![]() |
||||||||||
| | ||||||||||
05-05-07: Beberapa jam sebelum berangkat pergi, aku masih sibuk menguruskan penukaran wang RM ke Pound Sterling. Sejak semalam lagi, banyak sudah money changer yang aku jenguk, tetapi kebanyakannya menghampakan kerana tiada stok wang GBP. Tetapi aku tidak singgah ke money changer yang berlabel nama bank kerana rate yang ditawarkan adalah terlalu mahal. Dan aku kira, itulah kali terakhir aku dan isteri mengambil peluang untuk berjalan keluar bersama di bandar Melaka. Perasaan di dalam terasa bercampur baur. Hingga ke detik ini, hati aku berbelah bagi samada ingin pergi atau tidak. Terasa betapa tidak sanggup untuk melepaskan pergi orang yang melengkapi hidup aku selama ini - anak dan isteri. Sungguh, tiada langsung rasa gembira. Yang bermain di kepala hanya pelbagai kemungkinan yang bakal menimpa. Sesuatu yang sukar sekali dijangka. Masa yang begitu berharga, aku habiskan bergurau senda bersama Najla. Keletah manjanya dan wajah penuh pesona seakan mengerti aku ingin pergi jauh darinya. Sempat juga aku mengambil gambarnya setelah kami pakaikan baju lagak seorang puteri. Siap dengan hiasan kayu di tangan, kepala dan juga sayap rama-rama. Ternyata dia cukup gembira dengan pakaian itu sehingga tidak mahu langsung menanggalkannya. Aku dan isteri tidak banyak berbicara. Masing-masing melayan perasaan. Meninggalkan dan ditinggalkan. Dua-dua begitu berat. Aku dan dia cukup mengerti. Ini adalah satu pengorbanan yang cukup besar. Kami jarang sekali terpisah sebegini rupa. Kalau adapun, mungkin kerana tugas. Paling lama pun kurang dari satu bulan, iaitu ketika Najla dibawa pulang ke Pantai Timur. Setelah hidup berkeluarga, aku dapat merasakan bahawa hidup ini menjadi lengkap bila bersama. Bayangkan, kalau aku berada di pejabat, jika terbuka saja gambar-gambar Najla di komputer yang terakam dengan segala aksinya, hati aku terus diterpa kerinduan yang cukup besar. Melihat wajahnya, hati aku terus meronta mahu pulang cepat dan mengambilnya pulang dari nurseri. Selepas ini, jika rindu itu datang dengan sendirinya, aku tidak mampu lagi terus segera pulang ke rumah dan mengambilnya pulang. Jika rindu itu datang membuak-buak, aku tidak mampu melepaskannya dengan memeluk tubuhnya yang kecil. Dan jika rindu itu datang lagi, aku yakin, aku sanggup untuk berdepan dengan tawa tangis dan karenahnya yang kadangkala menjengkelkan. Lalu terbayang-bayanglah wajahnya, suaranya, tangisnya, lirik matanya, senyumnya, gelak tawanya dan segala yang ada pada dirinya bersatu dan menjadi beban yang bernama kerinduan yang begitu mencengkam. Saat aku memandang pula wajah isteri, tiba-tiba saja hati aku terus menangis. [+] Sebungkus plastik nasi Seluruh keluarga aku datang ke rumah. Sama-sama ingin menghantar aku ke KLIA. Aku sambut mak yang turun dari kereta. Di tangannya ada sebekas sambal istimewa buatan tangan mak. Memang sambal kering itu menjadi kegemaran aku sejak dulu lagi. Itu adalah resepi istimewa yang direka sendiri olehnya. Tambahan pula, ia boleh disimpan dengan agak lama. Maka, agak berbaloi juga untuk dibawa ke sana. Bersama bungkusan sambal itu, ada satu plastik kecil berisi nasi. Sebesar genggam tangan aku. "Apa ini mak?", ikhlas aku