu dari ibu, ayah bergegas ke hospital usai solat Asar. Terbayang wajah Amir Yusuf. Hati ayah memanggil-manggil nama Amir Yusuf sewaktu kaki melangkah menuju ke perhentian bas. Bahkan tidak henti doa dipohon agar segalanya berjalan baik pada esok hari (Rabu).
Walau bagaimanapun, waktu pembedahan tidak dapat dipastikan. Berdasarkan pengalaman yang lalu, begitu banyak kemungkinan yang boleh berlaku. Moga keadaan Amir Yusuf baik dan stabil untuk melalui pembedahan kali ini.
Buat teman budiman, doakan agar Allah mempermudahkan segala urusan pembedahan dan rawatan buat Amir Yusuf. Hanya Allah saja yang dapat membalas keikhlasan kalian.