tanyakan pada mak. Tapi, mak menjawab dengan wajahnya yang begitu sugul dan terus menangis. Terus aku sambut dengan memeluk tubuh mak. "Sikit saja. Buat makan kalau lapar nanti". Hati aku jadi sebak. Betapa aku mengerti bahawa hati mak terlalu berat untuk melepaskan aku pergi. Lebih-lebih lagi dengan apa yang menimpa keluarga kami kebelakangan ini. Sudah tentu fikiran mak dan bapak khususnya menjadi kusut dan rusuh. Hanya anak-anak saja yang mampu memberi sedikit sokongan dan dorongan buat mereka. Sebungkus plastik nasi itu melambangkan satu harapan dari mak agar aku sentiasa sihat dan tidak kelaparan di negara orang. Apa yang pasti aku akan bawa ia terus ke bumi Scotland. Satu hadiah yang cukup bernilai daripada mak. Sebagai tanda kasih sayang dan bermacam lagi rasa yang cuba disampaikan kepada aku. Pesanannya kepada aku sebelum berangkat pergi tidak terlafaz dengan kata, tetapi dengan deraian air mata. [+] Berangkat pergi Malam itu jadi medan penuh duka. Penuh dengan air mata. Pernahkah kau terasa betapa begitu beratnya rasa hati? Seperti ada benda yang mencengkam di dada. Tertahan-tahan. Detik itu benar-benar menguji. Kalau bisa aku undurkan masa, mahu saja aku tangguhkan penerbangan ini. Biarlah segala susah dan senang ditanggung bersama. Aku tahan segala apa yang aku rasa. Aku pendamkan sebaik mungkin. Namun, sebaik saja aku melihat wajah Najla, hati aku terus dihambat rasa sayu. Peluklah ayah sayang. Ciumlah pipi ayah sayang. Tubuh kecil itu datang kepadaku, seperti selalu. Tangannya terus memeluk aku. Bibirnya mengucup pipi aku. Mana mungkin dapat aku tahankan perasaan ini. Terus kelopak mata ini dibasahi. Tidak dapat aku tahankan lagi. Aku peluk tubuhnya yang kecil dengan linangan air mata. Betapa sukarnya detik ini dirasakan. Najla tidak begitu menolak diperlakukan sebegitu. Selalunya dia akan mengelak dan berlari pergi. Tapi, matanya terus memandang wajah aku yang penuh dengan air mata. Dia seakan keliru. Tapi dia tahu itu air mata. Dan seperti biasa, dia akan cuba memujuk dengan cara yang tersendiri. Tanpa sebarang kata, dia akan terus melihat dengan mata yang sayu. Apa yang pasti, itu sudah cukup menambah rasa syahdu di jiwa ini. Bersalam dan bermaafan bersama semua ahli keluarga seolah-olah mengharapkan agar masa itu terhenti buat sementara waktu. Apatah lagi ingin meninggalkan mak dan bapak yang semakin meningkat usianya. Jaga kesihatan baik-baik mak. Jaga diri baik-baik bapak. Mujur juga kehadiran beberapa orang teman seakan memujuk perasaan ini. Hidup ini memerlukan pengorbanan. Segala kata nasihat dan pesanan disimpan dan disemat di dalam dada. Moga jadi azimat. Dan yang paling menggetarkan perasaan adalah segala kekuatan yang ada pada diri isteriku itu gugur bersama deraian air mata dan sendu. Sungguh, aku tidak mampu untuk menzahirkan perasaan ini dengan kata-kata. Bagaikan hilang segala perkataan di dunia ini untuk menerangkan maksud apa yang dirasa. Cinta teruji bersama masa dan jarak. Saat itu juga, rasa rindu itu sudah mula menerbangkan sayapnya. Selamat tinggal dan jumpa lagi. Doakan agar dipermudahkan dan pulang nanti bersama kejayaan yang diimpikan. * Terima kasih Rudy, Nett, Ucop dan Iwan. Betapa aku menghargainya.
03-05-07: Saatnya telah tiba. Sungguh tidak aku sangkakan bahawa detiknya sudah pun begitu dekat. Kalau dihitung dengan jam, mungkin sedikit lama. Namun, hakikatnya pasti, aku akan bertolak ke Scotland pada hari Sabtu ini. Bersendirian. Tanpa ditemani anak dan isteri. Manusia hanya merancang, Dia juga yang menentukan. Benar, pada mulanya aku berharap agar kami dapat pergi bersama. Oleh kerana sebab-sebab yang tertentu, maka aku terpaksa pergi dahulu. Mungkin ada juga hikmah di sebaliknya. Cuma aku harus kuatkan semangat dan azam. Ternyata, pada saat ini perasaan di hati bercampur baur. Aku tidak pasti adakah ini gembira, sebak atau sebaliknya. Apa yang pasti, hati ini sangat sayu berjauhan dengan yang dicinta. Maka, setiap malam selepas ini aku akan merindukan gelak tawa anakanda tercinta. Juga si ibunya. Juga wajah ayah dan bonda. Berat dirasa untuk melangkah pergi. Tetapi, apakan daya, demi masa depan yang lebih gemilang, semuanya terpaksa aku tempuh. Kesibukan berminggu lamanya akhirnya tiba ke penghujung. Satu noktah sebelum dibuka lembaran yang baru. Akan tiba nanti, satu cerita baru. Cabaran hidup yang baru. Sungguh, aku belum mampu membayangkan, apakah yang bakal akan aku tempuhi nanti di sana. Tuhan, berikanlah aku kekuatan. Moga dipermudahkan jalan buatku nanti. Doakan buatku teman. Agar apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan.
Saat
ini, Mana
mungkin, [+] Semoga bertemu pada coretan yang lain nanti. Dari Kota Glasgow, Insya Allah!
05-04-07: Aku dalam perjalanan ke Pulau Pinang. Lewat sedikit dari perancangan asal kerana terpaksa menguruskan urusan medical checkup yang sudah lama tertangguh. Entah kenapa, sejak kebelakangan ini aku suka benar bertangguh-tangguh dalam urusan untuk cuti belajar ini. Sedangkan hakikatnya, masih banyak urusan yang tidak selesai. Bisa membuatkan aku sakit kepala kalau benar-benar difikirkan. Lupakan seketika tentang hal ini kerana aku mahu bercerita tentang kisah perjalan ke Pulau Pinang. Bukan kisah menarik, cuma ada peristiwa yang mahu aku ingat. Tentang kepenatan berpusing-pusing di sekitar negeri itu. Aku tiba di sana dalam jam 6 lebih. Waktu itu sudah dijangka agak sesak dengan kesibukan warganya pulang dari kerja. Tapi yang lebih mencelarukan aku apabila jambatan Pulau Pinang ditutup! Yang kelihatan cuma tanda, "Sila gunakan feri ke Georgetown". Kenapa? Trafik menjadi cukup sesak. Polis telah pun menghalang laluan ke jambatan. Kacau. Aku bukan pernah naik feri. Waktu itu, mujur juga aku teringat dengan seorang bekas pelajar aku. Tiba masanya untuk aku menyusahkan dia atau barangkali mempergunakannya. Kebetulan juga dia ingin pulang kerja dan menuju ke Pulau Pinang juga. Berpandukan arah dia, aku menuju ke jeti. Cuma dia hanya menggunakan motorsikal. Sudah pasti, aku yang ketinggalan. Berjam-jam lamanya melewati kesesakan yang memenatkan. Menguji segala kesabaran. Tiba saja di jeti, sesak semakin melampau-lampau. Akibatnya, aku terhimpit ke tepi dan terkeluar dari barisan untuk terus ke jeti. Maka, aku berpusing untuk dua kali dalam kesesakan itu untuk masuk semula ke barisan. Tapi, hampa. Aku menyerah. Aku cukup malas bersesak-sesak begini. Lemas. Dalam kekalutan itu, sempat juga berhubung dengan Meer. Nasib baik melalui Meer, kedengaran berita yang lebih baik - jambatan sudah dibuka kembali! Yang aku tahu, ada orang letak bom di situ. Akibatnya, sesak bagai gila. Siapa punya kerjakah itu? Betul-betul menyusahkan. Dan akibat kepenatan dalam kesesakan, tiba sahaja di Pulau Pinang, sekali lagi malang menimpa. Sesat pula! Benar-benar menguji kesabaran aku. Tapi biar aku katakan, aku memang tidak sabar jadinya. [+] Nanti-nanti aku buka semula arkib lama. Bukan apa, mungkin ada yang patut aku keluarkan. Sesuatu yang aku ingin hapuskan terus dari hidup aku kerana ada yang mahu agar aku terus melupakannya.
| ||||||||||
| | ||||||||||